'Kapten Marvel' antara 6 pemain ex Liga M di SCL 2024 boleh bantu KRW FC gegar Liga A1 Semi-Pro


  • Podium
  • Isnin, 27 Jan 2025

SCL 2024 dipenuhi ramai bekas-bekas pemain Liga Super untuk diintai oleh KRW FC bagi memperkuatkan pasukan bagi saingan musim depan.

KELANTAN Red Warriors FC (KRW FC) dalam misi penting untuk mengembalikan bola sepak di negeri itu selepas terkuburnya TRW Kelantan FC susulan isu tunggakan gaji yang memaksa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menarik lesen penyertaan kelab dimiliki oleh Norizam Tukiman musim ini.

Pihak pengurusan KRW FC yang diketuai oleh Nik Hafiz Naim Nik Hasan kini sedang giat menjalani pemilihan pemain-pemain baharu di beberapa sekitar daerah Kelantan selepas melantik Irfan Bakti Abu Salim sebagai pengendali sulung pasukan itu.

KRW FC juga dalam persiapan untuk membina skuad yang lebih ampuh selepas Nik Hafiz memberitahu pasukannya bakal beraksi di Liga A1 Semi-Pro bermula musim depan selepas permohonan penyertaan kini sedang diteliti oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL.

BACA LAGI: Pep Guardiola mahu rakan sepasukan ex import Selangor FC turun bertemu Chelsea

BACA LAGI: [VIDEO] Selangor, Terengganu boleh berkira-kira ikat 2 bintang bantu CAHN 'comeback' benam KL City

Oleh itu, dalam membentuk skuad yang mampu bersaing di hieraki kedua liga bola sepak Malaysia, KRW memerlukan pemain-pemain berpengalaman tinggi untuk membawa cabaran pasukan mara lebih jauh.

Jikalau mahu mengintai bintang-bintang dari Liga Super ia memerlukan kos tinggi buat pasukan baharu seperti KRW FC kerana umum mengetahui standard pemain yang lebih profesional.

Namun begitu, pihak pengurusan KRW FC boleh mengintai enam bekas pemain Liga Super yang kini bergiat aktif di Selangor Champions League 2024 (SCL 2024).

Majoriti senaraikan enam bekas Liga Super yang kini bintang dalam saingan SCL 2024:

1. Mohd Razman Roslan

Siapa yang tidak mengenali bekas kapten marvel Pahang FA (kini dikenali Sri Pahang FC), Mohd Razman Roslan selepas dia berjaya mengembalikan bola sepak Pahang pada musim 2013 sehingga 2015.

Menjuarai Piala Malaysia dan Piala FA bersama Pahang antara kenangan manis yang tidak akan dipisahkan oleh peminat bola sepak tempatan dengan Razman Roslan.

Pernah dianugerahkan 'Best Defender Award' pada 2014, Razman antara calon sesuai untuk mengemudi KRW FC dalam saingan Liga A1 Semi-Pro sebagai kapten pasukan.

Kini Razman aktif beraksi bersama Klang City Sailors dalam saingan SCL 2024 dan berjaya membawa pasukannya itu ke peringkat separuh akhir.

2. Muhd Fazrul Fahriz

Mungkin bagi peminat bola sepak tempatan kurang mengenali bekas pemain skuad muda Selangor FC, Muhd Fazrul Fahriz yang kini bersama Cyberjaya Teleflow FC dalam saingan SCL 2024.

Fazrul antara prospek muda berpotensi tinggi untuk diserapkan ke dalam skuad utama sebelum dia ditunjukan jalan keluar dengan menyertai PDRM FC pada musim 2022.

Bersama skuad Selangor FC II 2021, Fazrul antara pemain sayap yang memiliki kaki kiri dominan dan pernah menjadi rakan sepasukan Luqman Hakim, Alif Haiqal Lau, Quentin Cheng dan Danial Asri.

Mungkin kemasukan Fazrul bersama KRW FC akan mengembalikan peluangnya untuk beraksi lebih profesional di peringkat tertinggi Liga Malaysia.

3. Stuart James Wark

Jikalau pihak pengurusan KRW FC berjaya memancing Stuart James Wark ia bagaikan rahmat buat Irfan Bakti kerana pengalaman dimiliki oleh pemain warisan Scotland-Malaysia itu.

Stuart Wark memiliki pakej lengkap untuk membantu Irfan Bakti mendidik pemain-pemain amatur yang bakal menyertai KRW FC dalam sesi pemilihan pasukan yang sedang giat dijalankan.

Pemain berusia 36 tahun itu mempunyai pengalaman beraksi di Liga Scotland dan Australia sebelum menyertai Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Sabah FC, Felda United, Penang FC, PDRM FC, Terengganu FC dan Sarawak United.

Pemain pertahanan tengah NPNG Damansara itu juga pernah beraksi di Thailand bersama Kasetsart FC pada musim 2023 sebelum hilang dari radar bola sepak Malaysia.

4. Muhd Faizat Ghazli

Antara penyerang berbahaya di SCL 2024 tahun ini, pengalaman Muhd Faizat Ghazli boleh ditagih Irfan Bakti untuk membentuk KRW yang lebih ampuh di barisan serangan musim depan.

Bersama Klang City Sailors tahun ini, Faizat antara pemain berpengalaman tinggi yang beraksi di SCL 2024.

Pengalaman antarabangsa bersama skuad Harimau Muda antara senjata utama Faizat untuk terus kekal relevan sebagai penyerang berbisa di Liga Malaysia.

Bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu turut berjaya membawa Klang City Sailors melangkah ke pusingan separuh akhir SCL 2024.

5. Mohd Azmi Muslim

'Otai bukan sebarang otai', inilah ungkapan yang sesuai buat Mohd Azmi Muslim selepas dia mewakili 11 pasukan sepanjang karier profesionalnya.

Walaupun sudah berusia 39 tahun, Azmi masih lagi kekal aktif beraksi di peringkat tertinggi amatur SCL 2024 bersama AAK Ultimate FC (AAK Ultimate) yang bertapak di Puncak Alam, Selangor.

Gandingan Azmi Muslim bersama Razman Roslan jika menyertai KRW FC pastinya mengembalikan nostalgia buat dua bekas pemain senior itu kerana pernah beraksi bersama di Selangor FC.

Pernah menjadi pemain utama Harimau Malaya suatu masa dahulu, Azmi pastinya mampu memberikan kelebihan buat Irfan Bakti untuk beraksi di Liga A1 Semi-Pro musim depan.

6. Shahrul Igwan Samsudin

Bekas pemain UiTM FC, Shahrul Igwan Samsudin pastinya boleh memikirkan semula untuk kembali ke Kelantan bersama KRW FC selepas dia pernah menyertai TRW pada musim 2022/23.

Bukanlah antara nama besar dalam Liga Malaysia, tetapi Shahrul mempunyai pengalaman beraksi bersama kelab gergasi di negara ini iaitu Selangor dan KDA FC.

Bergelut dengan masalah tunggakan gaji di Kelantan, Shahrul memilih untuk beraksi bersama Klang City Sailors bersama-sama Razman Roslan dan Faizat Ghazali bagi saingan SCL 2024.

Untuk rekod, Shahrul antara nadi utama Harimau Muda A dalam mengawal barisan tengah pasukannya di Liga Perdana Singapura pada 2014/15. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram