
SAINGAN Piala Malaysia 2024 bakal menemui episod terakhir dengan menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC akan memberi aksi terbaik untuk merebut trofi kejohanan berprestij tersebut.
Harimau Selatan menepati ramalan apabila mudah melangkah ke final Piala Malaysia 2024 selepas menyingkirkan Terengganu FC dengan agregat 6-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu lalu.
Manakala, Sri Pahang FC juga turut mencatatkan pencapaian luar biasa dengan mara ke final setelah menewaskan Sabah FC dengan agregat 3-2. Keputusan itu sekali gus melayakkan pasukan berkenaan ke peringkat akhir Piala Malaysia selepas 11 tahun.
BACA LAGI: 'Semua gambar Google rai gol', fans tak sabar tunggu perubahan 'besar' Harimau Kumbang
Kisah Piala Malaysia bagaimanapun bukan hanya menonjolkan dua pasukan itu susulan ia juga menjadi medium untuk pemain tempatan lain bersinar dan semakin disukai oleh pasukan masing-masing.
Tiga pemain yang berada dalam senarai ini berhasil memperlihatkan kemahiran individu yang tinggi, tetapi juga memberikan impak besar kepada pasukan mereka dalam membantu mencapai kejayaan atau mempersembahkan aksi menghiburkan kepada penyokong.
Kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang mendapat pujian sepanjang saingan Piala Malaysia berlangsung;
1) Damien Lim
Damien merupakan penjaga gol utama The Rhinos. — Facebook/SabahFC
Sejak menyertai Sabah FC pada musim 2022, Damien Lim menjalankan tugas yang sangat baik sebagai benteng terakhir The Rhinos dengan membantu pasukan Borneo tanah air itu menghuni tempat ketiga bagi dua tahun berturut-turut.
Bagaimanapun, pada Mei 2024 menjadi detik hitam dalam karier pemain berusia 27 tahun itu apabila Damien mengalami kecederaan medial collateral ligament (MCL) yang serius semasa sesi latihan, memaksanya berehat selama hampir enam minggu.
Namun, sukar untuk menidakkan impak kehilangan Damien dengan menyaksikan benteng pertahanan Sabah FC terlalu mudah untuk ditembusi dengan 14 gol sudah dilepaskan kelab Borneo itu dalam sembilan aksi Liga Super.
Selepas pulih dari kecederaan lama, Damien hanya bolos dua kali bersama Sabah untuk Piala Malaysia. Ia membuktikan ketangkasannya dalam membuat beberapa 'save' berbahaya jentera serangan pasukan lain.
2) Ibrahim Manusi
Ibrahim (kiri) sebelum ini merupakan tonggak utama skuad Pahang ketika kempen Sukma 2022. — Facebook/SriPahang
Kelincahan pemain tinggi lampai, Ibrahim Manusi yang beraksi sebagai pemain tengah bertahan wajar mendapat pujian meskipun musim 2024 adalah penampilan pertamanya bersama skuad utama Tok Gajah.
Sebagai rekod, Ibrahim menyertai Sri Pahang pada dua tahun lalu. Dia sebelum ini merupakan tonggak utama skuad Pahang ketika kempen Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dan pemain penting yang membolehkan Tok Gajah dinobatkan naib johan Piala Presiden 2022.
Pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu berhasil menewaskan kelab gergasi seperti Selangor FC, Perak FC dan Sabah FC dengan kemenangan itu sebenarnya banyak bergantung kepada pemain berusia 23 tahun berkenaan.
Kehebatan Ibrahim juga mendapat pujian ketua pasukan Tok Gajah, Kpah Sherman yang menyifatkan Ibrahim merupakan tulang belakang bahagian tengah dalam memastikan pasukan lawan tidak mudah untuk menguasai perlawanan.
3) Ramadhan Saifullah
Penyertaan Ramadhan ke The Cats membantu melonjakkan kariernya sebagai pemain. — Facebook/KucingCity
Selepas banyak menghabiskan masa sebagai pemain gantian, Ramadhan Saifullah dipinjamkan ke Kuching City FC untuk mendapatkan lebih banyak masa permainan dan pengalaman pada musim 2024.
Dengan ketinggian 1.79 meter dan memakai jersi nombor 37, Ramadhan dikenali sebagai pemain sayap yang lincah dan berbakat, diharapkan dapat memberikan sumbangan yang signifikan kepada Kuching City FC sepanjang tempoh pinjamannya.
Sehingga kini, penyerang sayap kanan berkenaan sudah tampil dalam 10 perlawanan domestik termasuk enam aksi Liga Super dan tiga aksi Piala Malaysia menentang Penang FC dan Sabah FC di peringkat suku akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram