
LAYANGAN kad merah ke atas kapten pasukan, Safuwan Baharudin tidak merencatkan pelan Selangor FC untuk memenangi perlawanan akhir pertama Piala Cabaran 2024/25 di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu (15 Februari).
Dua jaringan awal Alvin Fortes dan Ali Olwan menyelamatkan Katsuhito Kinoshi daripada tewas di tangan PDRM FC yang bangkit meledak dua gol.
Perlawanan tamat dengan keputusan 3-2 yang mana Selangor beraksi hampir 90 minit bersama 10 pemain di atas padang.
BACA LAGI: Liverpool tak boleh tandingi rekod 100 mata Manchester City — Pep Guardiola
BACA LAGI: Dikhabarkan Liga Perdana bakal kembali, PJ City antara 3 kelab wajar buat 'comeback' semula
Meskipun beroleh kemenangan di halaman sendiri, penyokong Selangor melihat ada pemain yang diturunkan masih belum cukup untuk memberikan sumbangan lebih kepada pasukan.
"Menyirap tengok nombor 77 itu main, apa fungsi dia atas padang? Main penuh pula itu. Adoi anak emas Coach Kino (Kinoshi) ke? Kebal betul dia," kata Saiful Redzuan.
"90 minit berlari-lari anak, gol kedua PDRM dia (nombor 77) 'marking' tiang sahaja," ujar Md Aidil Adha.
"Nombor 77 itu tak perlu main kesebelasan utama, tak ada fungsi pun," komen Dean Hams.
Selain itu, rata-rata penyokong Selangor berharap Kinoshi memberikan kepercayaan kepada Faisal Halim untuk turun beraksi selepas dia tidak diberikan peluang dalam beberapa perlawanan akhir ini.
Menurut Asri Sempoi, kehadirannya ke stadium untuk melihat kelibat Faisal turun beraksi namun sehingga tamat perlawanan pemain berusia 27 tahun itu tidak mendapat peluang.
"Ingat nak tengok Faisal Halim main, tapi (Kinoshi) tak bawa masuk juga," luahnya.
Manakala Zul Kapan pula merindui sambutan 'siuuu' bergema di Stadium MBPJ selepas Kinoshi dilihat lebih cenderung memilih pemain lain berbanding Faisal.
"Faisal tak main ke final? Daripada seorang bintang terus tersisih. Bila 'siuuu' nak bergema kembali?" soalnya.
Muhammad Aiman pula berharap Kinoshi boleh memberikan peluang buat Faisal untuk membuktikan keupayaannya selaku pemain berbahaya di Liga Malaysia.
"Coach Kino sampai bila nak simpan Faisal? Bagilah peluang untuk dia. Perlawanan selepas ini Faisal Halim kena main," jelasnya.
Kali terakhir Faisal beraksi ketika bertemu Sri Pahang di saingan Liga Super apabila dia dimasukkan pada minit-minit akhir perlawanan untuk menggantikan Yohandry Orozco.
Kemalangan simbahan asid yang menimpa Faisal pada tahun lalu nyata menjejaskan rentak pemenang gol terbaik Piala Asia 2023 itu apabila dia belum meledak sebarang jaringan bersama Selangor.
Perlawanan akhir kedua Piala Cabaran akan bermula pada 22 Februari di Stadium Selayang dengan jangkaan penyokong Selangor bakal memenuhi venue tersebut untuk melihat Gergasi Merah menjulang piala selepas hampir 10 tahun tidak menjuarai apa-apa kejohanan domestik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram