Beri 'hint' karikatur di IG, Pogba dijangka kembali ke The Red Devils atau sertai bekas rakan pasukan di Perancis


  • Podium
  • Selasa, 28 Jan 2025

Pogba dialu-alukan pulang ke Manchester United meskipun tempoh perkhidmatannya sebelum ini kurang memuaskan. — Agensi

PENGGANTUNGAN terhadap pemain tengah Perancis, Paul Pogba sejak Februari tahun lalu sememangnya mengejutkan kerana dia didapati mengambil bahan terlarang yang merancakkan pengeluaran hormon.

Dia yang ketika itu beraksi buat gergasi Itali, Juventus sudah tentu sukar menerima hukuman berkenaan memandangkan pada ketika itu, kariernya sedang kembali meningkat naik.

Manakan tidak, dia yang kembali menyertai skuad The Old Lady pada musim panas 2023 amat berharap dapat melonjakkan semula namanya setelah kurang memberi impak selama enam musim bersama Manchester United.

BACA LAGI: Sedia dianggap belot terhadap Man United, Pogba dijangka sertai Man City

BACA LAGI: Berlatih di Man United, Pogba mungkin kembali sarung jersi The Red Devils buat kali ke-3

x1080

Pogba memilih untuk pulang ke Juventus selepas meninggalkan Manchester United pada 2023. Agensi

Bagaimanapun, cita-cita terbabit tidak kesampaian apabila pihak FIFA melancarkan siasatan terhadapnya yang mendapati Pogba pernah mengambil bahan terlarang bagi meningkatkan persembahannya di atas padang.

Badan induk bola sepak antarabangsa itu kemudian mengambil keputusan mengenakan hukuman penggantungan selama empat tahun yang menghalang pemain itu daripada beraksi secara profesional.

Nasib buruk terus melanda pemenang Piala Dunia 2018 tersebut apabila pada November lalu, Juventus bertindak menamatkan kontraknya serta merta setelah satu pertemuan diadakan.

Tetapi, Pogba akhirnya dapat menarik nafas lega kerana mesyuarat timbang tara mengurangkan tempoh hukuman kepada hanya 18 bulan yang membenarkan pemain itu kembali beraksi pada Mac depan.

Keputusan itu sudah tentu membawa semangat baharu buatnya kerana dia dilaporkan sudah bersedia untuk kembali beraksi apabila mula terlibat dalam sesi latihan secara berseorangan.

GiVCB_PWsAAABNU

Karikatur memaparkan Pogba (kanan) bersama Amad Diallo.

Namun, persoalannya, kelab manakah bakal disertai Pogba sekiranya tempoh penggantungan terhadapnya akan berakhir tidak lama lagi dengan mana-mana pasukan pasti tidak mahu mengambil risiko untuk menandatanganinya.

Teka-teki itu semakin bermain di fikiran penyokong apabila baru-baru ini, dia memuat naik dua hantaran berserta mesej tersirat menerusi akaun Instagram peribadinya.

Perkongsian pertama menampilkan karikatur Pogba ketika masih beraksi buat Manchester United di samping bintang The Red Devils, Amad Diallo yang membuatkan orang ramai beranggapan dia akan kembali buat kali ketiga.

Kehadirannya sudah tentu diterima pengurus, Ruben Amorim yang mahu memperkuatkan pasukan sebelum penutupan jendela perpindahan musim sejuk dengan pasukan itu masih mempunyai kelemahan ketara.

Misteri daripada Pogba tidak terhenti di situ apabila perkongsian seterusnya memaparkan pemain terbabit berada dalam pencakar langit yang tidak diketahui lokasinya berserta kapsyen berbunyi: 'Kita lihat apa yang akan datang'.

WhatsApp Image 2025-01-28 at 12.54.34 PM (2)

Mesej tersirat ditinggalkan Pogba di laman media sosial peribadinya.

Walaupun hantaran berkenaan tidak memberikan sebarang petanda jelas, orang ramai beranggapan dia sedang membalas tawaran daripada bekas rakan sepasukan, Mason Greenwood yang mahukan Pogba di Olympique de Marseille.

Tawaran itu sememangnya relevan kerana ketika ini, kelab Perancis itu sedang berusaha merebut takhta Ligue 1 meskipun jauh ditinggalkan Paris Saint-Germain yang memiliki kelebihan 10 mata.

Namun, Pogba sudah tentu terbuka untuk menyertai skuad bimbingan Roberto de Zerbi itu memandangkan sepanjang kariernya, pemain tengah itu tidak pernah beraksi buat kelab di negara kelahirannya.

Keputusan kini terletak di tangan pemain Perancis terbabit kerana dia masih memiliki masa untuk memilih majikannya selepas ini kerana masih terdapat dua bulan berbaki sebelum penggantungannya tamat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram