
KETIKA ini, hanya dua aksi berbaki untuk menentukan pasukan manakah yang akan melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25 dengan kesemunya akan diadakan pada hujung minggu ini.
Johor Darul Ta'zim (JDT) boleh memasang impian untuk ke final buat kali keempat berturut-turut selepas merekodkan kemenangan 4-0 ke atas Terengganu FC dalam pertembungan pertama.
Sementara itu, dua lagi pasukan iaitu Sri Pahang FC dan Sabah FC masih berpeluang untuk mara ke pusingan akhir selepas hanya terikat 1-1 dalam aksi di Stadium Likas, Sabah sebelum ini.
BACA LAGI: Nostalgia Piala Malaysia musim 2014 gamit memori Fandi, Sri Pahang
BACA LAGI: Bukan Pawi, entah mengapa Ott-Akhyar rupanya mesin gol Terengganu di Piala Shopee
Piala Malaysia merupakan satu kejohanan berprestij di peringkat tanah air.
Jadi, tidak salah untuk katakan bahawa aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia hujung minggu ini akan menyajikan pertemuan amat mendebarkan, lebih-lebih lagi buat penyokong skuad Tok Gajah dan Sang Badak yang bakal bertembung di Stadium MP Temerloh, Pahang pada Ahad.
Namun, melihat kepada era moden kejohanan bersejarah itu, aksi kali ini bukanlah yang paling mendebarkan kerana beberapa musim kebelakangan ini, terdapat pertembungan separuh akhir sukar dilupakan.
Selain kebangkitan bersejarah, terdapat juga pertemuan di pusingan tersebut menyaksikan pasukan pilihan tersingkir apabila bertemu lawan yang kurang mencabar, tetapi tidak kenal erti putus asa demi menghiburkan penyokong sendiri.
Berdasarkan pemerhatian, berikut merupakan tiga aksi separuh akhir Piala Malaysia sesuai dilabel epik kerana sukar dilupakan hingga hari ini, baik buat penyokong sendiri mahupun peminat bola sepak secara amnya.
1. Kebangkitan Pahang ke atas Kedah (2014)
Kali terakhir skuad Tok Gajah melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia adalah pada 2014 yang mana mereka turut muncul juara setelah menundukkan JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Namun, pencapaian itu tidak mampu tercapai sekiranya pasukan Pantai Timur itu tidak mengejutkan orang ramai dengan kebangkitan bergaya di pusingan separuh akhir.
Skuad kendalian Datuk Dollah Salleh yang bertemu Kedah FA pada awalnya mengalami kekalahan 1-3 dalam perlawanan pertama di Stadium Darul Aman, Kedah yang meranapkan impian Pahang.
Hatrik Conti pada separuh masa pertama masih segar dalam ingatan.
Bagaimanapun, tampil dengan azam di hadapan penyokong sendiri bagi aksi timbal balik, Pahang berjaya mencipta kejutan apabila merekodkan kemenangan 5-0 untuk menempah slot ke perlawanan akhir.
Kelab Pantai Timur itu mempamerkan kebangkitan pada 45 minit pertama dengan hatrik daripada penyerang kelahiran Argentina, Matias Conti dan satu gol R Gopinathan memberi keselesaan bermakna buat skuad Tok Gajah.
Satu lagi gol daripada Gopinathan melengkapkan kebangkitan bersejarah itu, sekali gus menyuntik semangat berbeza buat mereka untuk menjulang trofi itu pada musim berkenaan.
2. Agregat 8-8 antara Kedah, Pahang (2019)
Kedah dan Pahang sekali lagi ditakdirkan bertemu di separuh akhir Piala Malaysia pada 2019 dengan masing-masing ketika itu memiliki kelebihan dari segi serangan.
Ini dapat disaksikan selepas perlawanan pertama yang mana mereka terikat 3-3, sekali gus mencetuskan aksi amat mendebarkan bagi saingan timbal balik di Stadium Darul Makmur, Pahang.
Tetapi, perlawanan di Pantai Timur itu sekali lagi menyaksikan lambakan gol terhasil apabila sebanyak 10 jaringan disaksikan dalam aksi yang berakhir dengan keputusan seri 5-5.
Gol minit-minit akhir Dickson tidak membawa makna buat Tok Gajah. — Facebook/MFL
Momen paling epik dapat disaksikan ketika pertembungan tersebut adalah ketika penyerang tuan rumah, Dickson Nwakaeme menjaringkan gol terakhir perlawanan pada minit-minit akhir masa tambahan.
Bagaimanapun, jaringan dan keraiannya tidak langsung bermakna kerana aksi terbabit berakhir dengan kemaraan buat skuad Sang Kenari berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.
Tetapi, Kedah berputih mata dalam pentas final bertemu JDT apabila mengalami kekalahan 0-3 yang sehingga kini menyaksikan kelab Utara tanah air tersebut gagal melangkah ke mana-mana perlawanan akhir.
3. Dua gol Tchetche Kipre mengecewakan JDT (2018)
Seperti dinyatakan di atas, pertembungan epik di pusingan separuh akhir Piala Malaysia boleh diceritakan apabila sebuah kelab pilihan mengalami kekalahan mengejut kepada lawan yang kurang mengancam.
Ini dapat disaksikan ketika JDT yang hadir dengan status juara bertahan pada 2018 mengalami kekecewaan kepada Terengganu selepas mereka tersingkir dengan agregat tipis 2-3.
Pertemuan pertama menyaksikan skuad Sang Penyu mencatatkan kemenangan 1-0 di laman sendiri dengan ia sudah cukup untuk menyuntik semangat buat anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim.
Tchetche (kiri) menyelamatkan skuad Sang Penyu di Stadium Larkin. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, ia tidak dapat dibandingkan dengan pertembungan di Stadium Larkin, Johor apabila pasukan Pantai Timur terbabit bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mara ke pusingan akhir.
Wira buat pasukan itu sudah tentu penyerang merangkap kapten mereka, Tchetche Kipre yang dua kali menewaskan Farizal Marlias untuk memastikan tiket ke perlawanan akhir musim tersebut milik mereka.
Bagaimanapun, kejayaan menyingkirkan gergasi bola sepak tanah air itu tidak bermakna apabila mereka pula menjadi mangsa kebangkitan di pentas final kepada Perak sebelum berputih mata dalam penentuan sepakan penalti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram