
SABAN tahun juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan membuat pelbagai perubahan melibatkan fasiliti, barisan kejurulatihan dan yang paling ketara adalah perubahan pemain lokal mahupun tonggak import.
Rombakan pemain yang dilakukan oleh Harimau Selatan itu pastinya dibuat selepas meneliti kekuatan dan kelemahan tonggak mereka. Sama ada ketika aksi atas padang mahupun prestasi ketika sesi latihan, semua akan diambil kira.
Oleh itu, tidak terkejut jika melihat ada situasi pemain yang tidak pernah tampil dalam mana-mana perlawanan namun secara tiba-tiba dipinjamkan ke pasukan lain untuk mengumpul minit permainan.
BACA LAGI: 'Everyone can score', fans teruja taktikal JDT, padu macam pasukan Eropah
BACA LAGI: [VIDEO] Bek baharu JDT pernah makan penampar bintang PSG lepas didakwa ejek Neymar 'monyet'
Dalam sejarah penubuhan JDT sejak 2013, Harimau Selatan sudah menggunakan pelbagai pendekatan pemain import seperti DNA Brazil, DNA Argentina, DNA Sepanyol dan bahkan mengambil bintang dari rantau Asia.
Bagaimanapun, tidak semua pemain import yang tiba ke Harimau Selatan berhasil membina nama di saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan beberapa bintang Asia menjadi tonggak asing yang sukar bertahan lama dalam kem JDT.
Sama ada par yang ditetapkan Harimau Selatan terlalu tinggi atau pemain dari rantau Asia sebenarnya sukar untuk menyesuaikan diri dengan suasana domestik. Kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain Asia awal mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Malaysia.
1) Syahrian Abimanyu
Sebelum ketibaan Jordi Amat, skuad Harimau Selatan pernah membawa masuk 'wonderkid' Indonesia iaitu Syahrian Abimanyu ke kem JDT untuk memperkuatkan bahagian tengah pasukan pada musim 2021.
Syahrian yang dibawa masuk sebagai pelan jangka masa panjang JDT bagaimanapun tidak dapat bersaing untuk merebut kesebelasan utama susulan lambakan pemain berkualiti ketika itu seperti Leandro Velazquez, Syamer Kutty Abba, Natxo Insa dan Afiq Fazail.
Dirancang untuk menjadi aset berharga JDT tetapi Syahrian hanya sempat beraksi selama 35 minit sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Petaling Jaya City FC dan Sabah FC di saingan Liga Super 2021.
Situasi tersebut menyebabkan pemain berusia 26 tahun berkenaan dipinjamkan ke kelab Australia, Newcastle dan berhijrah semula ke Indonesia dengan menyertai Persija Jakarta pada 2022.
2) Takahiro Kunimoto
Bekas pemain tengah menyerang JDT, Takahiro Kunimoto juga salah satu import dari Asia yang kurang menjadi bersama Harimau Selatan meskipun dia tiba dengan reputasi tersendiri pernah beraksi kelab gergasi Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai.
Kunimoto dilabel sebagai import 'scam' JDT selepas bekas pemain Casa Pia itu gagal mencipta impak seperti yang diharapkan pada pusingan kedua Liga M sehingga namanya digugurkan di akhir musim lalu.
Untuk rekod, pemain yang turut boleh beraksi sebagai penyerang sayap tersebut hanya tampil dalam lapan perlawanan domestik dan merekodkan dua gol dalam aksi Piala Malaysia musim 2023.
Usai melangkah keluar daripada Harimau Selatan, pemain berusia 27 tahun itu cemerlang bersama Liaoning Tieren apabila sudah mencetak empat gol dan tujuh bantuan jaringan dalam 30 perlawanan Kunimoto diturunkan.
3) Carli de Murga
De Murga menandatangani JDT pada musim 2022. — Facebook/JDT
Prestasi cemerlang, pemain kebangsaan Filipina iaitu Carli de Murga sebagai bek tengah Terengganu FC (TFC) pada musim 2021 menambat hati Harimau Selatan untuk menandatanganinya pada tahun berikutnya.
De Murga bagaimanapun tidak menepati KPI yang ditetapkan Harimau Selatan, yang menyebabkan bek berketinggian 1.80 meter berkenaan hanya bertahan selama semusim sahaja sebelum berhijrah ke Kelantan FC pada musim 2023.
Untuk rekod, pemain yang kini berusia 36 tahun berkenaan hanya tampil dalam 12 perlawanan bersama juara bertahan Piala Malaysia itu dan sembilan daripadanya adalah aksi Liga Super.
Selepas bermain bersama Kelantan selama enam bulan, De Murga berkelana ke Indonesia dengan menyarung jersi Barito Putera dari Julai 2023 hingga September 2024. Kini, De Murga beraksi untuk pasukan Filipina, One Taguig. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram