[VIDEO] Hanya dimasukkan jika perlu, Nidzam Jamil enggan ambil risiko tergesa-gesa turunkan Nikola Jambor


  • Podium
  • Khamis, 03 Okt 2024

Selangor FC dilihat mahu meneruskan rentak cemerlang di peringkat Asia apabila turun menentang pasukan dari Filipina, Cebu FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 pada Khamis.

SELANGOR FC pastinya mahu meneruskan rentak cemerlang di peringkat Asia apabila turun menentang pasukan dari Filipina, Cebu FC dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di Kelana Jaya, Selangor pada Khamis.

Dalam perlawanan sebelum ini, Gergasi Merah berjaya mengikat wakil kelab Thailand, Muangthong United dengan keputusan seri 1-1 menerusi jaringan Ronnie Fernandez minit ke-47 pada 19 September lalu.

Dalam pada itu, menjelang aksi bertemu Cebu FC pada Khamis, Nidzam memberi bayangan bahawa import terbaharu pasukan itu, Nikola Jambor turut berada dalam senarai 20 pemain yang akan dibawa bersaing di pentas Asia nanti.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Killer' terpaksa pulang sekejap ke Thailand, Penang Black Panthers tak gentar harungi kumpulan maut STL GP Perak

BACA LAGI: Arif Aiman mahu kekal lebih lama di JDT, percaya boleh jadi pemain lebih baik selain balas jasa TMJ

Berita baik itu dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Fina Nasrom di laman X pada Khamis.

Begitupun, pengendali Gergasi Merah itu dilaporkan enggan mengambil risiko dengan meletakkan import Croatia tersebut sebagai kesebelasan utama.

"Import baharu Selangor FC, Nikola Jambor dalam senarai 20 pemain untuk bertemu Cebu FC.

"Tapi Nidzam Jamil enggan ambil risiko awal, mungkin dimasukkan jika perlu," katanya.

Bagaimanapun, Nidzam turut memberi bayangan bahawa Jambor akan dimasukkan sekiranya perlu melihat kepada prestasi semasa Selangor dalam aksi berdepan Cebu FC nanti.

"Kita tengok macam mana nanti, mungkin dia akan berpeluang untuk bermain dalam tempoh 15 atau 20 minit," kongsinya.

Menurutnya, Jambor mungkin berdepan kesukaran untuk beraksi di atas padang dengan baik kerana kali terakhir dia bermain adalah pada 22 April lalu ketika bertemu Al-Ain untuk kelab Divisyen Dua Saudi, Hajer.

Begitupun, Nidzam turut memuji prestasi yang ditampilkan oleh import Croatia tersebut selama dua minggu latihan bersama Gergasi Merah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram