
SELEPAS gagal melangkah ke final Piala Malaysia 2024, Terengganu FC (TFC) berdepan satu lagi tugas getir apabila akan bertemu BG Pathum United dalam perlawanan terakhir Kumpulan A saingan Piala Shopee yang akan berlangsung di Stadium Pathum Thani, Bangkok pada Rabu.
Anak-anak buah Badrul Afzan Razali pasti menghadapi cabaran besar untuk meraih kemenangan di laman lawan, terutamanya apabila mereka bakal berdepan dengan pendahulu Kumpulan A dalam usaha merebut slot ke separuh akhir kejohanan tersebut.
Meskipun menyedari akan kepayahan itu, penyokong Sang Penyu menegaskan bahawa skuad kendalian Badrul Afzan tidak boleh menjadikan jadual padat sebagai alasan sekiranya mereka tewas dalam perlawanan menentang BG Pathum nanti.
BACA LAGI: [VIDEO] Benteng JDT tak padu mana, 3 pemain lokal selamba gegar jaring Harimau Selatan
Ketajaman Safawi Rasid pastinya ditagih bagi membantu Sang Penyu merebut slot ke separuh akhir Piala Shopee. — Facebook/TFC
Walaupun pasukan Sang Penyu baru sahaja berhadapan dengan cabaran sengit bertemu juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam tiga perlawanan berturut-turut saingan Liga Malaysia, 'ekor' Sang Penyu berharap agar pemain tidak meletakkan faktor keletihan atau jadual yang padat sebagai punca kekalahan.
Tiga perlawanan terakhir menentang JDT menyaksikan Terengganu tewas dalam setiap pertemuan, namun peminat berharap pasukan dapat bangkit dan fokus sepenuhnya dalam perlawanan menentang wakil kelab Thailand itu.
Penyokong memberi sokongan penuh kepada skuad Terengganu dan mengharapkan mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi tanpa mengeluh mengenai tekanan jadual yang padat.
"Jangan merungut pasal jadual padat, bagi persembahan 100 peratus di atas padang lawan BG Pathum, Insya-ALLAH kemenangan milik TFC," kata Mohd Sabri.
"Gunakan pengalaman tiga kali berturut-turut lawan JDT sebagai tonik untuk kejayaan TFC," kata Azwarishamzuri Mustapha.
"Tahu penat tapi kalau kekalkan gameplay masa lawan JDT, Insya-ALLAH ada rezeki menang," kata DApitto Abza. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram