
DALAM memperkukuhkan barisan tengah pasukan, Selangor FC membawa masuk pemain tengah tinggi lampai, Nikola Jambor pada jendela perpindahan kedua Liga Super 2024/25.
Keputusan itu pada awalnya menimbulkan persoalan kerana bagi penyokong, jentera serangan perlu diperbaiki terlebih dahulu memandangkan pulangan Ronnie Fernandez tidak memuaskan.
Namun, selepas menyaksikan kebolehan Jambor untuk kira-kira lima bulan, pengikut Gergasi Merah mula berasa tertarik akan kebolehannya sebagai pemain tengah bertahan.
BACA LAGI: [VIDEO] Kukuhkan benteng Gergasi Merah, Nidzam Jamil yakin Niko Jambor boleh beri 'real fight'
Pemain tinggi lampai itu mudah menyesuaikan diri buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Pemain kelahiran Croatia itu sememangnya bijak menggunakan kelebihan dari segi fizikal yang membolehkan Selangor FC menikmati lapan perlawanan berturut-turut tanpa sebarang kekalahan.
Sumbangan diberikan sepanjang lebih 10 perlawanan amat penting untuk mengekalkan skuad Gergasi Merah dalam landasan bagi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan.
Jambor juga seperti amat berpuas hati dengan gaya permainannya buat kelab Lembah Klang itu sambil menegaskan sikap ditonjolkan rakan sepasukan membolehkannya memberikan persembahan terbaik.
"Semua rakan sepasukan yang kerap bergurau dan kami kerap bercakap mengenai bola sepak sebelum beraksi dan kami cuba lebih tenang, perkara seperti ini menggembirakan saya di sini.
"Saya rasa sangat selesa, saya akan cuba berikan yang terbaik sama ada beraksi di bahagian tengah mahupun pertahanan, saya kan cuba membantu pasukan kerana kami sentiasa mahukan kemenangan dan tiga mata," katanya kepada Astro Arena.
Di bawah kendalian Katsuhito Kinoshi, pemain berusia 29 tahun itu kerap digandingkan dengan Mukhairi Ajmal, Nooa Laine dan Yohandry Orozco dengan kecederaan kepada pemain Jordan, Noor al Rawabdeh memberikannya pulang untuk turun.
Tetapi, sekiranya kesemua bintang di posisi tengah Selangor FC kembali cergas, terdapat kemungkinan khidmat Jambor masih akan ditagih meskipun dia sendiri tidak tahu akan masa depannya bersama kelab itu.
Dalam pada itu, bekas pemain Rio Ave FC di Liga Portugal terbabit menjelaskan keputusannya untuk menyertai skuad Gergasi Merah dibuat selepas dia menghubungi rakan senegara yang beraksi dalam Liga Super.
"Sebelum saya hadir ke Selangor saya tidak mengetahui terlalu banyak mengenai kelab ini dan mula bertanya rakan saya yang beraksi di liga ini, serta jurulatih dan mereka semua maklumkan kepada saya bahawa Selangor adalah pasukan yang besar di Malaysia dengan sejarah dan dalam keadaan yang baik.
"Setelah tiga bulan di Selangor saya dapat mengesahkan apa yang mereka katakan benar. Saya bersyukur beraksi buat kelab ini," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram