
SELAIN Malaysia yang membuat projek revolusi terhadap skuad kebangsaan dengan melantik Peter Cklamovski sebagai pengendali baharu, Indonesia juga tidak ketinggalan membuat perkara sama dengan memberi kepercayaan kepada Patrick Kluivert untuk mengendalikan Sang Garuda.
Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) menandatangani kontrak dua tahun dengan legenda Belanda itu pada Januari lepas dan difahamkan Kluivert juga diberi pilihan lanjutan dua tahun.
Misi utama Kluivert ialah memburu kelayakan ke Piala Dunia 2026. Indonesia kini menghuni tangga ketiga Kumpulan C pada pusingan ketiga kelayakan yang turut dibarisi Jepun, Australia dan Arab Saudi.
BACA LAGI: Patah tulang rahang akibat langgar Saddil, bek Sabah mungkin terlepas baki aksi Liga Super
BACA LAGI: Sumbat gol lawan skuad Jang, Saddil Ramdani masih tak puas hati prestasi sendiri
Selepas bersara, Kluivert memegang beberapa jawatan, termasuk penolong jurulatih Belanda dari tahun 2012 hingga 2014, pengarah bola sepak di Paris Saint Germain (2016-2017) dan penasihat akademi-akademi bola sepak.
Lantikan penyerang terbaik Eropah di era 90-an dan awal 2000 itu diharap dapat membuka lembaran baharu kepada bintang Indonesia untuk mendapat panggilan dan antaranya ialah tonggak Sabah FC iaitu Saddil Ramdani.
Bagaimanapun, penyerang sayap itu memberitahu bahawa sehingga kini dia tidak lagi dapat panggilan untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan Indonesia biarpun ramai yang merindui pemain itu untuk kembali bersama pasukan kebangsaannya.
Memetik laporan portal Harimau Malaya, pemain berusia 26 tahun tersebut enggan terlalu memikirkan soal tersebut sebaliknya berkata fokus ketika ini adalah untuk kelabnya, The Rhinos.
Saddil hanya mahu memberi fokusnya untuk Sabah.
“Tiada panggilan terkini. Saya fokus sepenuhnya dengan Sabah FC. Tapi saya bangga melihat ramai pemain Indonesia kini bermain di Eropah. Mereka contoh baik untuk generasi muda,” katanya.
Perkembangan dari Saddil itu bagaimanapun tidak menimbulkan reaksi kurang senang daripada penyokong dek pengikut bola sepak Indonesia beranggapan mereka mempunyai banyak pilihan pemain.
“Saddil pun sekarang dah kurang cemerlang bermain,” kata penyokong Indonesia, Dafifernando Jorada.
“Bukan bagus pun dah Saddil ini, dah makin merosot,” pendapat pengikut Sang Garuda, Masters Bread.
Kluivert dilantik untuk mengendalikan Sang Garuda.
Jika dilihat statistik Saddil musim ini bersama Sabah FC, penyerang sayap itu hanya mencetak enam gol dan dua bantuan jaringan dalam 17 aksi dia diturunkan. Saddil juga musim ini banyak dihimpit masalah kecederaan.
Melihat senarai pemain Indonesia, bintang muda Indonesia seperti Dony Tri Pamungkas, Victor Dethan, Witan Sulaeman, Egy Maulana Vikri dan Alfriyanto Nico boleh menjadi pilihan untuk posisi yang ditawarkan oleh Saddil.
Sebelum ini, Tae-yong menyingkirkan Saddil kerana tidak sesuai dengan taktikal selepas dinilai oleh barisan kejurulatihan termasuk aspek teknikal dan strategi permainan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram