SEJAK musim lalu, landskap bola sepak di Kelantan semakin merudum apabila kedua-dua pasukan berpangkalan di negeri Pantai Timur tersebut bergelut dengan isu kewangan.
Keadaan Kelantan FC pada 2023 yang berada di bawah pemilikan Norizam Tukiman adalah cukup memilukan sehingga laporan mengatakan pemain dan staf kejurulatihan tidak menerima bayaran sehingga sembilan bulan.
Harapan untuk menghidupkan suasana bola sepak di negeri itu sekali lagi gagal pada 2024/25 apabila Kelantan Darul Naim (KDN) FC turut mengalami isu sama apabila kebajikan masing-masing terabai.
BACA LAGI: [VIDEO] Gol ala-ala Son Heung-min Endrick bukan yang pertama, legenda Kelantan pengasas 'CCMG'
BACA LAGI: [VIDEO] Piya 'sekolahkan' pemain muda, 'Kalau nak suka-suka main petang sajalah'
Kelantan pernah menjadi pasukan terbaik dalam arena bola sepak tanah air.
Masalah menimpa kedua-dua kelab terbabit sememangnya sukar diterima penyokong kerana kira-kira 12 tahun lalu, mereka merupakan pasukan digeruni di peringkat domestik.
Gelaran treble yang dijulang pada 2012 cukup untuk menceritakan kenangan manis pernah dilakar Kelantan sebelum masalah pengurusan menimpa sehingga tiada jalan keluar daripadanya.
Namun, bagi penyokong dan pemain skuad The Red Warriors (TRW), momen bersejarah itu masih sukar untuk dilupakan kerana kemeriahan sedemikian amat sukar untuk diulangi hari ini.
Antara yang pasti gemar untuk mengimbau hari-hari kegemilangan itu adalah dua tonggak Kelantan FA, Nor Farhan Muhammad serta Badhri Radzi yang sinonim dengan pasukan itu.
Dalam satu video TikTok dimuat naik Badhri, dia serta bekas rakan sepasukannya tersebut kelihatan sedang berbicara mengenai zaman tersebut di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan.
"Kalau dulu-dulu, tiada tempat duduk kosong. Setiap kali kita turun beraksi, tak pernah mengecewakan kehadiran penyokong," kata Nor Farhan yang diakui Badhri.
Bekas kapten skuad TRW itu kemudiannya bertanya sama ada suasana sedemikian dapat diulangi memandangkan hari ini, arena bola sepak di Kelantan sudah amat berbeza.
Tidak cukup dengan itu, Badhri atau juga terkenal dengan julukan Piya mengatakan 'Gelombang Merah' di stadium berkenaan sukar dilupakan kerana ia menunjukkan kesetiaan penyokong.
Legenda kedua-dua pasukan hadir memeriahkan perlawanan persahabatan itu. — Facebook/Ex Kelantan x Tiktokers
Video itu dimuat naik sebelum aksi persahabatan antara Kelantan dan Terengganu pada Rabu. Ia sebenarnya merupakan promosi bagi menggalakkan kehadiran penyokong kedua-dua kelab untuk hadir ke 'rumah' Kelantan FC itu.
Pertembungan itu menyaksikan beberapa bintang seperti Piya, Nor Farhan serta Norshahrul Idlan Talaha yang menjulang gelaran treble bersama skuad TRW memperkuatkan pasukan.
Skuad Sang Penyu pula dibarisi beberapa bekas pemainnya seperti Manaf Mamat Ashari Shamsudin serta Hairuddin Omar yang masing-masing juga memiliki pengalaman indah di Pantai Timur.
Bagaimanapun, Terengganu terpaksa berputih mata dalam pertembungan itu apabila mereka mengalami kekalahan 1-4 kepada tuan rumah dengan hanya kira-kira 1,000 penyokong hadir ke stadium. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram