
KEMPEN Terengganu FC dalam saingan Piala Shopee musim ini menemui titik noktah apabila mereka tewas kepada BG Pathum United dengan keputusan 3-4 di Stadium BG, Bueng Yitho, Thailand pada Rabu.
Skuad Sang Penyu membuka jaringan pada minit ke-68 menerusi Akhyar Rashid yang melakukan skil memukau untuk menewaskan beberapa pemain lawan sebelum merembat masuk bola untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Pisan Dorkmaikaew.
Namun, tidak lama selepas itu, giliran gol pasukan pelawat pula dibolosi apabila Raniel Santana menjaringkan gol penyamaan sebelum memastikan kelebihan milik mereka lima minit kemudian.
BACA LAGI: Tiada istilah lelong lawan JDT, kami pun ada maruah — Badrul Afzan
BACA LAGI: Badrul Afzan bangga mampu ikat JDT di gelanggang mereka selama 90 minit
Kekalahan di Thailand pada perlawanan terakhir mengesahkan penyingkiran skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Gawang Terengganu FC terus diserang kelab Thailand itu dengan Gakuto Notsuda menggegarkan jaring pada minit ke-83 sebelum Ilhan Fandi menjaringkan gol keempat mereka.
Ketinggalan 1-4 memasuki masa kecederaan tidak mematahkan semangat anak-anak buah Badrul Afzan Razali yang cuba mengikat kedudukan dengan Safawi Rasid menyempurnakan dua sepakan penalti.
Bagaimanapun, masa berbaki tidak mencukupi untuk pasukan Liga Super itu untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata, apatah lagi lolos ke pusingan kalah mati Piala Shopee musim ini.
Keputusan itu sememangnya sukar diterima penyokong Terengganu FC yang beranggapan keputusan mengeluarkan dan menggantikan beberapa pemain hanya mengundang padah buat mereka.
"Kesilapan taktikal jurulatih ketika ini. Apabila (Manuel) Ott dan (Ismaheel) Akinade dikeluarkan, terus empat gol diperolehi BG Pathum. Tetapi, dapat dua gol untuk menjadikan kedudukan 3-4 boleh dikira memuaskan.
Raniel menjaringkan dua gol untuk mengecewakan Terengganu FC. — Facebook/BG Pathum United
"Cuma kelalaian pemain menjadi penyebab BG Pathum dapat jaringkan empat gol dalam masa 16 minit, sesuatu harus dilakukan selepas ini. Coach Bad seorang yang berbakat besar, mungkin sedikit keputusan taktikal menjadi punca kekalahan," kata Hafeez Mohammed.
"Sayang 1,000 kali sayang. Permainan melawan yang baik wahai Terengganu kesayanganku, cuma tiada rezeki. Kesilapan coach keluarkan Ott dan Akinade terlalu awal," kata Ibrahim Hussin.
"Satu sahaja ingin dipesan kepada coach Bad, janganlah terlalu awal mengeluarkan pemain yang baru sahaja mahu serasi di atas padang. Ini akan membawa kelainan terhadap permainan," kata Izzat Aiman.
Pada babak kedua permainan, Badrul mengambil keputusan menggantikan Ott dengan Nik Sharif Haseefy sementara Engku Nur Shakir dibawa masuk selepas Akinade dikeluarkan.
Keputusan itu sepatutnya membawa impak, namun ia menyaksikan kestabilan pasukan terganggu dengan kedua-dua mereka lebih cenderung dalam tugasan menyerang.
Kekalahan di tempat lawan tersebut menyaksikan Terengganu FC menduduki tangga keempat Kumpulan A Piala Shopee dengan BG Pathum United dan PSM Makassar dari Indonesia mengesahkan kelayakan ke peringkat kalah mati. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram