PERKHABARAN mengenai kemunculan semula Kelantan menerusi nama Kelantan Red Warrior (KRW) membangkitkan keterujaan dalam kalangan penyokong kelab itu.
Bekas pemenang treble Liga Malaysia itu mahu kembali semula ke kancah bola sepak tempatan dengan mereka tidak terburu-buru ingin bermain di Liga Super.
Sebaliknya, mereka ingin menempatkan diri mereka ke Liga A1 Semi-Pro yang kini dianggap sebagai divisyen kedua bola sepak Malaysia.
BACA LAGI: 'Jangan kena banyak penyakit', Kelantan Red Warriors hanya diharap stabil berbanding TRW, KDN
BACA LAGI: 'Dari penyokong untuk penyokong', KRW muncul simbol harapan bola sepak Kelantan
Saat ia kelihatan baik-baik saja, namun tindakan KRW dilihat tidak disenangi oleh beberapa kelab yang beraksi dalam sistem bola sepak bawahan negara dikendalikan oleh Amateur Football League (AFL).
Memetik laporan Stadium Astro, bagi kelab Liga A2 Amatur, banyak di antara mereka yang inginkan tempat beraksi di Liga A1 pada musim seterusnya.
Wan Tendong Stable (jersi merah) dan Guar Syed Alwi (jersi kuning) akan memasuki Liga A1 musim depan. — Facebook/DH Studio
Bagi Presiden AAK Ultimate, Shambri Dukor, ia dilihat tidak adil sekiranya KRW terus diberikan slot ke Liga A1 sedangkan ia sudah diisi oleh dua kelab lain iaitu Guar Syed Alwi FC dan Wan Tendong Stable FC yang melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Al-Ikhsan musim ini.
Kata Shambri, sepatutnya KRW bermula daripada peringkat lebih bawah seperti Liga A3 Komuniti dan bukannya terus ke Liga A1.
"Agak terkejut kerana AFL punyai organisasi yang perlu bermula daripada peringkat bawah bermula A3,A2 dan baru A1, secara peribadi saya rasa perkara itu wajar dibenarkan.
"Kerana banyak pasukan bermula daripada bawah dan mengimpikan untuk beraksi di Liga A1. Kami bermula daripada bawah dan cuba mencapai keinginan itu dengan cara betul serta mengikut prosedur," jelasnya.
Bagi Shambri, seandainya Guar Syed Alwi atau Wan Tendong Stable memilih untuk menarik diri daripada menyertai Liga A1 musim depan, slot itu tidak sepatutnya diberikan kepada KRW.
Sebaliknya, ia perlu diberikan kepada pasukan yang sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir Piala Al-Ikhsan dek kerana merit pencapaian mereka dalam kejohanan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram