Gelaran treble antara 3 sebab kehilangan TRW amat dirasai peminat fanatik


  • Podium
  • Ahad, 26 Mei 2024

Kelantan FC mempunyai nilai dan sejarah tersendiri dalam hati peminat bola sepak sebenar. — Facebook/TRW Kelantan FC

SATU lagi nasib malang kini dialami Kelantan FC apabila mereka gagal menyertai saingan Liga A1 Semi Pro berikutan masalah dalaman dialami yang menyaksikan pasukan itu gagal membawa masuk pemain mencukupi.

Mereka yang sebelum ini tidak dapat beraksi dalam Liga Super 2024/25 akibat isu perlesenan boleh dikatakan semakin hampir untuk dilupakan daripada landskap bola sepak tanah air.

Berita tersebut sudah tentu cukup mengejutkan memandangkan beberapa tahun lalu, skuad The Red Warriors (TRW) pernah mencengkam arena bola sepak tanah air.

BACA LAGI: Kelantan FC perlu lupakan sasaran 'Top 10', fokus bahagian getir

BACA LAGI: AFL sahkan terima permohonan Kelantan beraksi di Liga M3 musim depan

WhatsApp-Image-2024-05-25-at-10.24.47-AM

AFL mengesahkan Kelantan FC gagal mendaftar tempat dalam saingan Liga A1 Semi Pro. Facebook/AFL

Meskipun pernah cuba bangkit kira-kira tiga tahun lalu, kesukaran mendapatkan struktur kewangan kukuh membuatkan mereka berdepan kesukaran untuk memastikan keberadaan dalam Liga Super.

Jadi, tidak hairanlah apabila perkhabaran yang mengesahkan kegagalan Kelantan FC merebut slot dalam pertandingan anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) itu meruntun hati penyokong kelab itu.

Tetapi, apa yang lebih menarik adalah apabila majoriti peminat bola sepak tanah air turut bersama-sama meratapi nasib pasukan itu dengan mereka beranggapan ketiadaan skuad TRW menarik seri Liga Super dan Liga A1 Semi Pro.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga sebab kehilangan Kelantan FC daripada layar bola sepak tempatan sukar diterima ramai.

1. Juara treble 2012

Sepanjang sejarah Liga Super, hanya beberapa pasukan pernah meraih gelaran treble dengan kejayaan berkenaan sememangnya amat sukar untuk dicatatkan.

Namun, pada 2012, Kelantan berjaya merekodkan pencapaian itu selepas menjadi sebuah pasukan cukup mantap, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Selain itu, kehadiran import dengan personaliti berwarna-warni seperti Obinna Nwaneri dan Dickson Nwakaeme menyaksikan mereka cukup diminati meskipun dalam kalangan penyokong lawan.

1010953_538779576182279_204062066_n

Kejayaan treble skuad TRW sukar diulangi kelab Pantai Timur berkenaan.

Memori berkenaan bagaimanapun tidak bertahan lama selepas kelab itu akhirnya tersingkir pada 2017 dengan pemergian pemain bintang dan isu dalaman menjadi punca.

Kejayaan itu kekal sehingga hari ini dengan orang ramai menganggap kejayaan berkenaan cukup manis memandangkan Kelantan FC kerap meletakkan pemain tempatan.

Meskipun tidak mustahil perkara itu diulangi pada masa akan datang, titik peluh ditunjukkan dalam membangunkan pasukan terbabit cukup dihargai sehingga hari ini.

2. Kesungguhan penyokong

Salah satu kunci utama di sebalik kemegahan skuad TRW adalah sokongan tidak pernah putus daripada penyokong setia yang sering membanjiri setiap venue perlawanan.

Pada zaman kegemilangan, kebanjiran peminat setia mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dalam kesemua perlawanan akhir tidak pernah mengecewakan.

Lautan merah daripada penyokong yang mengenakan jersi pasukan serta sokongan sepanjang 90 minit permainan cukup sinonim dengan kehadiran mereka cukup menggangu lawan.

WhatsApp Image 2024-05-25 at 23.17.33

Lautan penyokong merah putih buat Kelantan FC tidak pernah mengecewakan.

Malah, jumlah memberangsangkan turut disaksikan sehingga tempoh kejatuhan dengan ribuan peminat sering hadir di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan.

Jadi, ketiadaan mereka sudah tentu menghilangkan seri bola sepak tanah air dengan masing-masing mahu menyaksikan kebanjiran penyokong diteruskan selepas ini.

Meskipun sokongan terhadap Kelantan Darul Naim (KDN) FC turut memberangsangkan setakat ini, aura berbeza masih dirasakan dengan ramai beranggapan skuad Kijang Emas tidak dapat mengulangi kegemilangan pasukan.

3. Kualiti pemain dilahirkan

Seperti diperkatakan di atas, antara kunci utama di sebalik kejayaan Kelantan FC lebih 10 tahun lalu adalah kerana kehadiran pemain tempatan amat berkualiti.

Ini dibuktikan dengan kebergantungan skuad kebangsaan terhadap bintang seperti Daudsu Jamaludin, Badhri Radzi dan beberapa yang lain dalam pasukan utama itu.

IMG_1188

Badhri merupakan salah seorang pemain terbaik dihasilkan bola sepak Kelantan.

Malah, kejayaan skuad TRW melahirkan lebih banyak pemain muda dengan mutu tersendiri diteruskan sehingga hari ini apabila beberapa 'ubi muda' dihasilkan.

Muhaimin Izzudin yang kini bersama Penang FC dan Fazrul Amir Zaman di KDN FC merupakan antara contoh terbaik dengan kualiti mereka masih dapat disaksikan meskipun kelab itu berada dalam kemelut musim lalu.

Jadi, dengan Kelantan FC kini tidak lagi berentap secara kompetetif, kebolehan bakat muda untuk digilap kelab Pantai Timur itu sudah tentu gagal diteruskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram