
DALAM menghadapi cabaran saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Johor Darul Ta'zim (JDT) mengikat pemain import dari Brazil iaitu Anselmo de Moraes untuk mengukuhkan bahagian tengah Harimau Selatan.
Pemain berusia 35 tahun yang beraksi di posisi tengah bertahan itu sertai Harimau Selatan selepas dilepaskan oleh kelab Arab Saudi, Al-Wehda pada Julai 2024 yang lalu. Anselmo bertahan selama tiga musim bersama Al-Wehda.
Kehadiran Anselmo difahamkan untuk menggantikan Roque Mesa yang mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) ketika aksi menentang Central Coast Mariners pada 11 Februari lalu.
BACA LAGI: Pernah beraksi di Itali, Anselmo pengganti tepat Roque Mesa bantu JDT tempuh saingan ACLE?
BACA LAGI: [VIDEO] Selangor, Terengganu wajar buru 3 import Liga Hong Kong 'salin' import otai musim depan
Sekalipun, ada yang suara-suara penyokong yang melabel Anselmo sebagai panic buying namun portfolionya pernah beraksi bersama beberapa pasukan ternama seperti kelab Brazil, Palmeiras dan Al-Nassr sudah cukup membuktikan pengalamannya.
Selain itu, kehadiran Anselmo bakal merungkai keresahan pengendali JDT, Hector Bidoglio bagi menguatkan posisi tengah dan juga bakal tampak lega apabila Juan Muniz dan Murilo Henrique bebas daripada penggantungan.
Penghijrahan bekas pemain pasukan kebangsaan Brazil Bawah 20 tahun (B-20) itu bukan hanya disambut baik oleh penyokong Harimau Selatan, malah, mendapat perhatian legenda Liverpool, Roberto Firmino.
Selepas Anselmo memuat naik beberapa keping gambar dia menyertai juara bertahan Liga Super berkenaan, Firmino meninggalkan komen berbunyi selamat maju jaya kepada rakan senegaranya itu.
Tangkap layar komen dari Firmino.
'Perkara yang sudah dijangka, semoga tuhan memberkatimu rakanku," tulis Firmino di ruangan komen sambil meletakkan emoji api.
Selain sama-sama rakyat Brazil, dua pemain itu juga pernah beraksi di liga Arab Saudi. Anselmo beraksi untuk Al-Wehda dan Al-Nassr, manakala Firmino pula bermain untuk pasukan Al-Ahli sejak meninggalkan Liverpool pada 2023.
Anselmo dijangka melakukan debut pertamanya bersama JDT dalam perlawanan menentang wakil Korea Selatan, Pohang Steelers pada aksi aksi Kumpulan Zon Timur ACLE di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram