
Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
“NAMA pun Sri Pahang...,” kata Fandi Ahmad berseloroh mengenai pasukan kendaliannya yang diberi julukan pakar seri musim ini.
Selepas mengharungi 16 perlawanan liga, skuad Tok Gajah itu berkesudahan seri dalam tujuh daripadanya yang membawa kerugian yang bukan sedikit daripada segi pungutan mata -- mengatasi keseluruhan enam keputusan seri sepanjang musim lalu apabila Sri Pahang FC menduduki tangga kelima dalam carta liga.
Kehilangan 14 mata dalam semua keputusan seri berkenaan daripada 21 mata maksimum yang boleh dikutip, turut mengisahkan mengapa Sri Pahang FC terpaksa berpuas hati dengan himpunan 16 mata untuk mengisi tangga ke-10 dalam carta liga ketika ini – satu kedudukan yang harus asing buat mereka.
BACA LAGI: Tiada istilah lelong lawan JDT, kami pun ada maruah — Badrul Afzan
BACA LAGI: Nostalgia Piala Malaysia musim 2014 gamit memori Fandi, Sri Pahang
Skuad Tok Gajah kerap mensia-siakan peluang membawa pulang kemenangan dalam Liga Super. — Facebook/Sri Pahang FC
Ketiadaan tuah, kerap beraksi dalam cuaca buruk dan kehilangan fokus di penghujung permainan adalah antara faktor yang dirumuskan ketua jurulatih Pahang FC itu menjadi punca mereka banyak kehilangan mata.
Sedari awal musim ini, mereka seri 2-2 dengan Kuching City FC (A – 19 Mei), 0-0 dengan Kuala Lumpur City FC (A – 27 Julai), 1-1 dengan Selangor FC (H – 31 Julai), 1-1 dengan Terengganu FC (A – 16 Ogos), 2-2 dengan Kedah FC (A – 20 Sept), 1-1 dengan Kelantan Darul Naim FC (A – 25 Okt) dan 1-1 dengan KLCFC (H – 26 Jan).
Itu belum lagi dikira dua lagi keputusan seri dalam aksi Piala Malaysia -- 3-3 dengan Perak FC (H – 22 Dis) dan 1-1 dengan Sabah FC (A – 18 Jan).
Kalau pun ada sedikit sagu hati, lima daripada perlawanan berkesudahan seri dalam liga itu berlangsung di tempat lawan.
Mengakui tidak senang dengan julukan pakar seri itu, Fandi turut merujukkannya kepada perbandingan dengan jumlah jaringan musim lalu apabila pasukannya meledakkan 33 gol dalam 26 perlawanan – berbanding 19 gol selepas 16 perlawanan musim ini.
Musim lalu, penyerang, Kpah Sherman memimpin senarai penjaring dengan 12 gol tapi baru menghasilkan lima gol musim ini – jumlah serupa daripada pemain pertahanan, Stefano Brundo, berbanding 10 golnya sepanjang 2023.
Hasil pulangan daripada Kpah musim ini menunjukkan kemerosotan ketara. — Facebook/Sri Pahang FC
Kemerosotan turut disaksikan daripada pemain tengah, Sergio Aguero, dengan hanya satu golnya musim ini jika dibandingkan dengan lima golnya musim lalu – statistik yang diatasi oleh pemain sayap, Manuel Hidalgo, dengan tiga golnya setakat ini.
Paling mengecewakan haruslah Mykola Agapov – penyerang yang didatangkan dari Ukraine awal musim ini – yang baru menghasilkan satu gol ketika seri 1-1 dengan Penang FC dalam perlawanan pusingan 16 Piala FA, 14 Jun lalu. Dia bagaimanapun gagal dalam sepakan penalti penentuan untuk mereka tersingkir 4-3.
Keadaan itu menceritakan mengapa Sri Pahang FC adalah antara yang terendah daripada segi jaringan dengan 19 gol selepas 16 perlawanan – cuma lebih baik daripada Negeri Sembilan FC (17) dan Kelantan Darul Naim FC (12) yang mengisi dua tangga terbawah liga.
“Kami sudah cuba melakukan yang terbaik tapi kami tidak miliki seorang penyerang sejati. Sebenarnya, kami mencipta banyak peluang dalam perlawanan-perlawanan, cuma mengecewakan dalam menyudahkannya.
“Dalam bahagian ini, jurulatih tidak dapat hendak membantu. Tapi biasalah, apabila pasukan menang, semua orang mendapat pujian tapi apabila kalah, hanya jurulatih seorang yang akan dipersalahkan,” kata Fandi kepada Bola Pegun.
Impak dibawa Ahapov (tengah) buat skuad Tok Gajah belum memuaskan. — Facebook/Sri Pahang FC
Andai diberi pilihan, jurulatih berusia 62 tahun itu mengharapkan Sri Pahang FC dapat mengikis julukan pakar seri apabila melakukan perhitungan dengan Sabah FC dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Perbandaran Temerloh pada Ahad.
Kembali menghidu udara perlawanan akhir selepas 11 tahun sejak Pahang tampil juara Piala Malaysia buat kali keempat pada 2014, Fandi menyandarkan kepada barisan serangannya – atau mana-mana pemain posisi lain -- untuk menebus kekurangan gol mereka dalam liga dengan mengesahkan kemaraan ke final.
“Saya tidak dapat hendak gambarkan betapa pentingnya untuk kami menang perlawanan ini untuk ke final (pada 26 April). Kita tidak tahu apa yang akan berlaku dalam liga seterusnya tetapi ini adalah satu perlawanan yang memberi kami peluang untuk menebus kehambaran prestasi kami dalam liga.
“Liga bagi kami masih berbaki lapan perlawanan dan apa-apa saja boleh berlaku. Tapi dalam hanya satu lagi perlawanan (Piala Malaysia), kami boleh merebut tempat ke final,” katanya.
Laporan bahawa Sabah FC mungkin merehatkan tiga pemain utama -- Stuart Wilkin, Park Tae-su dan Gary Steven Robbat – kerana kekurangan daripada segi tahap kecergasan mungkin hanya sebahagian daripada perang psikologi.
Stuart Wilkin dikatakan tidak dapat diturunkan bagi aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia. — Facebook/Sabah FC
Wilkin mengalami kecederaan ketika beraksi menentang Negeri Sembilan FC pada 25 Januari lalu manakala Tae-su pula baru saja pulih selepas berehat selama tiga bulan. Selain duo berkenaan, ketua jurulatih, Martin Stano, juga terpaksa melupakan khidmat Gary akibat kecederaan.
Namun, ia mungkin bukan sesuatu yang melegakan Fandi yang tidak dapat menggunakan Hidalgo kerana penggantungan kad merah.
Malah, latihan menjelang perlawanan Ahad ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk menguji gandingan baharu, termasuk Sean Selvaraj dan Baqiuddin Shamsudin, untuk menampung kekosongan yang ditinggalkan.
“Siapa pun yang akan diturunkan, kami perlu menunjukkan keinginan dan kesungguhan yang tinggi jika ingin ke final. Untuk itu, kami perlu benar-benar kompak dan solid,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram