Brendan Gan balik Australia, pernah kena 'reject' beraksi di Liga M


  • Podium
  • Ahad, 24 Mac 2024

Permintaan KAFA untuk mendaftarkan Brendan (kanan) sebagai pemain tempatan pernah ditolak oleh FAM. — Agensi

SIAPA sangka permintaan untuk mendaftarkan pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan pernah ditolak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kira-kira 10 tahun lalu, hasrat Kelantan FA (KAFA) menggunakan khidmat Brendan musnah apabila permohonan untuk mendaftarkan pemain tengah kelahiran Australia itu sebagai pemain tempatan tidak diluluskan FAM.

Perkara berkenaan disahkan oleh bekas Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim yang dilaporkan berkata, pihaknya hanya menunggu surat rasmi selepas dimaklumkan secara lisan oleh FAM.

"Secara lisan permohonan kami tidak diluluskan, kami belum menerima sebarang surat hitam putih.

"Kita tunggu surat rasmi FAM untuk mengetahui apakah sebab permohonan ditolak dan selepas itu baru kita buat tindakan seterusnya,” katanya.

BACA LAGI: Lupakan duka di Muscat, tonggak Sabah FC tekad balas dendam di SNBJ

Brendan

Brendan pernah menabur bakti bersama Kelantan dari musim 2014 hingga 2016. — Agensi

BACA LAGI: Habib Haroon sudah touchdown di Alor Setar? Senarai skuad Kedah hampir lengkap

Ketika itu, KAFA mempunyai alasan yang kukuh dengan mengatakan bahawa Brendan berhak didaftarkan sebagai warganegara kerana mempunyai pertalian darah menerusi ayahnya yang dilahirkan di Malaysia.

Kelantan dilaporkan mahu menggunakan khidmat Brendan bagi membantu jentera serangan pasukan berkenaan berikutan hanya tiga import sahaja yang dibenarkan beraksi dalam satu perlawanan.

Berikutan kes terbabit, Kelantan gagal dapat menandatangani Brendan sebagai pemain import namun membawa masuk pemain Lubnan, Mohammad Ghaddar, bekas pemain tengah Middlesbrough, Mohamed Shawky, pemain kelahiran Liberia, Forkey Doe, dan bek tengah kelahiran Nigeria, Obinna Nwaneri.

Bagaimanapun, isu berkenaan selesai pada Mac 2014 selepas Brendan sah menyertai skuad The Red Warriors (TRW) pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.

Ketika ini, Brendan yang pernah menabur bakti bersama Selangor FC selama empat musim itu sah meninggalkan kelab berkenaan dan kini memegang status sebagai 'free agent'.

Meskipun begitu, Sri Pahang FC antara kelab yang semakin hampir untuk mengikat bekas tonggak tengah Gergasi Merah itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram