PEMAIN Sabah FC, Saddil Ramdani percaya yang dia masih perlu memperbaiki prestasi dirinya jika mahu membantu kelab Borneo itu mencapai kejayaan.
Pemain berusia 26 tahun itu mendapat rentak semasa Sabah menewaskan Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
Kemenangan 2-1 diraih di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu menyaksikan Saddil menyumbang jaringan apabila membolosi pintu gol Negeri Sembilan seawal minit ke-5.
BACA LAGI: 'Siapa tak kenal Saddil?', bek sayap Pahang waspada ancaman import berbisa Sabah
BACA LAGI: Boleh ganti Saddil, 3 sebab Sang Badak perlu sambar penyerang kacukan Norway-Filipina
Joao Pedro mengukuhkan kedudukan Sabah pada minit ke-71 sebelum Hein Htet Aung mengurangkan defisit 12 minit kemudian namun ia sudah terlambat daripada menghalang skuad Badak untuk meraih kemenangan.
Walaupun berjaya menghasilkan gol, namun Saddil masih tidak berpuas hati dengan persembahannya.
Saddil masih belum berpuas hati dengan persembahannya. — Facebook/Sabah FC
Bagi bekas pemain skuad kebangsaan Indonesia itu, dia perlu meningkatkan prestasinya dalam usaha membantu Sabah merampas kedudukan kedua Liga Super daripada Selangor FC dan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.
"Saya tak boleh katakan yang saya benar-benar puas hati dengan persembahan saya. Saya perlu buat lebih baik dan apa yang paling penting adalah kami bermain sebagai satu pasukan untuk mendapatkan keputusan," kata Saddil.
Buat masa sekarang, Sabah ditinggalkan oleh Selangor dengan jurang tujuh mata namun Saddil mahu kelabnya meneruskan tempo rancak dalam mendekati Gergasi Merah.
Sabah berpeluang mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia sekiranya mereka berjaya mengetepikan cabaran Sri Pahang FC dalam aksi kedua separuh akhir pada Ahad.
Sementara baki aksi Liga Super buat mereka adalah bertemu Kuala Lumpur City FC, Sri Pahang, Selangor, Terengganu FC, PDRM FC dan Kedah Darul Aman FC. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram