Kad merah, hukuman MFL buatkan PDRM tampak lesu dibedal Selangor


  • Podium
  • Sabtu, 22 Feb 2025

Selangor menewaskan PDRM dengan keputusan agregat 7-0.

SELEPAS 10 tahun sunyi tanpa piala, Selangor FC  akhirnya menjulang trofi pertandingan domestik apabila berjaya menewaskan PDRM FC dengan keputusan agregat 7-0 dalam aksi final Piala Cabaran pusingan dua pada Sabtu.

Dalam perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor itu menyaksikan skuad kendalian Katsuhito Kinoshi menurukan barisan terbaiknya seperti trio serangan Ronnie Fernandez, Alvin Fortes dan Ali Olwan.

PDRM FC bukan hanya turun tanpa pengendali mereka iaitu P. Maniam, malah penggempur utama The Cops, Ifedayo Olusegun juga tidak berada dalam senarai pemain utama mahupun simpanan. 

BACA LAGI: Piala Cabaran: Jangan ketepikan peluang kami lakukan ‘upset’ — Maniam

BACA LAGI: Tekanan bertambah sarung lilitan kapten, Nooa Laine sedia sahut cabaran Kinoshi

Seawal minit ketiga, Gergasi Merah sudah mula menunjukkan agresif apabila Ali Olwan mejaringkan gol selepas menerima hantaran cukup baik daripada Nikola Jambor. 

Tujuh minit kemudian, Gergasi Merah terus menambah jaringan kedua menerusi Yohandry Orozco. 

Pada minit ke-21 perlawanan, PDRM FC terpaksa bermain dengan 10 orang pemain selepas Eizrul Ashraf dikenakan kad merah susulan terjahan ke arah Jambor. 

Tidak lama selepas itu, Quentin Cheng memberi hantaran lintang dan disambut baik oleh Ronnie Fernandez pada minit ke-29 selepas penyerang Chile itu menanduk masuk bola ke gawang PDRM. 

Selepas 35 minit separuh masa kedua berlangsung, naib juara Piala FA 2025 berkenaan terus menambah jaringan menerusi percubaan daripada Oroszco pada minit ke-79. 

Gergasi Merah terus mencari gol tambahan tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Selangor meraih trofi pertama sejak menjulang Piala Malaysia pada 2015.

Ketika kem Selangor bergembira dengan kemenangan itu, penyokong The Cops nyata sudah menduga keputusan itu ekoran isu hukuman dari Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Jumaat yang memghukum skuad Sang Saka Biru dengan memberi kemenangan 3-0 ke atas Gergasi Merah. 

“Kasihan PDRM aku tengok. Mereka macam tiada semangat nak main, mesti mengharapkan masa cepat habis. Perlawanan pun tidak menarik sebab tiada fight.  Nampak pertahanan PDRM tiada semangat,” kata penyokong, Pencinta Alam.

“PDRM pun malas nak main. Walaupun keputusan saat akhir tidak menyebelahi tetapi PDRM tidak tarik diri,” tambah penyokong, MN Fikri. 

Untuk rekod, PDRM FC menerima tamparan hebat apabila dikenakan hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jawatankuasa Tatatertib FAM mendapati juara Piala Cabaran musim 2023 itu menurunkan pemain yang tidak berkelayakan dalam aksi final pertama yang berlangsung pada Sabtu minggu lalu.

Safiee Ahmad dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, walaupun sepatutnya digantung satu perlawanan kerana mengutip dua kad kuning dalam aksi suku akhir pertama menentang Melaka FC dan separuh akhir kedua menentang Kedah Darul Aman FC.

Akibatnya, PDRM dilucutkan hak perlawanan dan dikira telah tewas dalam aksi final pertama dengan keputusan 3-0 dan turut diarah membayar denda RM3,000. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram