Sejak kecil tak percaya dirinya putera raja, Jordi Amat akhirnya faham mesej nenek lepas sertai JDT


  • Podium
  • Jumaat, 07 Feb 2025

Jordi Amat sudah merekodkan 18 penampilan buat Timnas Indonesia dengan satu jaringan berjaya dicatatkannya. — PSSI

MUNGKIN ketika ini keterujaan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam menyambut kedatangan bintang-bintang Eropah tidak seperti kehadiran Jordi Amat yang menyertai Harimau Selatan pada 2022.

Ia kerana JDT dilihat sudah berada jauh ke depan daripada lawan lain dalam Liga Malaysia (Liga M) apabila mudah menarik minat pemain-pemain berstatus bintang ke bumi Darul Takzim.

Musim ini, JDT telah membawa masuk empat pemain bintang Sepanyol iaitu Jese Rodriguez, Jonathan Viera, Alvaro Gonzales dan Roque Mesa untuk menghadapi saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

BACA LAGI: [VIDEO] Belum beli rumah di Santos, Neymar ulang-alik 'training' 500km guna helikopter

BACA LAGI: Pengarah sukan Napoli dedah punca utama perpindahan Alejandro Garnacho terbatal

Namun begitu, imbas kembali semula kejutan dan keterujaan dirasai peminat bola sepak tanah air apabila JDT mengumumkan kehadiran bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL), Jordi Amat tiga tahun lalu.

Bek tengah yang pernah beraksi beberapa musim bersama Swansea City itu menerima tumpuan ramai memandangkan dia masih berada di kemuncak kariernya.

Selain itu, perpindahan tersebut membuktikan keazaman tinggi daripada Harimau Selatan yang bercita-cita besar dalam ACLE sejak kebelakangan ini.

Namun, apa yang peminat kurang tahu pada waktu tersebut adalah bahawa Jordi Amat baru sahaja menyelesaikan proses naturalisasi bersama Indonesia.

Meskipun lebih diketahui sebagai warga Sepanyol, bek tengah itu mengundang kejutan apabila diberikan status berkenaan yang membolehkannya beraksi untuk JDT di bawah kuota import Asean.

Pengumuman tersebut sememangnya mengundang persoalan dengan pelbagai pihak mempersoalkan latar belakang pertahanan tengah itu untuk membolehkannya mewakili Sang Garuda.

Tetapi, tanda tanya itu akhirnya terjawab apabila Jordi Amat mendedahkan bahawa neneknya, Isje Maas-Villanuev ialah warga Indonesia yang membolehkannya menerima status naturalisasi tersebut.

Sijil

Dokumen naturalisasi Jordi Amat yang memaparkan gelaran penuhnya.

Lebih menarik lagi, pemain tersebut sebenarnya merupakan seorang putera dengan pemain tersebut pada awalnya berasakan ia hanya satu gurauan dan kisah dongeng.

"Saya hanya berumur lima atau enam tahun ketika nenek saya memberitahu hal itu. Tetapi, dia hanya mengatakan saya akan faham apabila sudah membesar nanti.

"Namun, pada akhirnya, saya tahu bahawa dia tidaklah bergurau," katanya kepada SPORTbible ketika ditanya mengenai latar belakang dan pertalian darahnya.

Berdasarkan susur galur keluarga, Isje merupakan keturunan daripada Raja ke-14 Kerajaan Siau, Jacob Ponto dan cicit kepada Manalang Doelag Kansil yang merupakan Raja ke-17 di Kepulauan Sangihe sekitar Utara Sulawesi.

Sejak diberikan status naturalisasi, Jordi Amat sudah merekodkan 18 penampilan buat Timnas Indonesia dengan satu jaringan berjaya dicatatkannya.

Dia juga menjadi watak utama ketika membantu skuad Sang Garuda menempah tiket ke Piala Asia 2023 selepas memberikan sumbangan penting dalam kempen kelayakan.

Sepanjang tiga musim bersama skuad Harimau Selatan, Jordi Amat berpeluang menikmati pelbagai kejayaan, termasuk satu gelaran Liga Super serta dua kejuaraan Piala FA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram