[VIDEO] Keputusan VAR 'last minute' kecewakan fans, aksi JDT-MUFT dan Selangor-Penang turut terpalit


  • Podium
  • Selasa, 28 Jan 2025

Penyokong MUFT kecewa apabila gol Saiful Iskandar Adha pada minit ke-79 dibatalkan selepas semakan VAR mendapati terdapat kekasaran terhadap bek kiri JDT, Corbin Ong.

KEPUTUSAN video bantuan pengadil (VAR) yang dibuat pada saat-saat akhir dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sering mengecewakan ramai penyokong bola sepak.

Kekecewaan itu sering berlaku apabila melibatkan beberapa insiden kontroversi dalam perlawanan yang menyaksikan semakan VAR tidak memihak kepada pasukan tertentu.

Penyokong pasukan yang terlibat meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati dengan keputusan tersebut, memandangkan mereka merasakan ia memberi kesan besar kepada keputusan akhir perlawanan, terutama apabila keputusan dibuat pada minit-minit terakhir.

BACA LAGI: Tonggak Johor Jewels jadi idola, ibu Irdina Aisya ada visi mahu anak jadi atlet bola jaring

BACA LAGI: Keputusan ref di Stadium Bandaraya kecewakan Selangor raih 3 mata

Sesetengah pihak berpendapat bahawa penggunaan VAR sepatutnya lebih jelas dan adil, tetapi dalam kes itu, ia mencetuskan kekeliruan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan peminat.

Isu itu mencerminkan cabaran dalam pelaksanaan VAR, terutamanya dalam liga yang sedang berkembang seperti Liga M yang mana penggunaan teknologi tersebut kadangkala dirasakan masih perlu penambahbaikan dari segi ketelusan dan konsistensi dalam penghakiman.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan beberapa pasukan tanah air yang terpaksa berdepan dengan ketidakadilan keputusan VAR.

1. Selangor vs Penang FC

Perlawanan dramatik antara Selangor FC bertemu Penang FC antara yang mencuri tumpuan penyokong tanah air terutamanya 'ekor' Gergasi Merah.

Manakan tidak, anak-anak buah Katsuhito Kinoshi itu hampir sahaja membawa pulang tiga mata penuh di laman lawan namun keputusan VAR meranapkan impian pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu.

Aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, menyaksikan Selangor FC mendahului dengan keputusan 1-0.

Namun, drama tercetus di penghujung perlawanan apabila Gergasi Merah terpaksa berputih mata dan hanya berkongsi satu mata dengan Harimau Kumbang

Penang menarik nafas lega apabila jaringan penalti kapten mereka, Rafael Vitor pada masa kecederaan mengubah kisah di Stadium Bandaraya selepas insiden kekasaran membabitkan pertahanan Selangor, Muhammad Safuwan Baharuddin dan pemain gantian Penang, Alif Ikmalrizal disahkan VAR.

Hujan lebat pada 15 minit terakhir perlawanan merencatkan rentak kedua-dua pasukan yang menyaksikan keputusan 1-1 terhasil di Pulau Pinang.

2. Perak FC vs PDRM FC

Keputusan VAR mengecewakan penyokong Perak FC dalam perlawanan menentang PDRM FC di Stadium Ipoh pada 18 Mei 2024.

Perak memulakan perlawanan dengan baik apabila Tommy Mawat menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-9. Namun, PDRM diberi sepakan penalti selepas Kamal Arif Shakimar menjatuhkan Ifedayo Olusegun, tetapi sepakan penalti tersebut dibatalkan selepas semakan VAR.

Pada minit ke-24, PDRM menyamakan kedudukan melalui tandukan Ifedayo Olusegun. Perak kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-33 selepas bola didakwa terkena tangan pemain PDRM, namun VAR membatalkan keputusan itu kerana bola hanya terkena bahu pemain PDRM.

Walaupun kedudukan 1-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama, PDRM akhirnya mendahului 2-1 selepas gol kedua oleh Bruno Suzuki.

Pemain gantian Wan Zack Haikal menyamakan kedudukan untuk Perak pada minit ke-88, namun Ifedayo Olusegun menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan, memastikan PDRM menang 3-2.

Keputusan VAR yang membatalkan sepakan penalti Perak mengundang rasa kecewa dalam kalangan penyokong tuan rumah.

3. Johor Darul Ta'zim vs Malaysian University FT

Keputusan VAR mengecewakan penyokong Malaysian University FT (MUFT) dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA 2024 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 29 Jun 2024.

Ramai penyokong MUFT tidak berpuas hati apabila gol yang dijaringkan oleh Saiful Iskandar Adha pada minit ke-79 dibatalkan.

Ia selepas semakan VAR mendapati terdapat kekasaran terhadap bek kiri Johor Darul Ta'zim (JDT), Corbin Ong yang menyebabkan jaringan tersebut dibatalkan.

Walaupun MUFT berusaha untuk memberi tentangan, JDT menguasai perlawanan dengan kemenangan 5-0, memberi mereka kelebihan besar menjelang aksi kedua di stadium yang sama.

Dalam aksi timbal balik pada 5 Julai, skuad Harimau Selatan itu berjaya mencetak lapan gol sekali gus menyaksikan keputusan agregat 13-0. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram