
TIDAK tahu mana silapnya apabila rekod kehadiran penyokong di setiap venue perlawanan khususnya Liga Super akhir-akhir ini cukup membimbangkan. Situasi itu seolah-olah memberi bayangan Liga Malaysia (Liga M) akan terkubur.
Paling ketara apabila penurunan drastik kehadiran penyokong dapat dilihat pada aksi minggu ke-19 Liga Super yang menyaksikan tidak sampai 10,000 peminat pada lima perlawanan baru-baru ini.
Berdasarkan semakan, aksi antara Penang FC dan Selangor FC di Stadium Bandaraya merekodkan 2,198 penyokong. Manakala, jumlah kedua tertinggi adalah babitkan perlawanan Terengganu FC dan Johor Darul Ta'zim di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan jumlah 2,046 peminat.
BACA LAGI: 'Liga M sudah mati jiwa', juara datang bertandang pun tak mampu tarik fans 'home' ke stadium
BACA LAGI: [VIDEO] Sama macam lawan Pahang, aksi Kuching City-Kedah ditunda hari lain akibat hujan lebat
Ia diikuti Perak FC bertemu Kelantan Darul Naim di Manjung dengan 1,106 penyokong sahaja. Dua lagi aksi menyaksikan catatan di bawah 1,000 babitkan Sri Pahang menentang Kuala Lumpur City FC di Temerloh dengan kehadiran 956 penyokong.
Paling menyedihkan menyaksikan perlawanan antara Negeri Sembilan FC berdepan Sabah FC di Paroi yang hanya dihadiri 537 peminat. Jumlah itu seolah-olah aksi membabitkan pasukan bola sepak amatur sahaja.
Bercakap mengenai situasi berkenaan, bekas pengurus bola sepak Kelantan iaitu Azman Ibrahim yang akui berada sedih melihat kepada kehadiran penyokong ke stadium sejak akhir-akhir ini.
Figura penting skuad The Red Warrior (TRW) itu beranggapan bahawa kualiti pasukan dianggap sebagai punca utama tiada lagi minat penyokong turun ke stadium.
Bekas pengurus bola sepak Kelantan, Azman Ibrahim. — X/FinaNasrom
"Kualiti pasukan macam Kelantan dah merudum. Pemain import tidak dapat menandingi pasukan lain, Penyokong tahu sebelum main lagi sudah kalah. Keterujaan sudah tiada awal, keputusan sudah diketahui lebih awal," katanya memetik laporan Stadium Astro.
Malah, istilah musuh jiran tetangga tidak lagi dipakai untuk menarik kehadiran penyokong ke stadium.
Kelantan pernah mencipta fenomena satu ketika dahulu dengan jumlah kehadiran penyokong luar biasa sepanjang musim, namun kini hanya tinggal kenangan.
"Penyokong bukan sahaja datang untuk menonton di stadium, malah mahu berjumpa pemain-pemain. Musuh tradisi seperti Kelantan dan Terengganu ada tarikan untuk penyokong datang ke stadium walaupun ada siaran langsung.
"Ini kerana mereka ingin saksikan dengan di depan mata sendiri," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram