
HUBUNGAN antara penyokong bola sepak tempatan dengan bekas pemain import yang cemerlang sering kali kekal erat walaupun hakikatnya mereka sudah lama meninggalkan Liga Malaysia (Liga M).
Kelompok pemain import yang berada dalam kategori cemerlang itu akan terus diingati hingga kebanyakan penyokong masih mengikuti perkembangan mereka, sama ada di media sosial atau melalui berita bola sepak.
Apa yang menarik dari perkembangan sebahagian pemain import berkenaan, ada di antara mereka dikesan masih aktif dalam dunia bola sepak meskipun sudah lebih 10 tahun meninggalkan zaman kemuncak iaitu ketika beraksi dalam saingan Liga M.
BACA LAGI: 'Dia nak lihat saya atas padang', Liridon Krasniqi beri bayangan kembali beraksi
Walaupun usia semakin meningkat, sebahagian daripada pemain import ini terus menunjukkan ketahanan fizikal dan mental yang luar biasa, membuktikan bahawa kecintaan serta dedikasi terhadap sukan ini tidak pernah pudar.
Berdasarkan pemerhatian, bekas pemain import yang pernah menyarung jersi Kedah Darul Aman (KDA) FC, Johor Darul Ta'zim (JDT), dan Selangor masih aktif dalam dunia bola sepak meskipun sudah lebih satu dekad berlalu sejak mereka beraksi di Malaysia.
1) Liridon Krasniqi
Tangkap layar video sesi percubaan Liridon bersama FC Schaffhausen.
Bekas pemain kebangsaan, Liridon Krasniqi cukup dikenali sebagai salah seorang import yang sukses dalam liga domestik dan dia mula mencipta namanya ketika menyarung jersi KDA FC pada 2015 hingga 2018.
Liridon atau mesra dengan panggilan Mat Don memainkan peranan penting dalam membantu pasukan Utara tanah air itu meraih beberapa kejayaan, termasuk kejuaraan Piala Malaysia 2016 dan Piala FA 2017.
Setelah itu, Liridon beraksi dengan pelbagai kelab seperti Melaka, JDT dan kelab luar negara seperti Newcastle Jets di Australia. Pada 2023, Liridon kembali ke Liga M dengan menyertai Terengganu FC bagi membuktikan kemampuannya.
Pemain berusia 33 tahun itu semakin hilang gaya permainan yang agresif dan kreativiti di bahagian tengah, khidmat Liridon ditamatkan oleh pihak pengurusan skuad Sang Penyu pada penghujung musim 2023.
Terbaharu, naturalisasi berkenaan difahamkan sudah menandatangani kontrak bersama kelab divisyen kelima Switzerland, FC Schaffhausen selepas menjalani sesi percubaan pada bulan lalu.
2) Hariss Harun
Hariss juga merupakan ketua pasukan ketika beraksi bersama JDT. — Facebook/JDT
Bekas pemain tengah berpengaruh JDT, Hariss Harun masih beraksi sebagai pemain utama Lion City Sailors dan kekal sebagai antara tonggak berpengalaman dalam skuad kebangsaan Singapura.
Musim ini sahaja, pemain berusia 34 tahun itu tampil dalam 32 perlawanan termasuk membuat penampilan dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) bersama pasukan gergasi Singapura tersebut.
Sebelum bersama Lion City selama empat musim, Hariss merupakan pemain tengah berpengaruh yang pernah menjadi tonggak utama skuad Harimau Selatan dari musim 2014 hingga 2017 dan menyertai JDT semula pada musim 2017 hingga 2021.
Hariss memainkan peranan penting dalam kejayaan JDT, termasuk membantu memenangi banyak gelaran Liga Super serta menjulang Piala AFC pada 2015, menjadikan Harimau Selatan sebagai pasukan Asia Tenggara pertama yang menjuarai kejohanan itu.
Sebagai kapten JDT selama beberapa musim, pemain kelahiran Singapura itu dikenali dengan kepimpinannya di atas padang, kekuatan fizikal serta kemampuannya mengawal bahagian tengah permainan.
3) Andik Vermansyah
Andik salah seorang pemain import berjaya Selangor. — Facebook/SelangorFC
Pemain sayap lincah, Andik Vermansah pernah memeriahkan Liga M dengan menyertai Selangor FC pada musim 2013 hingga 2017 dan menyarung jersi Kedah selama semusim, dari 2018 hingga 2019.
Ketika bersama Selangor, pemain Indonesia berkenaan segera mencuri perhatian dengan kepantasan, kawalan bola yang baik, serta kemampuannya mencipta peluang dan menjaringkan gol.
Sepanjang empat musim bersama Gergasi Merah, Andik menjadi salah seorang pemain import paling digemari penyokong Selangor, terutama selepas membantu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia 2015.
Karier Andik terus berkembang sejak kembali ke Liga 1 Indonesia dengan menyertai Madura United pada 2019 itu, dia turut bermain untuk beberapa kelab lain seperti Bhayangkara FC dan Persebaya Surabaya.
Kini, pemain berusia 33 tahun itu masih aktif dalam bola sepak Indonesia, meskipun tidak lagi berada di puncak prestasi seperti dahulu. Andik kini merupakan tonggak utama pasukan divisyen kedua Indonesia, Persiraja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram