
BINTANG sensasi dunia, Neymar da Silva dilaporkan tiba bersama helikopter khas miliknya untuk ke sesi latihan pertama bersama kelab zaman kanak-kanaknya, Santos FC.
Berita itu muncul beberapa hari selepas pemain nasional Brazil itu secara rasmi membuat kepulangan emosional ke kelab Serie B tersebut dengan kontrak selama enam bulan yang boleh dilanjutkan untuk satu tahun lagi dengan matlamat untuk kembali ke prestasi terbaiknya menjelang Piala Dunia 2026.
Pada minggu lalu, telah disahkan bahawa kontrak Neymar bernilai £130 juta (RM715 juta) setahun bersama kelab Arab Saudi, Al-Hilal telah ditamatkan melalui persetujuan bersama selepas hanya menjaringkan satu gol dalam satu setengah musim yang dipenuhi kecederaan.
BACA LAGI: Pengarah sukan Napoli dedah punca utama perpindahan Alejandro Garnacho terbatal
Menerusi laporan media Brazil, Globo, Neymar berulang-alik ke sesi latihan Santos dengan helikopter khas kerana dia masih belum membeli rumah di bandar kelab baharunya itu.
Neymar turut dijangka membeli sebuah rumah agam baharu di Morro de Santa Terezinha, kawasan mewah di Santos.
Ketika ini, Neymar melakukan perjalanan sekitar 500 kilometer dari kediamannya di Mangaratiba, Rio de Janeiro yang mana dia tinggal bersama ahli keluarganya.
Difahamkan juga bahawa pemain Brazil itu memiliki satu lagi hartanah di kawasan tersebut, sebuah rumah agam bernilai £1.2 juta (lebih RM6 juta) yang turut merangkumi kawasan safari dengan lebih daripada 500 ekor haiwan.
Menerusi laporan media Brazil, perjalanan satu jam ke sesi latihan boleh menelan kos sehingga £480 (lebih RM2000), tidak termasuk bayaran kru dan perbelanjaan penyelenggaraan.
Helikopter khas Neymar dibina pada 2019 dan mampu terbang dalam cuaca buruk dengan kapasiti untuk dua juruterbang, lapan penumpang, ruang bagasi, serta dua enjin.
Neymar telah bersetuju untuk menerima pemotongan gaji yang besar bagi kembali ke Brazil dengan kontraknya kini merangkumi gaji asas sekitar £135,507 (lebih RM700 ribu) sebulan dan 90 peratus hak imejnya.
Struktur kontrak baharu ini hampir sama dengan perjanjiannya di Santos antara 2010 dan 2013, yang mana gaji asasnya adalah £40,683 (RM224 ribu), tetapi dia memperoleh £429,147 (lebih RM2 juta) setiap bulan melalui hak imej.
Pada usia 17 tahun, Neymar mula beraksi dalam skuad utama Santos pada 2009 dan menjadi pemain utama sehingga musim panas 2013, apabila dia bersetuju untuk menyertai FC Barcelona.
Secara keseluruhan, dia telah menjaringkan 134 gol dalam 220 perlawanan untuk kelab zaman kanak-kanaknya itu.
Namun, Neymar mempamerkan aksi terbaiknya ketika bersama Barcelona, meninggalkan Sepanyol sebagai penjaring ke-17 terbanyak dalam sejarah kelab dengan 105 gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram