Bersinar benam Sang Penyu, 3 bintang BG Pathum boleh berhijrah ke Liga Super


  • Podium
  • Jumaat, 07 Feb 2025

Skuad The Rabbits dibarisi lambakan pemain berkualiti yang kini berada dalam kelas tersendiri. — Facebook/BG Pathum United

SATU malam yang pasti mahu dilupakan Terengganu FC dan penyokongnya apabila mereka mengalami kekalahan kepada BG Pathum United dari Thailand dalam aksi penutup Kumpulan A Piala Shopee 2024/25 pada Rabu.

Dalam aksi yang berlangsung di gelanggang lawan itu, kedua-dua pasukan buntu untuk memburu jaringan pembukaan selama 65 minit sebelum bintang Sang Penyu, Akhyar Rashid menggegarkan gawang tuan rumah.

Namun, jaringan itu seperti tidak bermakna kerana benteng pertahanan pasukan pelawat terlalu mudah dibolosi dengan Raniel Santana menjaringkan dua gol sementara Gakuto Notsuda dan Ilhan Fandi masing-masing merekodkan satu jaringan peribadi.

BACA LAGI: Misi sekat BG Pathum United makin sukar, lepas Ivan Mamut, TFC hilang khidmat Alif Zakaria

BACA LAGI: 'Jangan jadikan alasan', fans TFC enggan jadual padat punca dikecewakan BG Pathum United

476368450_1124765766326341_6012171575410689485_n

Pemain skuad The Rabbits berasa bangga dengan kejayaan melangkah pusingan kalah mati Piala Shopee. Facebook/BG Pathum United

Meskipun Safawi Rasid berjaya mengecilkan defisit dengan dua gol pada masa kecederaan, masa yang suntuk cukup untuk menoktahkan perjalanan Terengganu FC dalam kejohanan peringkat Asia Tenggara itu apabila mengalami kekalahan 3-4.

Bagaimanapun, di sebalik kekecewaan dialami, masih terdapat berita baik dapat dirasakan kelab Liga Super itu kerana perlawanan berkenaan memberi ruang buat mereka mengesan pemain yang wajar direkrut pada jendela perpindahan akan datang.

Malah, pertembungan di Stadium Leo, Thailand itu turut menyajikan peluang buat pasukan tanah air lain untuk mengenal pasti bintang BG Pathum yang boleh ditandatangani mengikut keperluan masing-masing.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga bintang skuad The Rabbits bersinar ketika berdepan Terengganu FC dan sesuai disambar mana-mana kelab Liga Super yang berminat.

1. Chanathip Songkrasin

Satu ketika dahulu, Chanathip Songkrasin pernah diangkat sebagai pemain terbaik sekitar Asia Tenggara apabila melebarkan sayap kariernya sehingga ke Jepun dengan menyertai Hokkaido Consadole Sapporo sebelum berkelana ke Kawasaki Frontale.

Zaman permainannya di negara Matahari Terbit itu juga tidak mengecewakan kerana sepanjang tujuh musim di sana, pemain itu mencatatkan 133 penampilan dalam divisyen teratas mereka.

Namun, dengan usianya kini sudah mencecah 31 tahun, dia mengambil keputusan kembali ke negara kelahirannya pada 2023 dan menyertai BG Pathum United dengan kelincahan serta nilai pasarannya mula menyusut.

476232210_1124766412992943_3729524394404578886_n

Chanathip masih menampilkan aksi bertenaga di laman sendiri. Facebook/BG Pathum United

Bagaimanapun, ketika berdepan skuad Sang Penyu, pemain tengah tersebut masih dapat menampilkan aksi bertenaga meskipun tidak sempat menempatkan namanya dalam senarai penjaring.

Persembahan tersebut sudah cukup untuk memberi isyarat bahawa Chanathip boleh beraksi dalam mana-mana kelab Liga Super musim depan dengan Terengganu FC adalah antara destinasi terbaik kerana dia memuat naik foto bersama Safawi dan Akhyar.

Tetapi, perpindahan tersebut sukar direalisasikan kerana berdasarkan maklumat terkini, kontraknya bersama BG Pathum United hanya akan berakhir pada Jun 2027 nanti.

2. Raniel Santana

Seperti dinyatakan di atas, watak utama skuad The Rabbits ketika berdepan Terengganu FC ialah Raniel Santana yang menjaringkan dua gol untuk meletakkan BG Pathum United di hadapan.

Jaringan terbabit sekali gus menceritakan sentuhan berbisa dimiliki penyerang berusia 28 tahun terbabit yang juga sudah merekodkan empat jaringan dalam semua aksi peringkat kumpulan Piala Shopee.

476117716_1124767612992823_3500786272536279373_n

Raniel menjaringkan dua gol ketika berdepan skuad Sang Penyu. Facebook/BG Pathum United

Selain tajam di hadapan pintu gol, import dari Brazil itu juga mempunyai kelebihan dari segi fizikal yang merupakan ciri utama buat majoriti pasukan Liga Super dalam mencari penyerang.

Oleh itu, jika mereka mahu mencari pemain baharu di posisi serangan, Raniel merupakan antara calon terbaik dengan nilai pasarannya yang hanya €500,000 (RM2.3 juta) bukanlah amaun terlalu tinggi.

Antara destinasi terbaik boleh dipilihnya sekiranya mahu mencuba nasib dalam Liga Super adalah Terengganu FC dan Perak FC kerana kedua-dua kelab tersebut mahu memperkuatkan barisan serangan.

3. Ikhsan Fandi

Khabar angin mengaitkan penyerang kebangsaan Singapura, Ikhsan Fandi dengan pasukan tanah air bukanlah sesuatu yang baharu kerana kira-kira tiga musim kebelakangan ini, namanya mula disebut-sebut.

Selain memiliki sentuhan berbisa di atas padang, pemain berusia 25 tahun terbabit dikaitkan kerana bapanya, Fandi Ahmad mempunyai hubungan rapat dengan Liga Super kerana pernah bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), Lions XII dan kini bersama Sri Pahang FC.

Bagaimanapun, pada 2022, penyerang berkenaan mengambil keputusan menyertai BG Pathum United dengan keputusan itu membuahkan hasil memandangkan dia sudah menjulang dua gelaran domestik ketika ini.

476360963_1124763676326550_3891140062201605664_n

Ikhsan (kiri) ketika sedang diasak Shahrul Nizam Ros Hasni dari Terengganu FC. Facebook/BG Pathum United

Malah, ketika berdepan Terengganu FC pada Rabu, Ikhsan yang berada dalam kesebelasan utama turut menampilkan aksi memukau dengan satu jaringan dicatatkan, namun dibatalkan akibat kedudukan ofsaid.

Secara keseluruhan, sepanjang kira-kira 70 minit berada di atas padang, pemain terbabit memberikan impak besar, sekali gus membuatkan rata-rata kelab Liga Super kembali tertarik dengannya.

Selangor FC yang memerlukan penyerang berkualiti musim depan perlu meletakkannya dalam calon serius untuk dibawa masuk meskipun mereka lebih gemar mencari pemain dari Amerika Selatan untuk posisi itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram