MELIHAT kepada landskap Liga A1 Semi Pro musim ini, persaingan sengit dapat disaksikan kerana pendahulu, Melaka FC hanya memiliki kelebihan tiga mata berbanding pasukan di tangga keempat, Bunga Raya Damansara FC.
Jarak dekat itu menceritakan bahawa jurang kualiti antara kelab-kelab semi pro sudah mengecil berbanding Liga Super yang didominasi sepenuhnya Johor Darul Ta'zim (JDT) sepanjang 10 tahun lalu.
Situasi itu sememangnya sesuatu yang sihat kerana liga tersebut boleh menarik lebih ramai penyokong sekiranya konsisten, sekali gus mengangkat tahap kompetitif saban musim.
BACA LAGI: Bukan Kedah, AFL tak tolak kemungkinan ada kelab Liga Super mohon sertai Liga A1
BACA LAGI: Kedah sedia turun liga, Sri Pahang bakal tarik diri?
Azim Rahim kembali dikenali sejak turun ke Liga A1 Semi Pro. — Facebook/Melaka FC
Malah, pemain di divisyen utama juga boleh meraih manfaat kerana mereka mempunyai platform untuk memperbaiki keyakinan, lebih-lebih lagi buat mereka yang sudah tumpul dalam musim-musim kebelakangan ini.
Perubahan tersebut sudah dibuktikan beberapa bekas pemain Liga Super, seperti Azim Rahim dan Kogileswaran Raj yang kembali dikenali selepas sebelum ini kerana bergelut untuk bersaing dalam divisyen tersebut.
Peluang turun ke Liga A1 Semi Pro itu sepatutnya diambil pemain dari JDT, Selangor FC dan Negeri Sembilan FC yang memerlukan nafas baharu demi memperbaiki semula kebolehan masing-masing.
1. Mohamadou Sumareh (JDT)
Keputusan JDT meletakkan Mohamadou Sumareh di bangku simpanan tidak memberi kesan terhadapnya kerana dia kelihatan cukup gembira dengan gaji lumayan dan setiap gelaran yang dijulangnya saban musim.
Manakan tidak, sepanjang empat musim bersama skuad Harimau Selatan, pemain naturalisasi negara tersebut sudah muncul juara dalam 10 pertandingan, termasuk tiga kejuaraan Liga Super berturut-turut.
Sumareh selesa bersama skuad Harimau Selatan meskipun kerap disisihkan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, sekiranya penyerang sayap tersebut mahu nafas baharu dalam kariernya, penghijrahan ke mana-mana pasukan Liga A1 Semi Pro adalah langkah terbaik berbanding memilih kelab Liga Super.
Perpindahan secara pinjaman boleh dikatakan memadai memandangkan pasukan dalam liga semi pro itu pasti berminat dengan sentuhan dan pengalamannya selepas lebih 10 tahun di divisyen atasan.
Bagaimanapun, isu kewangan melanda beberapa kelab akan membuatkan Sumareh berfikir-fikir untuk mengambil langkah sedemikian setelah bertahun-tahun selesa dengan kemewahan bersama JDT.
2. Danial Asri (Selangor FC)
Setelah kira-kira setahun mengalami kemarau jaringan yang amat teruk, Danial Asri akhirnya meledak ketika suku akhir kedua MFL Challenge Cup antara Selangor FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC di laman sendiri.
Prestasi tersebut menceritakan bagaimana penyerang kelahiran Selangor itu terus bergelut untuk menempa nama meskipun sudah bermusim-musim diberikan peluang oleh pihak kejurulatihan skuad Gergasi Merah.
Danial perlu mencari angin baharu demi kariernya. — Facebook/Selangor FC
Jadi, sekiranya penyerang berusia 24 tahun itu mahu mengembalikan keyakinan penyokong terhadapnya, dia perlu mengambil langkah berani dengan membuat permintaan supaya dilepaskan ke kelab Liga A1 Semi Pro.
Selain dapat beraksi dalam suasana berbeza, tidak mustahil bagi Danial memperbaiki gaya permainannya ketika berdepan pertahanan yang kurang mencabar untuk menambah baik statistiknya di hadapan gawang lawan.
Meskipun terdapat kemungkinan gaji ditawarkan kepadanya lebih rendah, dia perlu menyedari kepentingan mendapatkan semula kepercayaan pihak pengurusan Selangor FC demi kariernya sendiri.
3. Hadin Azman (Negeri Sembilan FC)
Kejayaan menjulang Piala Malaysia 2021 serta layak ke perlawanan akhir Piala AFC musim berikutnya bersama Kuala Lumpur (KL) City boleh dianggap sebagai dua momen paling membanggakan buat bekas pemain kebangsaan, Hadin Azman dalam tahun-tahun kebelakangan ini.
Ini kerana sejak itu, dia gagal meninggalkan sebarang impak sejak menyertai Penang FC pada 2023 sebelum berkelana ke Negeri Sembilan FC pada jendela perpindahan pertama bagi kempen 2024/25.
Hadin gagal membawa sebarang impak sejak menyertai skuad Jang. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Kemerosotan dialami bekas 'ubi muda' JDT itu sememangnya sesuatu yang sedih untuk disaksikan kerana melihat kepada usianya, Hadin boleh beraksi di tahap tertinggi untuk sekurang-kurangnya tiga tahun lagi.
Sekiranya anak jati KL tersebut menyedari akan prestasinya yang semakin merudum, perpindahan ke kelab Liga A1 Semi Pro merupakan antara pilihan terbaik dengan PT Athletics FC dan Bunga Raya Damansara merupakan destinasi pilihan baginya.
Kehadiran seorang lagi bekas pemain kebangsaan juga akan memeriahkan divisyen semi pro tersebut, sekali gus menarik lebih banyak syarikat untuk muncul sebagai penaja baharu mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram