
SENYUMAN terukir di wajah penyokong bola sepak di Melaka berikutan kejayaan pasukan dari negeri berkenaan muncul juara Liga A1 Semi Pro dalam musim kedua mereka.
Kelab yang sebelum ini bertahun-tahun terpalit dengan kemelut pengurusan itu kelihatan sudah kembali ke landasan sehingga dapat menarik ribuan penonton untuk hadir ke Stadium Hang Jebat, Melaka setiap kali aksi berlangsung.
Bukan itu sahaja, kejayaan menjuarai pertandingan anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) tersebut membuatkan anak-anak buah K Devan meletakkan harapan untuk menyaksikan pasukan mereka kembali ke Liga Super 2025/26.
BACA LAGI: Kelab Liga A2 tak setuju Kelantan Red Warrior terus lompat ke Liga A1
BACA LAGI: Demi dapatkan semula keyakinan, Sumareh dan bintang Selangor, NSFC wajar turun ke Liga A1
Melaka FC menjuarai Liga A1 Semi Pro selepas konsisten sepanjang musim. — Facebook/Melaka FC
Meskipun sebarang keputusan masih belum boleh dibuat, sasaran itu diletakkan kerana sebahagian besar daripada pemain dalam Melaka FC hari ini pernah beraksi di divisyen teratas bola sepak tanah air sebelum ini.
Malah, ada sesetengah daripada mereka bersaing dalam Liga Super 2023, namun memilih untuk melangkah ke Liga A1 Semi Pro dan menyertai skuad Hang Tuah untuk mengumpul pengalaman baharu.
Berdasarkan skuad Melaka FC yang megah ketika ini, dua daripada mereka beraksi buat Perak FC dan seorang daripadanya bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam divisyen teratas bola sepak tempatan musim lalu.
1. T Shaheeshwaran
Kepulangan skuad The Bos Gaurus (TBG) ke Liga Super 2023 disusuli dengan kehadiran lambakan pemain muda kerana pendekatan itu digemari Datuk Lim Teong Kim sebelum diteruskan Yusri Che Lah.
Salah seorang 'ubi muda' dibawa masuk pihak pengurusan ialah penjaga gol, T Shaheeshwaran yang tiba secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) II dengan reputasi cukup baik.
Bagaimanapun, pengalaman dan tempoh dihabiskan bersama skuad muda Harimau Selatan sahaja tidak cukup bagi pemain itu untuk menghalang gawang Perak FC daripada terus mudah untuk ditembusi.
Shaheeshwaran menyertai skuad Hang Tuah dari JDT II. — Facebook/Melaka FC
Mengikut rekod, sepanjang berada di Utara tanah air, Shaheeshwaran diturunkan sebanyak 18 kali secara keseluruhan dengan 14 daripadanya hadir dalam saingan Liga Super.
Dalam kesemua penampilan berkenaan, pemain berusia 26 tahun berkenaan dibolosi 36 kali, sekali gus menyaksikan skuad TBG tidak menyambung kontraknya lalu mendesaknya kembali ke pangkuan JDT II.
Namun, dia sekali lagi meninggalkan kelab Selatan tanah air tersebut untuk menyertai Melaka FC dalam Liga A1 Semi Pro yang menyaksikannya berjaya membantu pasukan tersebut menjulang kejuaraan.
2. Haziq Puad
Meskipun cukup cenderung untuk merekrut 'ubi muda' ke dalam pasukan, pihak pengurusan Perak FC turut membawa masuk beberapa pemain berpengalaman dalam usaha mewujudkan skuad yang stabil.
Antara menjadi pilihan skuad TBG ialah Haziq Puad yang berstatus ejen bebas berikutan pembubaran Melaka United menjelang musim 2023 akibat masalah tunggakan gaji serius sepanjang tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, tempohnya bersama Perak FC kurang memberangsangkan sehingga menyaksikannya dipinjamkan ke Penang FC pada jendela perpindahan kedua dengan keputusan itu juga tidak membuahkan hasil seperti mana diharapkan.
Haziq (kanan) merupakan nadi utama barisan pertahanan skuad Hang Tuah. — Facebook/Melaka FC
Menyedari kesukaran dalam merebut tempat, Haziq kemudiannya memilih untuk menyertai Melaka FC pada Februari tahun lalu dengan harapan kehadirannya dapat membantu pasukan tersebut.
Sasaran itu berjaya dicapai apabila dia menjadi watak utama dalam skuad Hang Tuah, termasuk ketika aksi getir menentang Imigresen FC dengan bek tengah tersebut meledak gol pada minit akhir permainan untuk mengikat kedudukan.
Dalam aspek pertahanan pula, pemain berusia 31 tahun itu mencipta keserasian baik bersama kapten, Nasir Basharuddin untuk memastikan Melaka FC hanya dibolosi 13 kali dalam 28 perlawanan Liga A1 Semi Pro.
3. Faizal Talib
Selain cemerlang dari segi pertahanan, rahsia kejayaan Melaka FC dalam saingan Liga A1 Semi Pro kali ini adalah berpunca daripada jentera serangan yang cukup baik dengan 81 gol dicetak.
Kredit harus diberikan kepada penyerang utama, Azim Rahim yang sekali lagi muncul sebagai penjaring terbanyak selepas meledak 22 jaringan dengan ini bukanlah kali pertama dia membawa pulang anugerah tersebut.
Namun, barisan serangan skuad Hang Tuah juga dilengkapi seorang lagi pemain yang berpengalaman dalam Liga Super, iaitu Faizal Talib yang tiba pada jendela perpindahan kedua Liga A1 Semi Pro.
Faizal Talib menyertai skuad Hang Tuah pada September lalu. — Facebook/Melaka FC
Pada kempen 2023, pemain itu beraksi bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC, namun hanya sempat diturunkan sebanyak dua kali kerana terdapat lambakan pilihan lain dalam posisi tersebut.
Selepas itu, Faizal yang berusia 27 tahun memilih untuk menyertai Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada awal musim ini sebelum akhirnya berkelana ke Melaka FC pada September tahun lalu.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada khidmatnya kerap ditagih bersama skuad Hang Tuah kerana dia lebih kerap memanaskan bangku simpanan sejak ketibaannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram