‘MFL terlepas pandang?’, ramai persoal The Cops lewat dihukum, kini ketinggalan agregat 0-3 di tangan Gergasi Merah


  • Podium
  • Sabtu, 22 Feb 2025

Keputusan dihukum FAM dilihat mengganggu mental dan fokus pasukan PDRM untuk mempertahankan kejuaraan Piala Cabaran. — Facebook/PDRMFC

MENJELANG perlawanan akhir kedua Piala Cabaran 2024, PDRM FC menerima tamparan hebat apabila dikenakan hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jawatankuasa Tatatertib FAM mendapati juara Piala Cabaran musim 2023 itu menurunkan pemain yang tidak berkelayakan dalam aksi final pertama yang berlangsung pada Sabtu minggu lalu.

Safiee Ahmad dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, walaupun sepatutnya digantung satu perlawanan kerana mengutip dua kad kuning dalam aksi suku akhir pertama menentang Melaka FC dan separuh akhir kedua menentang Kedah Darul Aman FC.

BACA LAGI: MFL perlu pulih kepercayaan ramai, lantik CEO ikut reputasi dan pengalaman — Zulakbal

BACA LAGI: Budaya kerja, cuaca, pemakanan di Malaysia mungkin jadi faktor Rossi undur diri CEO MFL

Akibatnya, PDRM dilucutkan hak perlawanan dan dikira telah tewas dalam aksi final pertama dengan keputusan 3-0 dan turut diarah membayar denda RM3,000.

Keputusan itu dilihat memberi kelebihan kepada Selangor FC kerana pasukan itu tidak lagi bimbang dengan kelebihan dua gol yang sebelum ini dimiliki PDRM dalam aksi final kedua.

Kelewatan hukuman itu menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong mengenai kelalaian MFL dalam menangani isu disiplin PDRM.

Penyokong berpendapat bahawa keputusan seharusnya dibuat lebih awal untuk mengelakkan gangguan terhadap mental dan fokus pasukan PDRM.

Gergasi Merah kini memiliki kelebihan untuk bergelar juara Piala Cabaran 2024 selepas PDRM FC dilucutkan hak perlawanan dan dikira tewas. Facebook/Selangorfc

Menurut segelintir penyokong, hukuman yang dijatuhkan terhadap PDRM sepatutnya dilakukan lebih awal bagi memastikan pasukan tersebut tidak terganggu dari segi mental dan fokus.

Salah seorang penyokong tanah air, Muhammad Aiman menyuarakan pandangan peribadinya mengenai ketelusan dan kecekapan MFL dalam menangani isu-isu penting yang melibatkan integriti dan keberkesanan dalam saingan liga.

"Apa benda lah mengarut nak m***** Liga Malaysia ini, sepatutnya kalau bersalah keputusan dibuat dalam 24 jam bukan selepas seminggu, sudahlah petang baru saja press conference, tiba-tiba malam didenda, baik kau suruh PDRM tarik diri saja.

"Macam mana dalam meeting OTP match commisioner/coordinator boleh terlepas pandang?. Biasa dalam meeting akan diberitahu pemain mana digantung, kalau masa itu sudah clear, tak boleh salahkan PDRM," katanya. 

Perlawanan akhir kedua Piala Cabaran antara PDRM FC dan Selangor FC akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Sabtu (22 Februari). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram