
Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
SELAMA 90 minit di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Sabtu, Terengganu FC (TFC) menyerlahkan kesungguhan dan keberanian untuk mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1 hinggalah jaringan Heberty Fernandes pada minit berikutnya menjadi pemisah untuk tuan rumah melakar kemenangan 2-1.
Kesudahannya, Harimau Selatan kekal di landasan untuk menjuarai Piala Malaysia buat musim ketiga berturut-turut dengan agregat 6-1 – mereka menang separuh akhir pertama 4-0 di Kuala Terengganu pada 17 Januari – sambil TFC dinafikan ulangan ke perlawanan penentuan seperti musim lalu.
Di sebalik TFC akan terus meratapi kegagalan penyerang, Nelson Bonilla, menolak masuk ke pintu gol yang ternganga pada minit ke-33 selain sedikit kealpaan di penghujung permainan yang membenarkan Heberty merembat masuk dari luar kotak penalti, ketua jurulatih interimnya, Badrul Afzan Razali, boleh meraih rasa bangga dengan tentangan ditunjukkan pemain-pemainnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Di mana mereka sekarang? Kesebelasan terakhir TFC tewaskan JDT
BACA LAGI: 'Dalam perancangan', TMJ dedah JDT mungkin bertemu PSG dalam aksi persahabatan
Dua gol daripada Heberty sememangnya pahit untuk ditelan penyokong Terengganu FC. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
“Tak ada rezeki kami,” kongsinya dengan Bola Pegun. “Kalau seri 1-1, boleh berasa sedaplah sikit tapi tahniah kepada pemain-pemain kerana mereka telah memberikan yang terbaik.”
Kalau pun berkesudahan 1-1, ia tidak memberikan TFC apa-apa perbezaan melainkan ia akan memperbaiki rekod pertemuan mereka dengan JDT di SSI – mereka tewas 0-4 dalam kunjungan terakhir ke sana pada 26 Julai lalu – dan mengatasi kekalahan 0-1 dalam aksi liga di Kuala Terengganu pada 25 Januari.
Membawa defisit empat gol ke SSI pada malam Sabtu, Badrul Afzan berkongsi bahawa beliau berpesan kepada pemain-pemainnya supaya jangan terlalu hormatkan tuan rumah itu dan bermainlah tanpa tekanan kerana sukar untuk mereka menterbalikkan kedudukan.
“Kita tidak akan kerugian apa-apa. Saya pesan juga kepada pemain-pemain supaya lebih berdisiplin ketika bertahan, kuatkan mental dan elakkan daripada buat kesilapan mudah. Lawan JDT di tempat mereka, macam-macam boleh jadi.
“Hari ini (malam tadi) adalah game baru, usah ingat lagi game yang lepas-lepas. Pemain-pemain nampak enjoy dalam perlawanan ini.
Bonilla mensia-siakan peluang keemasan buat pasukannya pada separuh masa pertama. — Facebook/Terengganu FC
“Kita dapat ikat JDT 1-1 dalam 90 minit permainan tapi bila hilang fokus seketika, JDT dapat score. Mungkin masa tu, pemain-pemain kita rasa kita dah dapat keputusan seri,” katanya ketika dihubungi selepas perlawanan.
Badrul Afzan turut menagih sedikit rasa puas hati daripada keupayaan pasukannya mengekang penyerang berbisa tuan rumah, Bergson da Silva, daripada membuat jaringan – sama seperti perlawanan 25 Januari lalu apabila gol Juan Muniz menjadi pemisah.
Jorge Obregon yang dipadankan dengan Bergson – lazimnya kedua-duanya digilirkan dan bukan diturunkan serentak – turut diminimumkan ancamannya tetapi JDT sentiasa ada pemain yang boleh diharapkan.
Bergerak di belakang kedua-dua penyerang itu, Heberty memilih kesempatannya dan ruang-ruang kosong yang diitinggalkan untuk melakukan kemusnahan terhadap pelawat.
Dengan mendada tandukan Bergson ke arahnya dalam kawasan penalti pada minit ke-32, Heberty merembat tinggi dengan kaki kanannya tanpa memberi penjaga gol, Syed Nasrulhaq Syed Bidin, sebarang peluang untuk menangkis.
Ismaheel (kanan) menjaringkan gol saguhati buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Kemudian, ketika pemain-pemain TFC menghitung tambahan masa enam minit yang diberikan, Heberty meledakkan rembatan kaki kiri dari luar petak penalti pada minit ke-90+1.
Pengulas siaran langsung Astro Arena, Zainal Abidin Rawop, turut berkongsi kekecewaan dengan ulasannya: “Gol dari jarak jauh yang dilakukan Heberty Fernandes... bermakna Terengganu tak dapat membawa pulang satu rekod yang cemerlang untuk mereka. (Ketua jurulatih JDT, Hector) Bidoglio boleh menarik nafas lega.”
Harus tambah lega buatnya apabila sepakan percuma bak peluru daripada pemain pertahanan, Safwan Mazlan, pada minit ke-15 hanya sedikit melewati palang. Begitu juga apabila Bonilla mensia-siakan peluang terbuka daripada kuisan Engku Nur Shakir Engku Yacob selepas penjaga gol, Christian Abad, sudah tertewas pada minit ke-33.
Di media sosial, penyokong Terengganu mempersoalkan bagaimana TFC boleh membeli penyerang berusia 34 tahun dari El Salvador itu dari kelab Liga 1 Thailand, Sukhothai FC, Ogos lalu. Rata-rata mereka melabel Bonilla – penyumbang cuma dua gol liga setakat ini -- sebagai 'dok ghok cetong' (tak boleh pakai) dan tidak pun lebih baik daripada mana-mana pemain tempatan.
Pemain skuad Sang Penyu bertemu penyokong selepas tamat perlawanan. — Facebook/Terengganu FC
Pada penghujungnya, tinggallah gol cantik Ismaheel Akinade – penyerang yang diturunkan selepas ujian kecergasan lewat – dengan merembat terus daripada bola sungkitan bek, Ubaidullah Shamsul Fazili, pada minit ke-58 sebagai sagu hati.
“Kalau seri game tadi, kita rasa macam menang,” kata Badrul Afzan, “Apa pun, pemain-pemain enjoy dalam bilik persalinan. Macam saya kata, kita tiada apa-apa untuk kerugian. Pemain-pemain dah tunjuk semangat juang, disiplin tinggi, keberanian dan bermain tanpa rasa tekanan.”
Pada Ahad, pasukan TFC mengambil penerbangan terus dari Lapangan Terbang Senai ke Lapangan Terbang Don Muang, Bangkok untuk memenuhi janji perlawanan Kumpulan A Piala Shopee dengan BG Pathum United di Stadium Leo, Pathum Thani, Thailand pada Rabu ini.
TFC perlu menang perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu untuk menempah tempat dalam separuh akhir.
“Sedap hati juga la (selepas persembahan lawan JDT) untuk ke Bangkok ni. Cuma Alif (Zakaria) cedera lutut dalam game tadi dan kita kena ubah perancangan sedikit,” kata Badrul Afzan yang mendapat Rosdi Talib sebagai penolongnya menggantikan Hairuddin Omar yang menyertai panel jurulatih pasukan kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram