Muat naik hantaran kontroversi sertai Serie B, fans harap jenaka Stuart Wilkin tak jadi kenyataan


  • Podium
  • Ahad, 29 Dis 2024

Musim ini, Stuart telah menjaringkan tiga gol dan empat bantuan jaringan dalam 11 penampilan bersama Sabah. — Facebook/SabahFC

NAMA tonggak Sabah FC, Stuart Wilkin baru-baru ini mencuri tumpuan selepas memuat naik satu hantaran kontroversi mengenai masa depannya bersama kelab berpangkalan di Borneo tanah air berkenaan.

Ia berikutan selepas satu hantaran yang dikongsikan Stuart di laman Instagram peribadinya menunjukkan pemain warisan England-Malaysia itu menyarungkan baju kelab Itali, Palermo FC.

Walaupun tidak menulis sebarang kapsyen kontroversi namun komen-komen dari rakan sepasukannya di Sang Badak menimbulkan kerisauan penyokong Sabah FC tersebut.

BACA LAGI: Sabah tempang jumpa JDT tanpa bintang import

BACA LAGI: The Rhinos muncul semifinalis Piala Malaysia, Stano mahu pemain Sabah nikmati cuti Krismas puas-puas

“Selamat maju jaya di Palermo. Likas akan merindui anda,” komen penyerang Sang Badak, Darren Lok.

“Nikmati bermain di sana, anda memang layak mendapat peluang itu. Sampai jumpa nanti bila sudah kembali ke tanah air. Harap awak masih mengingati kami,” komen bek tengah, Dominic Tan.

“Selamat maju jaya Stuart, kami akan rindui awak,” kata pemain tengah Sang Badak, Telmo Castanheira.

“Pemain Malaysia pertama yang akan beraksi di saingan Serie B. Selamat maju jaya Bekham,” komen bek kiri Sabah FC, Daniel Ting.

Meskipun hantaran berkenaan adalah tuntutan kerja Stuart namun deretan komen-komen dari empat tonggak Sabah FC itu jelas membimbangkan penyokong Sang Badak sekiranya Stuart akan meninggalkan Sang Badak.

WhatsApp Image 2024-12-29 at 19.12.21

Tangkap layar hantaran dari Stuart.

Kebimbangan itu semakin memuncak apabila penyokong Sang Badak menyedari bahawa kontrak pemain kebangsan berkenaan bersama Sabah FC akan tamat pada 31 Mei 2024.

Bersama Sabah FC, Stuart menampilkan persembahan yang cukup memukau apabila membantu pasukan itu meraih kemenangan lima kali berturut-turut dalam liga musim ini ketika bertemu Perak FC, Penang FC, Kedah Darul Aman, Kelantan Darul Naim dan Kuching City FC.

Kehebatan Stuart mengawal bahagian tengah permainan tidak lagi perlu dipertikai oleh penyokong Sabah FC kerana terbukti ketika dia telah menjadi tonggak The Rhinos sejak musim 2022.

Musim ini, pemain berusia 26 tahun itu telah menjaringkan tiga gol dan empat bantuan jaringan dalam 11 penampilan bersama Sabah dengan mencatatkan 762 minit permainan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram