
PERPINDAHAN bintang Manchester United, Alejandro Garnacho ke Napoli gagal selepas pemain itu membuat permintaan yang dianggap 'tidak adil' untuk menyertai mereka.
Garnacho, 20, pada satu ketika kelihatan seolah-olah bakal meninggalkan United dalam jendela perpindahan musim sejuk yang baru sahaja menutup tirainya.
Ia disebabkan Garnacho tidak sesuai untuk beraksi dalam sistem Ruben Amorim antara lain kerana kekurangan minit permainan selain akibat tekanan Peraturan Keuntungan dan Kelestarian (PSR) terhadap United.
BACA LAGI: [VIDEO] Bek baharu JDT pernah makan penampar bintang PSG lepas didakwa ejek Neymar 'monyet'
Napoli dan Chelsea adalah antara kelab utama yang dikaitkan dengan pemain sayap itu, namun tiada perjanjian dicapai apabila Garnacho telah menemui kembali rentaknya di Old Trafford.
Kelab Itali itu sedang mencari pengganti Khvicha Kvaratskhelia yang berpindah ke Paris Saint-Germain awal Januari menerusi perjanjian bernilai £59 juta (RM325 juta).
Namun, Pengarah Sukan Napoli, Giovanni Manna, telah mendedahkan mengapa perjanjian untuk mendapatkan pemain Argentina itu gagal.
Bercakap dalam sidang media pada Rabu (5 Januari) beliau berkata: "Kami berbincang dan bertemu dengan Garnacho sebelum Kvara pergi, kami telah membuat tawaran penting kepada United. Kami benar-benar mahukannya.
"Pemain itu mahu meninggalkan Liga Perdana Inggeris pada Januari kerana keadaan akan berbeza pada bulan Julai, dia mahu dipuaskan dari segi kewangan, sesuatu yang kami tidak dapat lakukan buat masa ini.
"Kami tidak mahu dan saya juga rasa ia tidak adil apabila terdapat pemain lain meraih pendapatan sederhana sedangkan dia sebagai pemain muda memperoleh gaji lebih tinggi.
"Ia tidak adil kepada pemain lain yang telah melakukan perkara penting.
"Kami telah membentuk pasukan yang kompetitif untuk satu pertandingan, dan kami berada di sana hasil kerja keras jurulatih dan pasukan, jadi ia bukan keputusan yang tepat."
Walaupun terdapat perbincangan yang lebih mendalam dengan The Red Devils, Napoli masih gagal mencapai persetujuan mengenai yuran perpindahan meskipun harga telah diturunkan kepada £55 juta (RM303 juta).
Napoli juga bersaing untuk mendapatkan Patrick Dorgu, sebelum dia akhirnya berpindah ke Man United dalam perjanjian bernilai £25 juta (RM138 juta) ditambah £4 juta (RM22 juta).
Manna menambah: "Napoli mesti mendapatkan pemain yang berkualiti, tidak kira mereka muda atau berpengalaman.
"Sebagai contoh, kami berunding dengan Dorgu pada musim panas tetapi jika United datang dengan tawaran di luar pasaran, sukar untuk meminta mereka menunggu kami.
"Saya berikan contoh praktikal – jika ada peluang seperti [Scott] McTominay, kami akan mengambilnya, tetapi kami bukan kelab yang mengambil pemain ejen bebas dengan gaji lima juta dan komisen enam juta, itu bukan cara kami beroperasi, walaupun ramai kelab lain melakukannya.
"Kami mengambil pemain yang berkualiti, yang sesuai dengan sistem kami. Jika mereka mempunyai potensi, itu lebih baik, tetapi ia bukan syarat utama.
"Kami mendapatkan Buongiorno, Gilmour, tetapi juga Spinazzola, McTominay, Neres, Romelu – pemain yang kuat dalam pasaran mereka.
"Nampaknya kami perlu melakukan sesuatu yang luar biasa, kami perlu menggantikan Kvara, tetapi kami tidak melakukannya seperti yang dimahukan. Namun, pada musim panas ini, kami membuat sedikit kesilapan dan pasukan telah membuktikannya.
"Mengambil langkah untuk memenuhi permintaan Garnacho, bermakna saya meletakkan seseorang dalam pasukan yang terdiri daripada pemain yang telah bekerja keras sejak Julai... itu tidak adil, tetapi kami tetap mahu melakukannya.
"Saya tidak gembira kerana kami gagal, tetapi pasaran tidak berakhir semalam, ia akan bermula semula dan kami perlu menjadi lebih baik serta menunjukkan kekuatan sekarang.
"Fokus pada matlamat Liga Juara-Juara Eropah (UCL), yang tidak bermaksud tidak boleh bermimpi tetapi perlu kekal fokus, kerana jika anda terbang terlalu tinggi, anda akan jatuh dan terluka.
"Napoli ini hanya layak menerima kata-kata positif, sentiasa dan dalam apa jua keadaan, kerana apa yang telah dicapai tidak dijangka oleh sesiapa pun." — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram