
PADA 2015, kancah bola sepak Malaysia dikejutkan dengan kekalahan Kelantan FA (kini dikenali sebagai TRW Kelantan) di tangan pasukan Singapura, LionsXII 1-3 sekali gus menyaksikan satu-satunya kelab luar negara yang menjuarai kejohanan terulung domestik itu.
Skuad kendalian Fandi Ahmad merampas trofi Piala FA daripada Pahang FA (kini dikenali sebagai Sri Pahang) yang merupakan juara pada edisi sebelumnya.
Lebih menarik lagi, LionsXII tidak menggunakan mana-mana khidmat pemain import dalam perlawanan akhir Piala Malaysia dan memilih untuk mempercayai kesemua bakat-bakat muda Singapura.
BACA LAGI: [VIDEO] Subramaniam buat fans kagum lepas dilihat fasih 'kecek Kelate'
Sudah sedekad berlalu, di manakah pemain-pemain kesebelasan utama LionsXII yang berjaya mencatatkan sejarah baharu dalam Liga Malaysia itu?
Majoriti tampil senaraikan status semasa 11 pemain utama LionsXII yang berjaya menjuarai Piala FA 2015:
1. Mohamad Izwan Mahbud
Izwan Mahbud merupakan penjaga gol berbakat dari Singapura yang terkenal dengan ketangkasan dan refleks luar biasa.
Izwan memainkan peranan penting dalam kejayaan LionsXII menjuarai Piala FA Malaysia 2015, membantu pasukan dengan aksi cemerlang di sepanjang kejohanan.
Pemain berusia 35 tahun itu juga dikenali kerana persembahan luar biasanya bersama skuad kebangsaan Singapura, terutama ketika perlawanan menentang Jepun pada 16 Jun 2015, yang mana dia melakukan 18 aksi penyelamatan untuk memastikan keputusan seri 0-0, satu pencapaian luar biasa yang mendapat pujian ramai.
Selain itu, Izwan pernah beraksi di luar Singapura dengan menyertai beberapa kelab Thailand, membuktikan kebolehannya di peringkat antarabangsa.
Kini penjaga gol skuad kebangsaan Singapura itu mewakili Lion City Sailors sejak 2022.
2. Muhammad Nazrul Nazari
Nazrul Nazari merupakan pemain bola sepak Singapura yang dikenali dengan kepantasan dan kepakaran sebagai pemain sayap.
Nazrul pernah menjadi sebahagian daripada skuad LionsXII yang menjuarai Piala FA Malaysia 2015, menyumbang kepada kejayaan pasukan dengan permainan lincah di barisan serangan.
Selain itu, Nazrul juga merupakan pemain utama dalam pasukan kebangsaan Singapura, sering diturunkan dalam kejohanan seperti Piala AFF dan kelayakan Piala Dunia.
Dengan pengalaman luas di peringkat antarabangsa, khidmat Nazarul ditagih Hougang United sejak 2016 selepas LionsXII dibubarkan sekali gus menjadi aset penting dalam bola sepak Singapura.
3. Madhu M. Mohana
Madhu Mohana ialah pemain pertahanan Singapura yang terkenal dengan lontaran ke dalam yang jauh.
Pada 2012, Madhu menjadi sebahagian daripada pasukan LionsXII yang beraksi dalam Liga Super Malaysia, yang mana dia membantu pasukan menjuarai Piala FA Malaysia 2015.
Selepas pembubaran LionsXII pada 2015, Madhu kembali ke Singapura dan bermain untuk beberapa kelab tempatan, termasuk Warriors FC, Tampines Rovers, dan Balestier Khalsa.
Pemain berusia 34 tahun itu juga pernah beraksi bersama Negeri Sembilan kerana kelebihannya sebagai pemain pertahanan yang berdisiplin dan berpengalaman sekali gus memberikan sumbangan yang signifikan kepada pasukan diwakilinya.
Sejak 2022, Madhu menandatangani kontrak bersama Balestier Khalsa dan dijangka kekal sehingga Jun 2025.
4. Muhammad Zulfahmi Arifin
Zulfahmi Arifin pemain tengah bertahan Singapura yang terkenal dengan kebolehan teknikal dalam situasi bola mati, keupayaan mencipta permainan, dan tendangan jarak jauh.
Pemain berusia34 tahun itu memulakan kerjaya profesionalnya bersama Young Lions dalam S.League.
Selepas dua musim, dia menyertai LionsXII untuk musim Liga Super 2013 dan berjaya membantu pasukannya menjuarai saingan Liga Super 2013 dan Piala FA 2015.
Kini Zulfahmi beraksi bersama Hougang United daripada kelab Indonesia, Bhayangkara FC.
Zulfahmi antara pemain Singapura yang mempunyai banyak pengalaman beraksi di luar negara dengan Thailand menjadi destinasi kesukaannya untuk mengembangkan karier lebih jauh.
5. Muhammad Hafiz Abu Sujad
Hafiz Abu Sujad ialah bekas pemain bola sepak profesional Singapura yang serba boleh, mampu beraksi sebagai pemain tengah atau pertahanan.
Hafiz memulakan kerjaya profesionalnya bersama Young Lions, yang mana dia berperanan sebagai kapten pasukan dan bermain sebagai bek kiri.
Pada 2013, Hafiz menyertai LionsXII yang beraksi dalam Liga Super dan mula beraksi di posisi baharu sebagai pemain tengah kiri dan tengah.
Selepas pembubaran LionsXII pada 2015, Hafiz kembali ke Singapura dan menyertai Tampines Rovers sebelum berpindah ke Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada 2017.
Hanya bertahan selama semusim Hafiz kembali ke Singapura dan bersara pada 2022 sekali gus meninggalkan legasi sebagai pemain yang berdedikasi dan serba boleh dalam arena bola sepak Singapura.
6. Muhammad Safuwan Baharudin
Safuwan Baharudin ialah pemain bola sepak profesional Singapura yang serba boleh, mampu beraksi sebagai pertahanan tengah, pemain tengah atau penyerang apabila diperlukan.
Kapten Selangor itu memulakan kerjaya profesionalnya dengan Young Lions dalam S.League, sebelum menyertai LionsXII yang beraksi dalam Liga Super.
Bersama LionsXII, Safuwan membantu pasukan menjuarai Liga Super 2013 dan Piala FA 2015.
Pada 2015, Safuwan dipinjamkan ke Melbourne City FC dalam A-League Australia, menjadi pemain Singapura pertama beraksi dalam liga tersebut.
Dia kemudian kembali ke Malaysia dan bermain untuk beberapa kelab, termasuk PDRM FA, Selangor FC, Sri Pahang dan Negeri Sembilan FC.
Pada Julai 2023, Safuwan kembali menyertai Selangor FC untuk memperkuatkan barisan pertahanan pasukan sehingga kini.
Di peringkat antarabangsa, Safuwan telah membuat lebih daripada 100 penampilan untuk pasukan kebangsaan Singapura, menjaringkan 13 gol.
Untuk info Safuwan merupakan sebahagian daripada skuad Singapura yang menjuarai Piala AFF 2012.
7. Muhammad Izzdin Shafiq Yacob
Izzdin Shafiq Yacob, beraksi sebagai pemain tengah bertahan dan memulakan kerjaya profesionalnya bersama Young Lions dalam S.League pada 2009.
Pada Disember 2011, Izzdin menyertai LionsXII yang beraksi dalam Liga Super di mana beliau membantu pasukan menjuarai liga pada 2013.
Kali terakhir Izzdin beraksi di pentas profesional pada 2022 bersama Geylang International sebelum hilang daripada pentas bola sepak Singapura.
8. Muhammad Faris Ramli
Faris bin Ramli, pemain Singapura yang beraksi sebagai sayap atau tengah menyerang.
Pemain yang sinonim dengan nombor 10 bersama Singapura itu terkenal dengan kemahiran membawa bola, kelajuan, dan penyudah tajam.
Faris memulakan kerjaya profesionalnya dengan Young Lions (2010–2012) sebelum menyertai LionsXII (2013–2015).
Dia juga beraksi untuk beberapa kelab Malaysia seperti PKNS FC (2016), Perlis FA (2019), dan Terengganu FC (2020–2021), sebelum kembali ke Singapura dengan BG Tampines Rovers.
9. Gabriel Quak Jun Yi
Gabriel Quak Jun Yi, adalah pemain Singapura yang bermain sebagai pemain sayap untuk Hougang United dalam Liga Singapura.
Sama seperti Faris Ramli, Gabriel terkenal dengan kemahiran membawa bola, kelajuan, dan kemampuan melepasi lawan dengan pantas.
Gabriel memulakan kerjaya profesionalnya dengan Young Lions (2010–2012) dan kemudian menyertai LionsXII (2013–2015), di mana beliau membantu pasukan menjuarai Liga Super Malaysia pada 2013.
Sejak 2023, dia telah beraksi untuk Hougang United serta menjadi pemain utama dan penyumbang terbesar kepada kejayaan pasukan.
10. Mohammad Khairul Amri
Mohammad Khairul Amri adalah seorang penyerang legenda Singapura yang terkenal dengan kelajuan, kemahiran menggelecek, dan sepakan deras dengan kedua-dua kakinya.
Memulakan kerjaya profesionalnya dengan Young Lions pada 2004, yang mana dia menjaringkan 54 gol dalam 114 penampilan.
Selain LionsXII, Khairul Amri pernah menyertai kelab Indonesia, Persiba Balikpapan selepas cemerlang di peringkat domestik negara kelahirannya.
Pada 2019, legenda Singapura itu menyertai Felda United dan bertahan sehingga 2021 sebelum kembali ke negara kelahirannya untuk bersama Tanjong Pagar.
Menerusi info laman sesawang Transfermarkt, Khairul Amri kini beraksi bersama Singapur Khalsa di liga bawahan Liga Singapura.
11. Mohammad Khairul Nizam
Mohammad Khairul Nizam Mohammad Kamal, memulakan kerjaya bola sepaknya dengan menyertai pasukan sekolah Serangoon Secondary School, yang mana dia memenangi Anugerah Kasut Emas dalam Kejohanan Bola Sepak 'B' Divisyen Kebangsaan Singapura 2007 dengan menjaringkan sembilan gol dari permainan terbuka.
Selepas menamatkan pengajian, Khairul Nizam menyertai Tanjong Pagar United, yang beraksi dalam Liga Singapura.
Dikenali dengan kelajuan, kemahiran menggelecek, dan keupayaan menjaringkan gol konsisten.
Sepanjang kerjayanya, dia menjadi pemain utama dalam pasukan dan menyumbang kepada kejayaan pasukan dalam liga domestik.
Kini pemain berusia 34 tahun itu tidak lagi beraksi secara profesional selepas mengumumkan persaraan pada 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram