Terima kasih beri peluang beraksi di negara sendiri — Jalil Elias


  • Podium
  • Jumaat, 07 Feb 2025

Jalil difahamkan sudah kembali sesi latihan dengan dia masih berpeluang diturunkan bagi aksi Liga Super. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PERPINDAHAN Jalil Elias ke Johor Darul Ta'zim (JDT) mencuri perhatian ramai pada awal tahun lalu kerana pemain kebangsaan Iraq itu hadir dengan nilai pasaran mencecah €2.5 juta (RM11.5 juta) yang menjadikannya import paling bernilai dalam sejarah Liga Malaysia.

Selain itu, pengalamannya di peringkat antarabangsa juga tidak mengecewakan kerana pemain tengah itu baru sahaja menamatkan tugasan di pentas Piala Asia beberapa bulan sebelum perpindahan itu dimeterai.

Jadi, kehadirannya sangat diharapkan dapat membantu skuad Harimau Selatan meneruskan dominasi di peringkat domestik selain menjadi pencabar utama dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Wajar lepaskan ke kelab lain, tanpa Jalil Elias pun JDT tetap baik'

BACA LAGI: Situasi seperti peledak scam 2021, kelab Argentina tak setuju bayar RM8 juta untuk Jalil Elias

Primer objetivo cumplido ! Ahora vamos por más @velez   ️

Jalil beraksi sebanyak 16 kali dalam saingan Liga Argentina buat Velez Sarsfield. Instagram/Jalil Elias

Namun, hal sebaliknya pula berlaku apabila Jalil hanya diturunkan sekali dalam jersi JDT, iaitu ketika aksi pembukaan Liga Super 2024/25 menentang Negeri Sembilan FC di laman sendiri.

Selepas itu, kelibat pemain kelahiran Argentina tersebut gagal dikesan pada hari perlawanan mahupun di sesi latihan sehingga ketiadaannya menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan penyokong jaguh bola sepak tanah air tersebut.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, persoalan mengenai keberadaannya akhirnya terjawab apabila pemain berusia 28 tahun itu secara rasmi menyertai kelab Argentina, Velez Sarsfield dengan perpindahan tersebut tidak dilaporkan JDT.

Penghijrahan tersebut sememangnya mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan penyokong kerana mereka beranggapan kelab disertai Jalil tidaklah terlalu dikenali di benua Amerika Selatan.

Di samping mengalami kemarau kejuaraan yang agak lama, pasukan tersebut bukanlah gergasi di Argentina, sekali gus membuatkan ramai berasa aneh akan keputusannya untuk tidak kekal bersama skuad Harimau Selatan.

@officialjohor

Jalil sempat beraksi bersama skuad Harimau Selatan sebelum dipinjamkan ke Velez Sarsfield. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Tetapi, perpindahan terbabit jelas membawa impak besar terhadap Jalil dan Velez Sarsfield sendiri kerana pasukan kendalian Sebastian Dominguez itu berjaya menamatkan penantian 10 tahun untuk menjuarai Liga Argentina.

Kejayaan tersebut diraih dengan pemain pinjaman JDT tersebut memainkan peranan besar kerana dia tampil dalam 16 penampilan dalam saingan liga, namun tidak berkesempatan mencetak sebarang gol.

Sumbangannya juga jelas diraikan penyokong serta rakan sepasukan sehingga terdapat laporan mengatakan kelab berkenaan mahu mengekalkan khidmatnya, tetapi tidak sanggup membayar yuran perpindahan diletakkan skuad Harimau Selatan.

Keengganan Velez Sarsfield untuk menebus kontraknya bersama JDT menyaksikan Jalil akan pulang ke pangkuan majikan sebenarnya itu dengan laporan mengatakan dia sudah kembali ke padang latihan.

Bagaimanapun, pemain itu seperti sukar untuk meninggalkan kelab Argentina terbabit kerana berdasarkan hantaran di Instagram peribadinya baru-baru ini, dia kelihatan sudah selesa bersama pasukan terbabit.

️ @velez @ligaprofesionalafa

Jalil membantu Velez menamatkan penantian 10 tahun untuk menjuarai Liga Argentina.Instagram/Jalil Elias

"Ia adalah beberapa bulan yang amat bermakna kerana kita semua menikmati masa-masa bersama dan berjaya mencapai sasaran ditetapkan. Terima kasih kepada Velez kerana memberi peluang kepada saya kembali beraksi di negara saya sekali lagi. "Terima kasih juga kepada penyokong kerana sering bersama kami," katanya.

Pemain itu dijangka diturunkan bagi baki aksi Liga Super, namun tidak dapat dipastikan sama ada khidmatnya akan dikekalkan musim depan memandangkan JDT sudah membawa masuk beberapa wajah baharu.

Roque Mesa, Iker Undabarrena serta Eddy Israfilov masing-masing merupakan rekrut skuad Harimau Selatan yang pastinya membuatkan barisan kejurulatihan kelab tidak meletakkan kepercayaan besar di bahu Jalil.

Namun, sekiranya dia mampu mencuri perhatian Hector Bidoglio di padang latihan, tidak mustahil baginya diberikan kepercayaan penuh pada musim depan dengan gandingannya bersama Natxo Insa dan Afiq Fazail sudah tentu seronok untuk disaksikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram