Sumareh, bekas bintang Kedah antara pilihan OKS andai mahu khidmat pemain lokal di Persis Solo


  • Podium
  • Jumaat, 21 Feb 2025

Kim Swee terbuka untuk membawa masuk pemain tempatan ke dalam pasukan Indonesia tersebut sekiranya kekal dalam divisyen teratas. — Facebook/Persis Solo

JURULATIH berpengalaman tanah air, Datuk Ong Kim Swee membuat keputusan berani pada November tahun lalu apabila meninggalkan arena bola sepak tanah air dan berkelana ke Indonesia untuk mengendalikan Persis Solo.

Penghijarahan itu sememangnya menarik untuk disaksikan kerana pengendali berusia 54 tahun terbabit memiliki pengalaman luas dalam bidang tersebut kerana pernah bersama Sabah FC dan Harimau Muda.

Tetapi, sepanjang berada di bawah bimbingannya, Persis Solo hanya mencatatkan dua kemenangan dalam 12 perlawanan Liga 1 Indonesia yang menyaksikan pasukan itu terperosok ke dasar carta selepas beraksi 23 kali musim ini.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kad kuning untuk coach Torres', fans Persis Solo usik bekas jurulatih HM lepas insiden terjahan Ong Kim Swee

BACA LAGI: [VIDEO] Raih kemenangan ke-2 di Indonesia, aksi Kim Swee terduduk kena 'tackle' curi tumpuan

Persis Solo masih berada di kedudukan tercorot Liga 1 Indonesia selepas 23 perlawanan. Facebook/Persis Solo

Kegusaran terbabit juga diluahkan dalam satu temubual bersama media tempatan baru-baru ini dengan jurulatih kelahiran Melaka tersebut mengakui misi utamanya adalah untuk memastikan pasukannya kekal di divisyen pertama Indonesia.

Namun, di sebalik keresahan dikongsikan tersebut, Kim Swee turut mengatakan kerelaannya untuk membawa masuk mana-mana pemain tempatan ke dalam Persis Solo dengan hasrat perpindahan sedemikian dapat merancakkannya lagi pada tahun-tahun akan datang.

Meskipun terdapat kemungkinan bintang lokal tidak dapat menyesuaikan diri, keberadaan bekas import Liga Super dalam Persis Solo pasti akan memudahkan usaha mewujudkan persefahaman baik dalam bilik persalinan.

Berdasarkan pemerhatian, terdapat tiga calon yang boleh disambar bekas pengendali skuad Sang Badak itu ke kelab Indonesia tersebut pada jendela perpindahan penghujung musim nanti.

1. Irfan Zakaria

Kepincangan dari segi pertahanan merupakan isu utama perlu diselesaikan Kim Swee bersama Persis Solo kerana daripada 12 perlawanan, mereka hanya merekodkan satu 'clean sheet'.

Walaupun rekod pertahanan pasukan bukanlah yang terburuk dalam Liga 1 Indonesia, jalan penyelesaian terbaik perlu dicari, lebih-lebih lagi sekiranya kelab itu kekal dalam divisyen teratas musim depan.

Irfan tidak terikat dengan mana-mana pasukan sejak meninggalkan skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Jadi, sekiranya Kim Swee mahu menyambar seorang pemain pertahanan tempatan, dia boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat Irfan Zakaria yang tidak terikat dengan mana-mana pasukan ketika ini.

Dia yang sebelum ini beraksi buat Kedah Darul Aman (KDA) FC bertindak menamatkan kontraknya lebih awal selepas kelab Utara tanah air tersebut tidak menjaga kebajikan pemain dan staf kejurulatihan.

Jadi, sekiranya Persis Solo mahu mendapatkan seorang bek tengah baharu, Irfan Zakaria perlu berada dalam senarai memandangkan dia pernah berkhidmat buat Kim Swee ketika kedua-dua mereka masih di Sabah FC pada 2023.

Selain itu, bekas pemain kebangsaan tersebut berpeluang kembali beraksi di samping rekrut baharu Persis Solo, Cleylton dos Santos yang juga meninggalkan KDA FC disebabkan isu tunggakan gaji.

2. Mohamadou Sumareh

Sehingga hari ini, keberadaan Mohamadou Sumareh dalam skuad Harimau Selatan terus dipersoalkan kerana dia hanya dibawa masuk pada penghujung permainan sejak tiba empat tahun lalu.

Meskipun terdapat saranan penyokong untuknya menyertai mana-mana kelab Liga Super secara pinjaman, pemain naturalisasi negara itu terus setia bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).

Sumareh lebih kerap memanaskan bangku simpanan bersama skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Jadi, sekiranya dia mahu merindukan momen beraksi ligat di atas padang, dia boleh mencuba nasib di Indonesia bersama Persis Solo meskipun tidak pernah mengumpul sebarang pengalaman di sana.

Perpindahan ke Persis Solo akan membolehkannya beraksi di samping pemain dalam barisan serangan yang berkualiti, seperti Ramadhan Sananta dan Arkhan Solo yang terus menjadi tonggak utama pasukan.

Bagaimanapun, perpindahan itu sudah tentu sukar untuk direalisasikan kerana pihak pengurusan Persis Solo sukar untuk mengikuti perkembangan Sumareh yang kurang beraksi secara kompetitif musim ini.

3. Irfan Fazail

Sepanjang kariernya setakat ini, Irfan Fazail banyak meluangkan masa di bawah bimbingan Kim Swee sejak memulakan karier di Harimau Muda sebelum sekali lagi bergabung di Borneo tanah air.

Kerjasama kukuh itu boleh dikatakan berpunca daripada kepercayaan jurulatih berkenaan terhadap pemain kelahiran Pontian, Johor itu yang tenang mengawal rentak dan tempo pasukan.

Malah, dengan usianya sudah lanjut ketika ini, kebergantungan Kim Swee terhadap Irfan masih dapat disaksikan kerana tonggak di posisi tengah itu kerap diturunkan sebelum penghijrahan Kim Swee ke Persis Solo.

Irfan Fazail (kanan) mempunyai persefahaman baik dengan Kim Swee. Instagram/Irfan Fazail

Jadi, sekiranya mereka mahu sekali lagi meneruskan persefahaman berkenaan, ia boleh dihidupkan kembali di kelab Indonesia berkenaan sekiranya Sabah FC tidak lagi memerlukan khidmatnya.

Bagaimanapun, perpindahan berkenaan masih sukar untuk dimeterai kerana Kim Swee sudah mempunyai pelbagai pilihan di posisi Irfan, sekali gus membuatkan kehadirannya kurang diperlukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram