TEMPOH pinjaman pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Jalil Elias ke Velez Sarsfield telah tamat dan pemain itu mungkin akan kembali ke pangkuan kelabnya tidak lama lagi.
Sepanjang tempoh pinjamannya di Velez Sarsfield, Jalil menjadi salah seorang tonggak utama pasukan yang telah membantu kelab Argentina itu menjulang trofi Liga Profesional musim 2024.
Walaupun dia tidak berjaya menjaringkan sebarang gol atau memberikan bantuan 'assist', namun sumbangannya jelas memberi impak positif kepada pasukannya.
BACA LAGI: [VIDEO] Rekod larian bintang baharu Man City hampir menyamai Usain Bolt
Ketika menyarung jersi Velez Sarsfield, Jalil telah melakukan 19 penampilan secara keseluruhan dan mengumpul sebanyak 841 minit permainan.
Di sebalik kejayaan di Velez Sarsfield, masa depan Jalil bersama JDT masih lagi menjadi tanda tanya sama ada dia akan kembali memperkuatkan pasukan atau dilepaskan.
Ini kerana pemain berusia 28 tahun itu merupakan pemain import termahal di Liga Malaysia ketika ditandatangani oleh Harimau Selatan dengan nilai pasaran lebih RM15.2 juta.
Menurut pemerhati bola sepak, Afiq Rowley, wajar buat JDT untuk melepaskan Jalil meskipun dia merupakan import yang mempunyai reputasi besar dalam kancah Liga Malaysia.
"Berkenaan Jalil Elias, kita tahu dia antara import terawal diperkenalkan JDT untuk saingan musim ini dengan reputasi cukup besar.
"Suatu pujian sebenarnya buat JDT selepas mereka membuktikan kelab dari Malaysia mampu mendapatkan pemain seperti ini ke saingan Liga Malaysia.
"Tapi, melihat pada perjalanan semasa JDT tanpa kelibat Jalil yang sangat baik, rasanya wajar untuk pasukan itu melepaskan pemain tersebut," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, ini kerana perjalanan JDT tanpa Jalil berada dalam keadaan baik, namun perkara itu semua terserah kepada pihak pengurusan Harimau Selatan.
"Lihat sahaja perjalanan musim ini, segalanya tampak baik di posisi tengah dan serangan walaupun tanpa kehadiran Jalil.
"Baik di saingan domestik atau Asia, dengan pemain sedia ada JDT dah buktikan mereka cukup berkualiti dengan percaturan taktikal bawah kendalian Hector Bidoglio.
"Namun, semuanya terserah kepada pengurusan JDT sendiri sama ada mereka mahu mengekalkan beliau atau bertindak melepaskan Jalil," jelasnya.
Kehadiran Jalil bersama JDT musim ini dikatakan untuk memperkuatkan Harimau Selatan yang akan mengharungi saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), tetapi sebaliknya berlaku apabila hanya beraksi selama 69 minit dalam saingan Liga Super.
Kini nasib Jalil terletak di tangan Bidalgio dan pengurusan JDT sama ada mahu menggunakan khidmatnya untuk baki saingan Liga Malaysia dan ACLE atau meminjamkannya semula ke kelab lain.
Pemain ini telah membuktikan bahawa dia memiliki kualiti untuk bersaing di mana-mana liga, jadi apa pun keputusan dibuat, peminat pastinya berharap Jalil terus mempamerkan prestasi terbaiknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram