Marin Pilj sah milik kelab bawahan Croatia, terima ucapan maju jaya 2 bintang Terengganu


  • Podium
  • Sabtu, 01 Feb 2025

Marin Pilj merekodkan dua gol dan satu bantuan jaringan sebagai pemain tengah buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

NOVEMBER lalu, penyokong Terengganu FC mengalami sedikit kejutan apabila secara tiba-tiba, pemain tengah dari Croatia, Marin Pilj membuat keputusan meninggalkan pasukan itu.

Berdasarkan luahan dikongsikannya, dia mengambil langkah itu kerana isu mental berikutan pemergian Tomislav Steinbruckner yang juga merupakan rakan senegaranya.

Perpindahan mengejut itu menerima respons bercampur-baur daripada peminat Sang Penyu memandangkan ada yang beranggapan pemain tengah terbabit kurang memuaskan dengan hanya dua gol dan satu bantuan jaringan sempat direkodkannya.

BACA LAGI: 'Sibuk nak pemain orang', fans Terengganu melatah Marin Pilj dikhabar ke liga seberang

BACA LAGI: Terengganu bukan pilihan pertama Marin Pilj, cerita pahit dengan kelab lama punca ke Sang Penyu

Namun, di sebalik rasa kurang senang itu, ada pula yang berasa sebak akan kehilangannya kerana mereka kagum dengan kebolehannya melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti.

Meskipun tidaklah berakhir dengan jaringan, setiap percubaan dilakukan membuatkan ramai terpukau sehingga ada yang mahu Terengganu FC mencari seseorang dengan kemampuan sedemikian.

Kerinduan terhadap kebolehan Marin Pilj secara keseluruhan sekali lagi kedengaran apabila berita mengenai pemain berusia 28 tahun terbabit sekali lagi menghiasi media sosial.

Ini selepas Marin Pilj dilaporkan sudah menemui majikan baharu apabila secara rasmi menyertai kelab divisyen kedua Croatia, NK Vukovar yang sedang dalam landasan tepat untuk kembali ke liga teratas.

Perpindahan itu diumumkan menerusi laman media sosial kelab pada 8 Januari lalu yang menceritakan bagaimana pemain terbabit pernah beraksi di beberapa kelab sekitar negara Eropah berkenaan.

2776153

Akhyar (kiri) dan Safawi sempat mengucapkan selamat maju jaya buat Marin Pilj di kelab baharunya. Facebook/Terengganu FC

Jadi, mendengar perkhabaran baik buat Marin Pilj, rata-rata penyokong Sang Penyu hadir memberikan kata-kata semangat buatnya, termasuk dua pemain bintang mereka.

"Tahniah sahabat," kata Safawi Rasid yang berdasarkan statistik pernah beraksi di samping pemain tengah bertahan itu sebanyak 15 kali di kelab Pantai Timur terbabit.

"Semoga maju jaya," ujar Akhyar Rashid yang baru-baru ini diumumkan sebagai pemain tetap skuad Sang Penyu selepas menyertai mereka secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim.

Ucapan sedemikian membuktikan hubungan baik antara skuad bimbingan Badrul Afzan Razali itu masih utuh meskipun terdapat halangan dari segi komunikasi antara satu sama lain.

Setakat ini, Marin Pilj masih belum sempat beraksi buat NK Vukovar, namun sudah kelihatan dalam sesi latihan pasukan sebanyak beberapa kali menjelang aksi berdepan Rudes pada 15 Februari depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram