‘Jumpa anda di Johor’, Ivan Mamut bagi petunjuk ketuai serangan Terengganu jumpa JDT


  • Podium
  • Jumaat, 31 Jan 2025

Mamut (tengah) masih menanti peluang untuk beraksi buat Terengganu. — Facebook/Terengganu FC

CABARAN berliku menanti Terengganu FC dalam usaha mereka untuk mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).

Hal ini kerana, kekalahan 0-4 pada separuh akhir pertama di tempat sendiri jelas sukar untuk skuad Penyu kembali semula terutamanya apabila beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Ramai menganggap langkah Terengganu di Piala Malaysia sudah terhenti, tidak kurang juga yang sekadar berharap skuad Penyu bermain dengan baik dan tewas dengan bermaruah.

BACA LAGI: Enggan ambil risiko, Ivan Mamut terlepas aksi bertemu JDT

BACA LAGI: Mesin gol kembali sertai pasukan, gandingan Ivan Mamut, 2 import jadi sandaran jumpa JDT

Akan tetapi, harapan seolah-olah menyala buat Terengganu apabila penyerang utama mereka seolah-olah memberikan bayangan akan turun menentang JDT.

Penyerang Croatia, Ivan Mamut yang cedera sejak awal musim memberikan mesej buat penyokong Terengganu yang mereka akan bertemu di Johor kelak.

"Kepada semua penyokong Terengganu, jumpa anda di Johor dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia," kata Mamut.

Ia memberikan gambaran yang pemain itu sudah pun bersedia untuk diturunkan oleh Badrul Afzan sekali gus akan mengetuai jentera serangan Terengganu pada perlawanan tersebut.

Sekiranya diturunkan, pastinya Mamut akan memberikan cabaran dari segi fizikal kepada pertahanan JDT sekali gus boleh menghadirkan ancaman selain daripada pemain seperti Ismaheel Akinade dan Akhyar Rashid.

Sebagai rekod, Mamut mengalami kecederaan pada achilles tendon pada awal musim yang menyebabkan dia terlepas kesemua aksi Terengganu sehingga sekarang.

Dia diterbangkan ke luar negara untuk menjalani pembedahan dan mendapatkan rawatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram