
KUALA Lumpur (KL) City FC gagal mara ke separuh akhir Kejohanan Kelab Asean (ACC) Shopee Cup 2024/2025 selepas tewas kepada Buriram United 0-1 bagi aksi terakhir peringkat Kumpulan B di Chang Arena, Buriram, Thailand pada Khamis.
Skuad Warga Kota turun dengan misi besar susulan aksi berkenaan yang menjamin kelayakan mereka untuk mara ke separuh akhir selepas mengumpulkan enam mata, hanya dibezakan satu mata dengan pasukan di tangga kedua, Buriram.
Wakil Thailand bagaimanapun tidak memberi aksi mudah buat KL City apabila menurunkan pemain utama mereka seperti Supachai Chaided, Guilherme Campos, Lucas Crispim, Theerathon Bunmathan dan termasuklah bek kebangsaan, Dion Cools.
BACA LAGI: [VIDEO] Selangor, Terengganu boleh berkira-kira ikat 2 bintang bantu CAHN 'comeback' benam KL City
BACA LAGI: Berjaya 'comeback' ikat KL City, fans puji persembahan jentera serangan Tok Gajah
Percaturan meletakkan pemain utama nyata berhasil apabila gerakan daripada jentera serangan Buriram sangat menarik apabila Theerathon menjadi arkitek sempurna untuk menghantar kepada Crispim.
Gol yang disudahkan penyerang kelahiran Brazil itu sekali gus meletakkan Buriram United berada di hadapan pada minit kelapan. Manakala, skuad Warga Kota masih terus melakukan percubaan ke gawang Buriram.
Insiden kontroversi turut berlaku pada separuh masa pertama permainan melibatkan Patrick Reichelt dan penjaga gol Buriram iaitu Chatchai Budprom. Reichelt yang pada awalnya mengikat tali kasut terkejut apabila Chatchai tiba-tiba merampas butnya.
Tindakan dua pemain berkenaan menyebabkan pengadil perlawanan, Koji Takasai melayangkan kad kuning kepada kedua-dua mereka. Babak pertama berakhir dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan tuan rumah.
Bersambung babak kedua, pasukan kendalian Osmar Vieira semakin agresif untuk mendapatkan gol kedua namun kekuatan benteng pertahanan KL City yang diketuai Giancarlo Gallifuoco berhasil menghalang percubaan mereka.
Kecemerlangan penjaga gol skuad The City Boys, Hafizul Hakim juga wajar diberi kredit dalam memberi tindakan refleks yang pantas untuk menafikan percubaan dari pemain berpengalaman skuad Thunder Castle.
Aksi KL City yang tidak banyak melakukan serangan berbahaya itu mengundang kritikan penyokong Asia lain apabila ada yang menyifatkan wakil Malaysia tersebut sekadar berada pada par divisyen ketiga Thailand.
"Pasukan dari Malaysia ini main macam dari kelab divisyen ketiga Thailand," kata peminat bola sepak John Rambo.
"Rasanya yang kuat dari Malaysia ini JDT (Johor Darul Ta'zim)," tambah pengikut bola sepak Asia, Seven JP.
Kekalahan berkenaan menyebabkan skuad Warga Kota tersingkir dari Shopee Cup, Buriram mara ke pusingan separuh akhir, mengiringi juara kumpulan iaitu CAHN yang mengatasi Borneo FC dalam satu lagi perlawanan di Hanoi, Vietnam.
Satu lagi wakil Malaysia, Terengganu FC terpaksa akur terlepas tiket ke separuh akhir Shopee Cup setelah tumpas di tangan BG Pathum dengan keputusan 3-4 pada Rabu di Stadium Leo, Thailand. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram