Tiada istilah lelong lawan JDT, kami pun ada maruah — Badrul Afzan


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Jumaat, 31 Jan 2025

Terengganu sebelum ini tewas 0-4 dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia di Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu. — Facebook/TerengganuFC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

“TIADA sebab kami harus lelong bila jumpa JDT,” kata ketua jurulatih interim Terengganu FC, Badrul Afzan Razali, menjelang pertemuan kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, pada Sabtu.

“Kita pun ada maruah. Kalau boleh kita nak elak kena gol, seboleh-bolehnya kita nakkan seri,” tambahnya sambil berharap untuk membina semangat pemain-pemain untuk berhadapan dengan BG Pathum United dalam aksi peringkat kumpulan Piala Shopee di Bangkok empat hari selepas itu.

Ramai cenderung melihat sifirnya mudah. Tewas 0-4 dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia di Kuala Terengganu, 17 Januari lalu, ia akan menuntut suatu keajaiban untuk Terengganu menterbalikkan kedudukan -- tambahan di SSI yang tidak pernah menyaksikan tuan rumah itu keciciran mata dalam saingan domestik.

BACA LAGI: Gaji 'on time' siap dapat angpau, cekapnya Penang FC persis JDT bikin fans kelab tiada gaji cemburu

BACA LAGI: Bukan Pawi, entah mengapa Ott-Akhyar rupanya mesin gol Terengganu di Piala Shopee

Badrul Afzan seakan-akan akur dengan tanggapan itu selepas dua kali Harimau Selatan itu gagal ditundukkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA) – termasuk kekalahan 0-1 kepada jaringan Juan Muniz dalam aksi Liga Super, 25 Januari lalu.

“Sedikit-sebanyak kita makin mengenali permainan JDT (selepas dua perlawanan) tapi bukan seorang dua tapi semua pemain mereka berkualiti.

“Nasib juga tidak menyebelahi kami dalam perlawanan tempoh hari apabila dua atau tiga peluang dimiliki (termasuk situasi satu lawan satu Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim dengan penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed, pada minit ke-85) gagal diterjemahkan kepada jaringan,” katanya.

Sebagai seorang yang berpegang kuat kepada ketentuan rezeki, jurulatih berusia 48 tahun itu percaya ia tidak memihak mereka kerana sistem video bantuan pengadil (VAR) tidak berfungsi dalam perlawanan itu hingga menafikan pasukannya satu sepakan penalti pada minit-minit akhir perlawanan apabila bola terkena tangan seorang pemain pelawat.

Dengan defisit empat gol dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia, Badrul Afzan bersikap realistik bahawa ia akan menjadi aksi timbal balik yang sukar buat pemain-pemainnya tapi pada masa sama menekankan pasukannya tidak harus mengalah dengan mudah.

“Apa yang tinggal? Kita tak mau kena gol, kita nak jaga semangat pemain-pemain kita. Sekurang- kurangnya kita nakkan seri,” kata jurulatih itu yang akan ketiadaan Akram Mahinan kerana penggantungan kad kuning.

Di samping itu, penjaga gol, Rahadiazli Rahalim, pertahanan Argzim Redzovic dan penyerang Ismaheel Akinade masih menanggung kecederaan. Kapten, Safawi Rasid, pula tidak boleh diturunkan atas dasar pemain pinjaman JDT.

“Seperti biasa, kita akan meneruskan penggiliran pemain seperti yang sudah selalu kita lakukan,” katanya.

Bercakap mengenai aksi terakhir Kumpulan A, Kejohanan Bolasepak ASEAN merebut Piala Shopee, Badrul Afzan nyata lebih bersemangat membincangkan peluang mereka untuk ke separuh akhir.

Selepas mengharungi empat perlawanan, Terengganu FC menduduki tangga kedua dengan tujuh mata – satu di belakang kelab Thailand, BG Pathum United – dengan pertemuan kedua-dua pasukan di Bangkok, Sabtu ini akan mengesahkan dua pasukan teratas yang akan mara.

Secara matematik, kelab Indonesia, PSM Makassar, yang turut menghimpun tujuh mata masih berpeluang dan bergantung kepada Keputusan perlawanannya dengan kelab Vietnam, Dong A Thanh Hoa, pada hari yang sama.

dalam table

Tangkap layar Terengganu berada di tangga kedua Kumpulan A Piala Shopee.

Terdahulu, Terengganu FC tewas 2-3 kepada Svay Rieng (Kemboja), seri 2-2 dengan Thanh Hoa, membelasah Shan United (Myanmar) 5-0 dan menang 1-0 ke atas PSM Makassar.

“Jika menang ke atas Pathum, kita akan layak. Sebaliknya jika seri, ia akan bergantung kepada keputusan perlawanan PSM Makassar dengan Thanh Hoa.

“Alang-alang kita masih berpeluang, kita mahu gunakan kesempatan yang ada ketika bertemu Pathum,” katanya.

Sekembali dari Bangkok, skuad Peteh itu akan kembali menyambung persiapan terhadap aksi Liga Super, dengan Negeri Sembilan FC akan menjadi lawan berikut di Paroi pada 9 Februari dan disusuli pertemuan dengan Kuala Lumpur City FC di Kuala Terengganu pada 14 Februari.

Badrul Afzan sebelum ini menekankan aksi liga – Terengganu FC ketika ini di tangga keempat dengan 24 mata selepas 16 perlawanan – sama pentingnya dengan aksi-aksi lain, dengan baki lapan perlawanan bakal menentukan bagaimana mereka akan berkesudahan.

badrul

Badrul Afzan bersikap realistik bahawa ia akan menjadi aksi timbal balik yang sukar buat anak-anak buahnya. — Facebook/TerengganuFC

Cabaran terdekat harus datangnya daripada Kuching City FC yang ketinggalan hanya tiga mata tetapi bermain kurang satu perlawanan.

Namun, berbanding melihatnya sebagai ancaman, ia juga mungkin dorongan terbaik untuk Terengganu FC menamatkan musim ini dengan pencapaian bermakna.

Pada peringkat penghujung liga nanti, penyerang Ivan Mamut yang baru menyertai semula latihan selepas pembedahan dan proses rawatan panjang terhadap kecederaan tendon Achilles, harus bersedia untuk memimpin serangan semula.

“Ivan baru sahaja memulakan latihan ringan. Kita tidak akan terburu-buru mengerah kudratnya,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram