
KEKALAHAN Terengganu FC dalam perlawanan akhir Piala Shopee kepada wakil Thailand, BG Pathum United menamatkan perjuangan pasukan Liga Super itu dalam pertandingan peringkat Asia Tenggara yang julung kali dianjurkan itu.
Skuad Sang Penyu pada awalnya melakar senyuman apabila Akhyar Rashid menggegarkan gawang tuan rumah selepas dia mengelirukan dua pemain pertahanan lawan dengan teknik gelecek mengagumkan.
Namun, kegembiraan itu tidak berkekalan kerana hanya beberapa minit berselang, BG Pathum menyamakan kedudukan menerusi jaringan Raniel Santana yang jelas merentap kesungguhan anak-anak buah Badrul Afzan Razali.
BACA LAGI: Lupakan episod duka Piala Malaysia, Akinade tagih kebangkitan Sang Penyu di bumi Bangkok
BACA LAGI: Sehebat zaman 3 peledak legenda lokal, fans Sang Penyu teruja trio Mamut-Akinade-Bonilla
Skuad Sang Penyu menamatkan saingan di tangga keempat Kumpulan A. — Facebook/ASEAN United FC
Hal tersebut dibuktikan dengan kegagalan benteng pertahanan Terengganu FC untuk menyekat serangan bertali-arus dilancarkan tuan rumah sehingga mereka dibolosi sebanyak tiga kali lagi dalam tempoh kira-kira 10 minit.
Meskipun skuad Sang Penyu cuba kembali mengikat kedudukan pada masa kecederaan, dua gol daripada kapten, Safawi Rasid tidak mencukupi untuk menghalang kekalahan 3-4 di Stadium Leo, Thailand.
Keputusan tersebut menyaksikan Terengganu FC menamatkan kempen Piala Shopee di tangga keempat Kumpulan A dengan BG Pathum United dan kelab Indonesia, PSM Makassar berjaya mengesahkan kemaraan.
Kegagalan mara ke pusingan kalah mati berkenaan sememangnya pahit untuk ditelan penyokong kelab Pantai Timur tersebut yang beranggapan ketiadaan Ismaheel Akinade pada minit-minit akhir permainan antara punca kekalahan pasukan.
Engku Nur Shakir (kiri) dibawa masuk untuk menggantikan Akinade. — Facebook/Terengganu FC
Perkara itu diungkapkan pengguna Facebook, On The Ball yang beranggapan keputusan ketua jurulatih skuad Sang Penyu, Badrul Afzan Razali mengeluarkannya jelas membawa padah.
"Ini lah sekali lagi pengajaran yang besar buat Badrul. Pertukaran Akinade serta (Manuel) Ott dengan Nik Sharif Haseefy dan Engku Nur Shakir hanya pertukaran posisi sedangkan apa yang sangat diperlukan Terengganu FC adalah mempertahankan kelebihan 1-0 sebaik mungkin.
"Ketara dengan keluarnya Akinade, maka Terengganu FC kehilangan sosok pemain fizikal yang boleh membantu pertahanan secara teknikalnya. Tambahan pula, situasi kecergasan pemain menjelang 20 minit terakhir, menggunakan pendekatan bertahan mungkin pilihan terbaik," tulisnya.
Penyerang kelahiran Nigeria itu dikeluarkan pada minit ke-69 permainan, kira-kira tiga minit selepas Akhyar membuka jaringan dengan perubahan itu dilihat sebagai percaturan untuk menambah jumlah gol.
Skuad Sang Penyu kelihatan kecewa dengan penyingkiran dialami dalam Piala Shopee. — Facebook/Terengganu FC
Meskipun fokus utama Akinade adalah untuk merobek gawang lawan, dia masih sanggup untuk turun membantu barisan pertahanan, lebih-lebih lagi ketika situasi bola mati melihat kepada ketinggiannya.
Kerajinan dipamerkan setiap kali di atas padang membuatkan sebahagian pengikut setia Terengganu FC menghargai kehadirannya meskipun rekod jaringannya belum cukup membanggakan.
"Pada situasi ini, Terengganu FC perlu mengubah formasi dan taktikal. Mungkin terlalu ghairah mencari gol tambahan hingga meninggalkan ruang di bahagian pertahanan. Kita cuba bangkit pada minit-minit akhir, tetapi impak sudah disaksikan dan agak terlewat bagi mengejar defisit.
"Apa-apa pun, perlawanan ini menunjukkan jurang yang tidaklah terlalu ketara dengan BG Pathum, kita boleh menyaingi. Namun inilah harga yang perlu untuk dibayar akibat sedikit kesilapan taktikal," tulis penyokong itu lagi.
Skuad Sang Penyu berpeluang menebus kekecewaan dalam Piala Shopee apabila mereka akan bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk bertemu Negeri Sembilan FC pada Ahad depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram