
ISU penangguhan perlawanan bukanlah perkara baharu dalam dunia bola sepak tanah air kerana pelbagai faktor, terutamanya hujan lebat menyaksikan keputusan berkenaan terpaksa diambil.
Tindakan sedemikian sememangnya sukar diterima pihak kejurulatihan yang terpaksa melakukan perubahan terhadap jadual ditetapkan memandangkan pemain tidak dapat beraksi berdasarkan perancangan awal.
Jadi, untuk memastikan masalah terbabit tidak lagi berulang, rata-rata penyokong mendesak supaya Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyediakan prosedur tetap bagi mengelak penangguhan perlawanan daripada diuruskan dengan cacamarba.
BACA LAGI: Kinoshi anggap aksi final MFL Challenge Cup peluang Selangor gembirakan penyokong
BACA LAGI: MFL Challenge Cup: Penang FC berputih mata, ‘positioning’ Sikh Izhan undang geram
Aksi antara Kuching City FC dan Sri Pahang FC ditangguhkan akibat keadaan cuaca dan padang. — Facebook/Sri Pahang FC
Bagaimanapun, sehingga hari ini, badan pengelola Liga Super tersebut masih belum mewujudkan garis panduan untuk memastikan setiap perlawanan ditunda atau ditangguh dapat dilangsungkan pada tarikh baharu.
Hal itu jelas membelenggu Kuching City FC apabila sebanyak tiga perlawanan melibatkan kelab Borneo tanah air tersebut terpaksa dibawa ke tarikh lain atas sebab masalah padang disebabkan hujan lebat.
Pertemuan antara skuad The Cats dengan Sri Pahang FC merupakan yang terawal ditunda angkara keadaan cuaca sehingga mendesak pegawai bertugas membatalkan aksi di Stadium MP Temerloh, Pahang.
Masalah sama sekali lagi melanda kira-kira sebulan selepas itu apabila anak-anak buah Aidil Sharin Sahak terpaksa melupakan pertembungan dengan Terengganu FC kerana perlu memberi laluan kepada Piala AFF.
Isu terbabit tidak terhenti di situ kerana pada penghujung Januari lalu, sebuah lagi perlawanan melibatkan Kuching City FC dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC di laman sendiri dibawa ke tarikh baharu akibat hujan lebat.
Hujan lebat mendesak aksi antara Kuching City FC dan KDA FC dibawa ke tarikh baharu. — Facebook/KDA FC
Penangguhan demi penangguhan dihadapi skuad The Cats semestinya memberi impak terhadap rentak permainan pasukan kerana setakat ini, mereka baru sahaja beraksi sebanyak 15 kali dalam Liga Super.
Situasi itu menimbulkan kekecewaan dalam kalangan penyokong pasukan terbabit, termasuk daripada kumpulan ultras yang mahu jawapan lanjut diberikan pihak pengelola liga.
"Saja nak beritahu dan ingatkan MFL. Kami mohon pihak MFL segera untuk maklum tarikh perlawanan yang tertangguh dan tertunda. Adakah MFL nyanyuk? Kami mohon agar untuk ketiga-tiga perlawanan ini dimaklumkan tarikh," tulis IL Gatto Green Sector.
Mengikut rekod, kali terakhir Kuching City FC beraksi adalah pada 11 Januari lalu ketika mereka merekodkan kemenangan ke atas PDRM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Selayang, Selangor.
Persiapan demi persiapan sememangnya terus dikendalikan Aidil Sharin dengan pertemuan menentang Perak FC di Stadium Kuching, Sarawak pada Jumaat akan mengukur keadaan semasa pasukan.
Sekiranya berjaya meraih tiga mata penuh, skuad Sang Penyu akan melonjak ke tangga keempat Liga Super dengan ia akan menjadi kedudukan terbaik sejak menyertai divisyen teratas bola sepak tanah air musim lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram