Piala Cabaran bukan ‘standard’ Selangor — Legenda Merah Kuning


  • Podium
  • Ahad, 23 Feb 2025

Reduan berpendapat Selangor boleh mendakap trofi yang lebih baik dengan status sebagai gergasi dalam Liga Malaysia. — Selangor FC

SELANGOR FC menamatkan kemarau hampir 10 tahun tanpa kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) apabila merangkul Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu (22 Februari).

Kali terakhir Selangor memenangi trofi adalah sedekad lalu ketika menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-33 selepas mengalahkan Kedah 2-0 pada aksi final 2015 di Stadium Shah Alam.

Skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi sebelum itu mendapat tonik terbaik selepas dianugerahkan kemenangan 3-0 pada perlawanan akhir pertama pada Sabtu lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ada budak tengok game', sambutan gol lucah KL City dikritik penyokong

BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum sertai Liga M dan JDT, 4 bintang import cipta status 'duri dalam daging' sekat hajat Harimau Selatan di Asia

Ini gara-gara PDRM FC selaku penyandang juara tewas 2-3 dalam perlawanan itu selepas didapati menurunkan pemain yang dikenakan penggantungan perlawanan ketika tersebut.

Kesempatan itu dimanfaatkan sebaik mungkin Red Giants untuk melakar kemenangan 4-0 sekali gus agregat 7-0 dalam perlawanan timbal balik kedua di Stadium MBPJ.

Mengulas lanjut mengenai pencapaian Gergasi Merah, legenda Selangor, Reduan Abdullah berasakan Piala Cabaran bukanlah tempat sebenar buat pasukan itu untuk menutup tirai Liga Malaysia.

"Tahniah buat Selangor kerana berjaya memenangi Piala Cabaran dan melengkapkan semua trofi dalam negara ini.

"Tetapi kejohanan Piala Cabaran bukanlah podium atau medan tepat buat Selangor umum mengetahui status pasukan itu sepatutnya berada di final Piala Malaysia.

"Namun untuk musim ini mungkin boleh menjadi pemangkin semangat buat Selangor untuk terus bersaing lebih kuat bagi musim depan.

"Adakah ini matlamat pengurusan Selangor musim ini? Saya rasa mereka boleh buat yang lebih baik.

"Kerana berada di final Piala Malaysia amat penting kerana ia penutup Liga Malaysia dan dua pasukan yang berada di pentas itu merupakan pasukan terbaik Liga Malaysia," katanya kepada Majoriti.

Menyentuh isu stadium tiada sambutan, Reduan berkata, faktor keputusan tindakan MFL terhadap PDRM di bawah kendalian P Maniam, mungkin menjadi punca penyokong tidak hadir.

"Kalau keputusan masih 3-2 macam perlawanan pertama mungkin penyokong akan lebih ramai sebab ada 'fight' dalam aksi itu.

"Tetapi selepas MFL dah batalkan perlawanan akhir pertama dan berikan kemenangan 3-0 kepada Selangor, mungkin penyokong pun dah boleh jangka siapa menang.

"Akan tetapi cadangan buat MFL selepas ini, wajar untuk final Piala Cabaran dimainkan satu perlawanan sahaja di gelanggang berkecuali.

"Satu lagi faktor, mungkin sebagai penyokong berasakan Piala Cabaran bukanlah trofi 'standard' Selangor," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram