![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/04/3151080.jpg)
TUGAS sukar menanti Badrul Afzan Razali selepas Terengganu FC mengesahkan tonggak utama, Muhd Alif Zakaria mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) semasa perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2024/25 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Sabtu (2 Februari) lalu.
Terengganu yang akan berhadapan cabaran BG Pathum United dengan misi untuk layak ke peringkat kalah mati Piala Shopee pastinya sedang runsing memikirkan pengganti Alif Zakaria.
Perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada Rabu (5 Februari) itu memerlukan Terengganu untuk menang bagi memintas BG Pathum United yang kini merupakan pendahulu Kumpulan A dengan perbezaan satu mata.
BACA LAGI: Selangor patut bersaing di pentas akhir Piala Malaysia, bukannya final Piala Cabaran — Ramon Marcote
BACA LAGI: [VIDEO] Dikhabarkan sertai JDT, Jonathan Viera pernah berhenti main bola sepak demi isteri tercinta
Menerusi kenyataan Terengganu, kehilangan Alif Zakaria bukanlah berita baik buat Sang Penyu selepas penyerang sensasi, Ivan Mamut masih belum pulih sepenuhnya.
"Ia adalah bukan satu berita yang ingin kita semua dengar berkenaan salah seorang pemain utama kelab dan semestinya ia juga bukanlah perkara yang Alif inginkan berlaku kepada dirinya.
"Untuk Alif, seluruh keluarga Terengganu FC mendoakan untuk Alif Kembali sembuh untuk segera bersama pasukan," kata kenyataan itu.
Melihat situasi yang dialami skuad Sang Penyu, penyokong-penyokong Terengganu segera menyeru pemain-pemain lain untuk jadi lebih baik sekali gus mengisi tempat kekosongan ditinggalkan oleh Alif Zakaria.
Nuruddin Deen dalam ruangan komen mahu Hairiey Hakim Mamat dan Faris Ikhmal Mamat untuk mempertingkatkan prestasi bagi menggantikan Alif Zakaria.
"Faris, Hairiey kena 'step up'. 'Back up' pemain yang cedera," katanya.
Manakala, Roy Raz pula percaya akan bakat tempatan dapat menggantikan Alif Zakaria yang akan berehat hampir setahun susulan kecederaan ACL.
"Hairiey Hakim ada, Faris Rifki ada, TFC tidak ketandusan bek berbakat. InsyaALLAH semoga cepat sembuh Alif Zakaria," jelasnya.
Tambah Shidie Rashid, Faris wajar diberi peluang seperti Alif Zakaria kerana pemain itu memiliki kelebihan tersendiri.
"Faris Rifki patut diberi peluang untuk dia luaskan lagi pengalaman macam Alif mula-mula dapat kesebelasan utama. Sebab Faris ini dia laju bab 'overlaping' dan turun ke 'position' asal dia," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram