Gaji 'on time' siap dapat angpau, cekapnya Penang FC persis JDT bikin fans kelab tiada gaji cemburu


  • Podium
  • Khamis, 30 Jan 2025

Sebahagian pemain Penang FC pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina pada Khamis. — Facebook/PenangFC

JOHOR Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC (TFC) antara tiga kelab yang sering menjadi contoh terbaik untuk pasukan jika melibatkan fasiliti dan struktur kewangan kukuh pada musim ini.

Selain tiga kelab teratas Liga Super tersebut, satu lagi kelab dari kelompok pertengahan yang wajar menjadi contoh ialah Penang FC apabila tiada sebarang berita negatif berhubung isu tunggakan gaji terpalit dalam kem Harimau Kumbang.

Skuad berpangkalan di Utara tanah air itu mungkin kurang menyerlah dari segi prestasi atas padang hingga terpaksa bertukar jurulatih pada musim ini iaitu dari Akmal Rizal Ahmad Rakhli kepada Wan Rohaimi Wan Ismail.

BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum Dylan Wenzel-Halls, Penang FC destinasi 3 import 'striker' menyerlah di Liga M

BACA LAGI: [VIDEO] Keputusan VAR 'last minute' kecewakan fans, aksi JDT-MUFT dan Selangor-Penang turut terpalit

Perkara berkenaan membuatkan rata-rata penyokong skuad Harimau Kumbang mengkritik pihak pengurusan yang disifatkan tidak serius untuk menaikkan kedudukan mereka dalam kalangan empat teratas Liga Super.

Bagaimanapun, apabila berbicara mengenai masalah kebajikan pemain khususnya daripada aspek kewangan, penyokong memuji kecekapan pihak pengurusan Penang FC yang tidak pernah mengabaikan perkara itu.

Bahkan, para pemain Harimau Kumbang juga mendapat rezeki lebih apabila menerima angpau ketika sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada Khamis.

Foto beberapa tonggak Penang FC sekitar majlis berkenaan membuatkan penyokong Harimau Kumbang yakin pemain kelab sedang ditimpa masalah gaji seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kelantan Darul Naim FC cemburu dengan mereka.

"Untung jadi pemain Penang FC, yang tidak dapat gaji boleh beritahu. Risau slot 2025/2026 penuh," kata lama penyokong, Penang Brotherhood yang mengajak pemain dari kelab bermasalah gaji menyertai Harimau Kumbang.

"Janji pengurusan Penang mampu memberi gaji pemain walaupun tidak sehebat JDT. Namun, Penang teguh berdiri sebagai kelab bola sepak yang boleh menjaga kebajikan pemain," tambah penyokong, Abdul Pazeli Abadullah.

Ketika ini, skuad Hijau Kuning dan Kijang Emas merupakan dua pasukan mempunyai masalah tunggakan gaji yang belum mampu diselesaikan pengurusan masing-masing.

Ia menyebabkan kedua-dua pasukan hilang satu demi satu pemain khususnya pemain import yang memilih kelab lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram