Dihalau fans, Casemiro berdegil mahu setia bersama Man United


  • Podium
  • Selasa, 18 Feb 2025

Antara aksi Casemiro ketika diturunkan menentang Spurs dalam aksi EPL pada Isnin. — Agensi

MANCHESTER United mungkin terpaksa mengekalkan Casemiro selama 18 bulan lagi selepas pemain tengah itu menyatakan hasratnya untuk terus kekal bersama kelab walaupun prestasinya semakin merosot.

Pemain berusia 32 tahun berkenaan menyertai skuad The Red Devils pada musim panas 2022 dengan nilai perpindahan sebanyak £60 juta (RM336 juta) dari kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid. 

Ketika itu, dia dianggap sebagai salah seorang pemain tengah bertahan terbaik dunia selepas membantu Los Blancos meraih pelbagai kejuaraan utama, termasuk lima trofi Liga Juara-Juara Eropah (EPL).

BACA LAGI: Tewas tipis tangan Spurs, Amorim baru sedar bukan mudah jadi pengurus Man United

BACA LAGI: Terus bersinar sejak tinggalkan Man United, Antony cetak gol pertama Eropah buat Real Betis

Bagaimanapun, sejak 2023, pemain Brazil berkenaan dilihat semakin kehilangan sentuhannya dan tidak lagi mampu menampilkan aksi cemerlang seperti dahulu. 

Prestasinya yang kurang meyakinkan, terutama dalam perlawanan menentang Liverpool dan Newcastle, memperlihatkan kesukarannya menyesuaikan diri dengan tempo pantas Liga Perdana Inggeris.

Di tengah-tengah krisis kecederaan yang melanda pasukan, pengendali Manchester United, Ruben Amorim, terpaksa kembali memberikan kepercayaan kepada Casemiro dalam perlawanan menentang Tottenham. 

Namun, pemain veteran tersebut gagal memberi impak hingga menyaksikan United terus dirundung malang dengan satu lagi kekalahan, yang menyebabkan mereka terperosok ke tangga ke-15 liga.

ruben

Man United tewas 0-1 kepada Spurs pada Isnin. — Agensi

Meskipun pasukan berdepan situasi getir, Casemiro tetap menegaskan bahawa dia tidak berhasrat meninggalkan Old Trafford, sesuatu yang pastinya mengecewakan sebahagian besar penyokong kelab.

“Saya masih mempunyai satu setengah tahun lagi dalam kontrak saya, dan saya ingin menamatkannya di Manchester. Saya selesa di sini, begitu juga keluarga saya. Kami sudah menyesuaikan diri dan bercakap dalam bahasa Inggeris.

“Saya sangat berterima kasih kepada peminat di Old Trafford dan kepada kelab. Saya gembira di peringkat kelab. Gembira di bangku simpanan? Sudah tentu tidak. Itu perkara lain,"  katanya kepada AS.

Kenyataan berkenaan pastinya bukan sesuatu yang mahu didengar oleh pihak pengurusan kelab, yang berusaha untuk melepaskan Casemiro berikutan bebanan gaji tinggi yang ditanggung United. 

case

Casemiro menyertai Man United pada 2022. — Agensi

Untuk info, bekas tonggak skuad kebangsaan Brazil itu merupakan penerima gaji tertinggi dalam skuad, dengan bayaran sebanyak £350,000 (RM1.9 juta) seminggu.

Kelab itu sebelum ini telah cuba mencari kelab baharu untuknya pada jendela perpindahan Januari lalu, namun usaha itu gagal apabila Casemiro tidak mencapai persetujuan mengenai terma peribadi dengan mana-mana pasukan yang berminat, termasuk Roma dan Fenerbahce.

Dengan tempoh kontraknya yang masih berbaki, Manchester United kini berdepan dilema sama ada terus menggunakan khidmatnya atau mencari jalan lain untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung kelab. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram