
MENJELANG aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), 'perang' awal sudah berlaku antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pohang Steelers apabila dikhabarkan hotel kelab Korea Selatan itu didakwa menjadi sasaran penyokong skuad Harimau Selatan.
Pasukan bimbingan Park Tae-ha dijadualkan akan berkunjung ke laman JDT, Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor bagi aksi terakhir Kumpulan Zon Timur ACLE pada petang Selasa.
Bagaimanapun, persediaan Pohang diganggu selepas portal Sportal Korea melaporkan individu-individu yang tidak bertanggungjawab menyalakan bunga api dan mercun di luar hotel penginapan pasukan itu di Johor Bahru.
BACA LAGI: Bertemu di Arab Saudi, legenda Liverpool sudah agak perpindahan bintang baharu JDT
BACA LAGI: Pernah beraksi di Itali, Anselmo pengganti tepat Roque Mesa bantu JDT tempuh saingan ACLE?
Portal itu melaporkan, kelihatan kereta bernombor plat Wilayah Persekutuan meninggalkan hotel berkenaan. Kenderaan itu didakwa kepunyaan oleh individu yang sudah membuat onar di kawasan penginapan Pohang Steleers.
"Saya sangka ia hanyalah bunga api yang biasanya menerangi malam di taman hiburan," kata salah seorang pegawai Pohang menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang tidak dijangkakan.
Memetik laporan portal berkenaan, gangguan bermula sekitar pukul 11 malam, apabila sebuah trak pikap dilihat berlegar-legar di kawasan hotel. Tidak lama kemudian, bunyi letupan bunga api bergema dari pelbagai arah, disertai dengan cahaya terang dan kepulan asap tebal.
Gangguan tersebut tidak terhenti di satu lokasi sahaja, malah turut berlaku di jalan bertentangan dengan hotel.
Pegawai Pohang Steelers sempat mengambil gambar kenderaan yang disyaki dalang gangguan itu. — Agensi
Beberapa gambar dimuat naik menunjukkan kesan jelas gangguan tersebut di sekitar hotel. Pohang segera meminta pihak hotel membuat laporan kepada polis, namun tindakan hanya diambil selepas beberapa ketika.
Seorang pegawai Pohang mendakwa bahawa walaupun polis tiba di lokasi kejadian, namun pihak berkuasa tersebut tidak mengambil sebarang tindakan terhadap individu yang dipercayai terlibat.
"Seorang individu yang menaiki trak pikap tersebut dilihat berbual dengan polis, tetapi tiada apa-apa yang dilakukan," katanya.
Wakil Korea Selatan itu telah menyerahkan bukti rakaman video dan nombor plat kenderaan terbabit kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), namun sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas.
Kesan bunga api dan mercun di luar hotel penginapan Pohang Steelers. — Agensi
Gangguan bunga api ini berlarutan hingga pukul 3 pagi, menyebabkan bukan sahaja pasukan Pohang terganggu, malah tetamu hotel lain turut membuat aduan. Penduduk sekitar juga meluahkan rasa terkejut dan sukar tidur akibat bunyi letupan yang berterusan.
Insiden ini mencetuskan kontroversi besar dalam kalangan peminat bola sepak Asia. Meskipun pernah berlaku insiden gangguan bunyi terhadap pasukan pelawat dalam kejohanan kelab sebelum ini, serangan menggunakan bunga api yang boleh mendatangkan kecederaan adalah pertama kali berlaku.
Kini, timbul persoalan sama ada Pohang dapat beraksi dalam keadaan fizikal dan mental yang optimum dalam perlawanan menentang JDT. Pihak AFC turut digesa untuk mengambil tindakan tegas bagi memastikan insiden sebegini tidak berulang dalam pertandingan akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram