MEMASUKI bulan ke-10 dalam kalendar Liga Super 2024/25, pelbagai perkara suka dan duka dapat disaksikan dengan rata-rata daripadanya masih menjadi topik perbincangan hangat ketika ini.
Simbahan asid terhadap Faisal Halim, isu kewangan hampir kesemua pasukan dan masalah pengurusan merupakan antara hal yang terus menjadi buah mulut dengan masing-masing mahu mendapatkan jawapan mengenainya.
Namun, di sebalik perkara yang terus diperkatakan itu, masih terdapat topik yang kurang dipandang, iaitu berhubung rekod diperbaharui sepanjang kempen kali ini.
BACA LAGI: Clayton puas bantu Perak pecah rekod JDT, YCL harap pemain KDN tak putus asa
BACA LAGI: Terpaksa berputih mata, Lion City Sailors calar rekod kebal KL City
Hal itu sepatutnya menjadi tumpuan utama peminat kerana kurangnya catatan mengenai perkara sedemikian akan menyebabkannya lenyap daripada sejarah, sekali gus menghilangkan resipi istimewa mengenai arena bola sepak tempatan.
Antara rekod dipecahkan musim ini adalah apabila Paulo Josue dimahkotakan sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Kuala Lumpur (KL) City FC serta kemenangan ke-29 berturut-turut oleh Johor Darul Ta'zim (JDT).
Bagaimanapun, menjelang penghujung kempen kali ini, masih terdapat tiga rekod yang boleh diperbaharui, baik di peringkat individu mahupun kelab dengan ia menarik untuk diikuti secara dekat.
1. Kutipan mata terendah (KDN FC)
Musim lalu, Kelantan FC yang dirundung masalah demi masalah pernah dilabel pasukan paling teruk dalam sejarah Liga Super kerana dibolosi sebanyak 100 kali dalam 26 perlawanan.
Meskipun mengalami isu besar dari segi pertahanan, skuad The Red Warriors (TRW) masih boleh tersenyum apabila mengumpul lapan mata hasil dua kemenangan dan dua keputusan seri.
Namun, rekod memalukan itu boleh diperbaharui sebuah lagi kelab berpangkalan di negeri Pantai Timur tersebut musim ini, iaitu Kelantan Darul Naim (KDN) FC yang turut dirudung 1,001 masalah.
Skuad Kijang Emas hanya mencatatkan tujuh mata dalam saingan Liga Super setakat ini. — Facebook/KDN FC
Berbaki enam perlawanan, skuad Kijang Emas hanya mencatatkan tujuh mata yang meletakkan mereka di dasar carta selepas merekodkan dua kemenangan dan satu keputusan seri.
Walaupun masih memiliki beberapa aksi untuk menambah baik kutipan itu, cabaran besar menanti pasukan kendalian Park Jae-hong itu kerana mereka akan berdepan JDT dan Selangor FC.
Bagaimanapun, penyokong di Kelantan tidak perlu gusar kerana rekod gol paling banyak dibolosi mustahil untuk dipecahkan kerana selepas 18 aksi, mereka baru sahaja melepaskan 50 gol.
2. Gol terbanyak Liga Super (Bergson da Silva)
Musim lalu, kecederaan menghalang Bergson da Silva daripada mengungguli carta penjaring terbanyak apabila dia terpaksa berehat beberapa minggu, sekali gus memberi peluang buat Ayron del Valle dari Selangor FC membawa pulang Anugerah Kasut Emas.
Namun, bagi kempen kali ini, penyerang kelahiran Brazil itu kelihatan lebih bersemangat untuk menebus kekecewaan kerana sudah mencatatkan 23 gol daripada 16 perlawanan.
Catatan itu sekali gus meletakkannya jauh daripada pencabar terdekat, Paulo Josue untuk muncul penjaring terbanyak Liga Super, lebih-lebih lagi dengan prestasinya amat memberangsangkan ketika ini.
Bergson mempunyai misi tersendiri ketika ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Tetapi, penyerang kelahiran Brazil itu seperti mempunyai misi baharu, iaitu untuk memperbaharui rekod gol terbaik pernah dicatatkannya sendiri dalam kempen Liga Super 2022.
Ketika itu, dia mencipta sensasi apabila menjaringkan 29 gol secara keseluruhan, sekali gus mengatasi catatan yang dahulunya dimiliki bekas penyerang Selangor FC, Ifedayo Olusegun.
Jadi, dengan masih enam perlawanan berbaki buat JDT, Bergson sudah tentu percaya bahawa dia akan terus meledak, lebih-lebih lagi dengan hampir kesemua rakan sepasukannya dapat menyajikan peluang terbaik baginya.
3. Gol terlewat Liga Super (Ifedayo Olusegun)
Ketika berdepan PDRM FC Mei lalu, Perak FC berputih mata untuk meraih mata tunggal apabila dibolosi pada minit-minit akhir kepada jaringan Ifedayo Olusegun yang berjaya melancarkan serangan balas pantas.
Jaringan pada minit ke-12 masa tambahan itu menyaksikan penyerang skuad Sang Saka Biru menempa sejarah sebagai pencetak gol terlewat dalam sejarah pertandingan terbabit.
Ifedayo menjaringkan gol pada minit ke-12 masa kecederaan ketika berdepan Perak FC. — Facebook/PDRM FC
Namun, jangan terkejut sekiranya rekod tersebut mudah diperbaharui dalam baki saingan musim ini kerana lambakan jaringan lewat sudah disaksikan beberapa minggu kebelakangan ini.
Ini termasuk gol lewat daripada bek tengah Penang FC, Rafael Vitor yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-11 masa tambahan ketika berdepan Selangor FC.
Campur tangan daripada video bantuan pengadil (VAR) dan masa kecederaan panjang sudah tentu membolehkan gol lebih lewat dicatatkan mana-mana pemain dalam aksi berbaki Liga Super musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram