
KEMENANGAN penting 2-1 direkodkan Liverpool ketika mereka bertemu Wolverhampton Wanderers di tempat lawan pada Ahad dengan keputusan terbabit sekali gus memberi keselesaan buat mereka di persada carta Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kelab Merseyside itu kini berada tujuh mata di depan Arsenal yang mengekori rapat dengan kutipan 53 mata.
Bagaimanapun, aksi di Stadium Molineux tersebut bukanlah satu perkara mudah buat anak-anak buah Arne Slot yang bergelut untuk membuat percubaan ke arah gawang tuan rumah pada babak kedua permainan.
Ini kerana pengurus dari Belanda itu mengambil keputusan untuk lebih bertahan selepas meraih dua gol pada separuh masa pertama meskipun terpaksa bekerja keras untuk memecahkan tembok pertahanan Wolves.
BACA LAGI: Wataru Endo bakal sertai Liverpool, apa alasan pemain Malaysia masih di Liga Super?
BACA LAGI: [VIDEO] Liverpool boleh bertenang, hero Piala Liga tidak lagi bertongkat
Slot (kiri) lebih mempercayai khidmat Gravenberch dalam pasukannya.
Namun, usaha untuk memastikan gawang mereka tidak dibolosi menemui kegagalan apabila jentera serangan tuan rumah beraksi cemerlang dengan jaringan Matheus Cunha pada minit ke-67 membuktikan perkara itu.
Menyedari asakan demi asakan terus dilancarkan tuan rumah, Arne Slot mengambil keputusan membawa masuk pemain tengah dari Jepun, Wataru Endo yang kurang diberi minit permainan musim ini.
Berdasarkan statistik EPL 2024/25, pemain berkenaan hanya beraksi sebanyak 11 kali musim ini dengan semua daripadanya merupakan penampilan dari bangku simpanan.
Peluang terhad itu berpunca daripada kepercayaan Arne Slot terhadap Ryan Gravenberch yang turut beraksi cemerlang sehingga menyaksikan pemain lain sukar menembusi kesebelasan utama.
Tetapi, persembahan Endo ketika berdepan Wolves boleh mengubah situasi tersebut selepas dia meraih anugerah pemain terbaik perlawanan meskipun hanya dibawa masuk pada 20 minit terakhir permainan.
Slot (kiri) perlu memberi kepercayaan lebih kerap buat Endo memasuki waktu getir EPL. — Agensi
Perkara sedemikian bukanlah kali pertama ia berlaku kerana sebelum ini, dia juga pernah memastikan kemenangan buat The Reds ketika mereka berusaha keras mengekalkan kelebihan satu gol pada penghujung aksi.
Malah, ketiadaannya ketika menentang Manchester United, Everton dan Newcastle United menyaksikan Liverpool hanya mencatatkan keputusan seri setelah dibolosi pada minit akhir.
Dalam kesemua aksi getir itu, pengurus The Reds itu mengambil keputusan untuk tidak membawa masuk Endo yang boleh membantu dari segi pertahanan kerana Slot lebih gemar mencari lebih banyak jaringan.
Ini membuktikan dia perlu memberi kepercayaan penuh kepada bekas pemain VfB Stuttgart itu selepas ini, lebih-lebih lagi sekiranya mereka mahu menjuarai gelaran EPL buat kali pertama sejak 2019/20.
Bagaimanapun, masih terdapat masa buat pengurus berusia 46 tahun itu untuk memberi kepercayaan buat Endo dengan 13 aksi berbaki buat Liverpool, termasuk pertemuan dengan Aston Villa pada Khamis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram