
SENTUHAN Arne Slot jelas menjadi bersama Liverpool musim ini apabila mereka selesa berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selain menamatkan fasa kumpulan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) di kedudukan pertama.
Kualiti pemain dimiliki sememangnya tidak dapat dinafikan, namun kejayaan di bawah pengurus kelahiran Belanda itu sedikit mengejutkan kerana dia tidak memerlukan masa lama untuk membawa impak sedemikian.
Malah, pencapaian yang diraih tanpa sebarang pelaburan besar dibuat sepanjang dua jendela perpindahan membuktikan Arne Slot memiliki pengetahuan mendalam mengenai setiap anak-anak buahnya.
BACA LAGI: 'Terima kasih dan selamat tinggal Marcus Rashford'
Impak dibawa Arne Slot (tengah) dalam tempoh ringkas setakat ini amat mengagumkan. — Agensi
Kedudukan memuaskan itu menyaksikan skuad The Reds tidak henti-henti menerima pujian, termasuk daripada pemerhati bola sepak sekitar Eropah yang kagum akan impak dibawanya.
Tidak cukup dengan itu, pengurus elit sekitar benua tersebut juga tidak terkecuali daripada mengagumi Arne Slot, termasuk pencabarnya dalam EPL, Unai Emery yang menganggap Liverpool sebagai kelab terbaik di Eropah ketika ini.
Dia yang kini mengendalikan Aston Villa melabel skuad The Reds sebagai pasukan bukan mudah untuk ditundukkan dengan mereka akan bertembung di Villa Park pada Khamis.
"Ketika ini, Liverpool adalah pasukan terbaik dalam EPL dan di Eropah, jadi ia adalah satu perlawanan sukar. Cabaran kita adalah bagaimana untuk berdepan mereka dan apakah pendekatan bakal diambil mereka.
"Tetapi, saya boleh katakan kami amat teruja dan harapnya kami dapat berkongsi momen tersebut dengan penyokong di laman sendiri pada Khamis," katanya dalam sidang media sebelum aksi ke-26 EPL kedua-dua pasukan.
Emery secara terbuka memuji kebolehan Liverpool di peringkat domestik dan Eropah. — Agensi
Skuad The Villans sudah tentu mahu mencipta kejutan ke atas Liverpool dalam usaha menamatkan rentetan empat perlawanan liga tanpa sebarang kemenangan setelah hanya mencatatkan keputusan seri ketika bertemu Ipswich Town pada Sabtu lalu.
Emery yang merupakan bekas pengurus Arsenal pasti kurang berpuas hati dengan prestasi semasa pasukannya yang kini menduduki tangga kesembilan EPL dengan hanya 38 mata direkodkan.
Meskipun bersinar dalam kempen UCL, persembahan tidak memuaskan di peringkat domestik menyaksikan mereka berdepan risiko untuk layak ke pentas Eropah musim depan sekiranya tiada sebarang perubahan dipamerkan.
"Perlawanan akhir kami hadapi adalah Ipswich Town di laman sendiri dengan mereka merupakan pasukan yang bertahan dengan baik. Tetapi, selepas aksi itu, kami berpeluang melihat kelemahan pasukan dan melakukan analisis walaupun saya tahu Liverpool hadir dengan gaya berbeza," katanya lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram