'Sibuk nak pemain orang', fans Terengganu melatah Marin Pilj dikhabar ke liga seberang


  • Podium
  • Rabu, 10 Jul 2024

Prestasi konsisten Marin membuatkan ada khabar angin mengaitkan berhijrah ke pasukan Indonesia. — Facebook/TFC

WALAUPUN masih di peringkat awal Liga Malaysia (Liga M), namun pujian perlu diberikan kepada Terengganu FC (TFC) yang dianggap boleh menjadi pencabar terkuat saingan musim ini selepas mempamer persembahan cemerlang.

Skuad Sang Penyu kini masih tidak merekodkan sebarang kekalahan dalam saingan Liga Super dan merekodkan dua kemenangan serta dua keputusan seri bagi memastikan mereka menghuni kedudukan ketiga selepas empat perlawanan.

Manakala, bagi saingan Piala FA pula, pasukan bimbingan Tomislav Steinbruckner berhasil lolos ke separuh akhir selepas menewaskan Sabah FC 7-0 secara agregat dalam pusingan suku akhir baru-baru ini.

BACA LAGI: Terengganu nafi khabar angin Tomislav Steinbruckner meninggal dunia

BACA LAGI: Kegembiraan Sabah dibayangi kegusaran, perlu lebih kerja keras lawan Terengganu

Antara kunci Terengganu sedang menikmati musim terbaik mereka adalah disebabkan kedalaman skuad yang memiliki banyak bermain berkualiti baik pemain tempatan mahupun bintang import mereka seperti Marin Pilj.

Pemain kelahiran Croatia itu semakin disayangi penyokong Terengganu apabila sudah mencetak dua gol dalam membantu pasukan berkenaan layak ke pusingan separuh akhir Piala FA 2024.

Menariknya, dua golnya itu dibuat menerusi sepakan percuma jarak jauh sehingga pemain berusia 27 tahun berkenaan boleh dilabel sebagai pakar dan orang kepercayaan Tomislav dalam membuat tugasan tersebut.

Sepakan percuma berkualiti perancang skuad Penyu itu terhasil ketika aksi menentang Sabah dan sewaktu perlawanan suku akhir pertama serta pusingan 16 terakhir Piala FA berdepan Perak FC.

Kualiti yang dimiliki Marin diam-diam menarik minat pasukan Liga Indonesia apabila dikhabarkan sebuah kelab dari negara jiran sedang memantau pemain tengah itu bagi saingan musim 2024-2025.

Meskipun kesahihan khabar angin berkenaan belum dapat dipastikan namun penyokong Terengganu sudah memberi reaksi tidak bersetuju dan menyuarakan kebimbangan mereka mengenai desas-desus kurang menyenangkan itu.

"Kenapa negara jiran sibuk nak ambil pemain orang," kata penyokong Terengganu, Mat Yusof.

"Aduhai, jangan main pintu belakang pula nak ambil Marin," ujar penyokong skuad Sang Penyu, Sabrie Rasheed.

Sekalipun ada yang berminat dengan kepakaran Marin, pasukan berkenaan perlu mengeluarkan bajet lebih untuk menebus kontak import tersebut. Berdasarkan laman Transfermarkt, kontrak Marin kekal hingga 21 Mei 2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram